Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bakal mengeluarkan Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga, untuk menunjukkan perangkaan dan trend berhubung keganasan dalam keluarga.
Ia bertujuan memberi sokongan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan keluarga dan diletakkan di rumah tumpangan.
Semasa bercakap kepada media selepas lawatannya ke Boys’ Town pada 3 September, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, menegaskan kepentingan memahami latar belakang seseorang kanak-kanak serta apa yang pernah dialaminya, bagi memastikan program di kemudahan jagaan disesuaikan dengan keperluan mereka.
“Dengan memahami apa yang telah dialami oleh seorang kanak-kanak, kami dapat memastikan program di bawah rumah tumpangan kanak-kanak MSF dapat disesuaikan dengan keperluan mereka,” kata Cik Sun.
Misalnya, sokongan ini boleh diberi dari segi akademik, kaunseling dan terapi.
Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga yang bakal dikeluarkan pada hujung September 2024, adalah hasil kerjasama Pusat Pakar Perlindungan, Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak dan Pusat Khidmat Keluarga.
“Kami ingin sentiasa memantau kes-kes keganasan rumah tangga dengan teliti, supaya kami boleh melakukan pengantaraan yang disesuaikan kepada setiap kanak-kanak,” tambahnya.
Pada masa ini, terdapat 19 rumah kanak-kanak, termasuk Boys’ Town yang terletak di Upper Bukit Timah, untuk golongan tersebut yang mudah terjejas di Singapura.
Ia menyediakan penjagaan di rumah tumpangan untuk mereka yang memerlukan perlindungan dan rawatan.
Di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA), ia turut berfungsi sebagai tempat penjagaan dan perlindungan sementara dan tempat selamat untuk menyediakan penjagaan di rumah tumpangan bagi kanak-kanak lelaki.
Salah satu usaha MSF adalah menempatkan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan selain keluarga asli mereka, dengan cara lain seperti penjagaan titipan.
Penjagaan anak titipan merupakan aturan sementara yang membolehkan kanak-kanak meraih manfaat daripada sekitaran rumah yang memupuk nilai yang betul semasa proses pembesaran serta memenuhi potensi seorang kanak-kanak.
Menurut MSF, mengasingkan kanak-kanak daripada keluarga asli dianggap sebagai pilihan yang terakhir.
Matlamat utama MSF adalah untuk menyatukan semula anak-anak titipan dengan keluarga asli.
Setakat Disember 2023, 540 kanak-kanak telah diletakkan dalam penjagaan titipan.
Pada masa yang sama, 614 keluarga telah melangkah ke hadapan untuk menjadi ibu bapa titipan.
Di Singapura, terdapat lima agensi yang memberi perkhidmatan titipan:
[ο] Khidmat Keluarga Angkat Boy’s Town
[ο] Penjagaan Titipan Epworth
[ο] Persatuan Muhammadiyah (Projek Sinar Ihsan)
[ο] Persatuan Pemudi Islam Singapura Oasis (PPIS Oasis)
[ο] Salvation Army, Gracehaven Fostering
Keluarga yang berminat mengambil anak titipan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mengemukakan permohonan mereka melalui laman web MSF di www.msf.gov.sg/fostering.
“
“Dengan memahami apa yang telah dialami oleh seorang kanak-kanak, kami dapat memastikan program di bawah rumah tumpangan kanak-kanak MSF dapat disesuaikan dengan keperluan mereka. Kami ingin sentiasa memantau kes-kes keganasan rumah tangga dengan teliti, supaya kami boleh melakukan pengantaraan yang disesuaikan kepada setiap kanak-kanak.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg