Laluan kenderaan ulang-alik pandu sendiri pertama di Punggol dijangka dibuka kepada orang ramai dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, pada 7 Januari.
Laluan sepanjang 10 kilometer itu akan menghubungkan penduduk di Matilda Court dan Punggol Clover dengan Poliklinik Punggol di Oasis Terraces melalui Punggol Plaza.
Perjalanan pergi balik itu dijangka mengambil masa 35 minit untuk selesai.
Syarikat tempahan kenderaan dalam talian, Grab, akan mengendalikan perkhidmatan itu dengan kerjasama syarikat kenderaan autonomi (AV) yang berpangkalan di Guangzhou, WeRide.
Ia merupakan laluan ulang-alik tanpa pemandu pertama daripada tiga laluan yang akan diperkenalkan di Punggol, lapor The Straits Times (ST).
Laluan ini merangkumi kawasan Punggol yang lebih sukar diakses melalui pilihan pengangkutan awam sedia ada, dan boleh menjimatkan sehingga 15 minit masa perjalanan bagi para penduduk.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata laluan pertama dijangka dibuka kepada orang ramai menjelang suku kedua 2026.
Kenderaan berwarna ungu terang dengan lima dan lapan tempat duduk serta lampu kuning jingga di atas bumbung akan digunakan untuk mengendalikan ketiga-tiga laluan tersebut.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 7 Januari, Cik Sun berkata beliau telah menganjurkan sesi percubaan perjalanan menggunakan kenderaan ulang-alik pandu sendiri di Punggol itu untuk para pemimpin kesatuan.
Mereka termasuk wakil daripada Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Kebangsaan (NPHVA), serta Taxi Kaki Singapore, sebuah kumpulan yang memperjuangkan hak pemandu teksi dan pekerja platform.
Menurut hantaran Cik Sun itu, kenderaan ulang-alik di laluan pertama telah menamatkan proses pemetaan dan pengenalan laluan, serta mencatat lebih 10,000 kilometer perjalanan dengan selamat tanpa sebarang kemalangan.
“Mulai bulan ini (Januari), kami akan menjemput pihak berkepentingan lain untuk mencuba khidmat ini. Mereka antaranya, termasuk pemimpin akar umbi utama dan rakan agensi,” katanya.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 7 Januari berkata sesi percubaan masyarakat ini akan membantu pihaknya mengumpul maklum balas untuk menambah baik pengalaman perjalanan.
Fasa ini merupakan langkah awal sebelum operasi komersial bermula.
Pengendali kenderaan ulang-alik juga akan memperkenalkan aplikasi bagi membolehkan penumpang menyemak ketersediaan perjalanan, kata Cik Sun.
Bagi laluan pertama itu, tiada tempahan awal diperlukan.
Menurut laporan ST sebelum ini, perkhidmatan itu akan beroperasi dari 9.30 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja, dengan penumpang dapat menyemak jadual ulang-alik dan menjejak kenderaan secara masa nyata melalui aplikasi Grab.
Sebagai langkah berjaga-jaga, seorang pengendali keselamatan akan berada di setiap kenderaan sepanjang masa untuk mengambil alih kawalan, jika terdapat keperluan.
Penumpang juga akan dilindungi oleh insurans, sekiranya berlaku kemalangan.
Cik Sun, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata kenderaan ulang-alik pandu sendiri itu akan melengkapkan sistem pengangkutan Singapura.
Beliau sebelum ini berkata Punggol dipilih sebagai kawasan perintis kerana susun atur kawasan yang padat, serta kerencaman penduduk.
Cik Sun berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) akan bekerjasama dengan pemimpin kesatuan mengenai peluang pekerjaan serta menangani kebimbangan pemandu terhadap pekerjaan mereka.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, sebelum ini berkata kenderaan pandu sendiri boleh membantu mengurangkan cabaran tenaga kerja dalam pengangkutan awam.
Singapura kini menghadapi masalah kekurangan pemandu bas disebabkan tenaga kerja yang menua dan kekurangan rakyat muda yang menyertai industri itu.
Ujian kenderaan pandu sendiri pertama di Punggol telah dijalankan pada pertengahan Oktober 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg