Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilangan penyalah guna dadah bawah 20 tahun semakin meningkat

CNB: Keadaan dadah S’pura masih terkawal, namun trend membimbangkan
Feb 12, 2025 | 3:48 PM
Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata bilangan penyalah guna dadah baru yang berusia bawah 20 tahun yang ditahan pada 2024 naik sebanyak 30 peratus.
Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata bilangan penyalah guna dadah baru yang berusia bawah 20 tahun yang ditahan pada 2024 naik sebanyak 30 peratus. - Foto ST

Bilangan penyalah guna dadah baru yang berusia bawah 20 tahun yang ditahan pada 2024 naik sebanyak 30 peratus berbanding 2023, dedah Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 12 Februari.

Menurut Laporan Situasi Dadah Singapura yang dikeluarkan CNB itu, lebih 50 peratus jumlah penyalah guna dadah baru yang ditahan dalam tempoh dua tahun lalu berusia di bawah 30 tahun, dengan penyalah guna termuda yang ditahan pada 2024 berusia 13 tahun.

Walaupun keadaan dadah Singapura secara amnya masih terkawal, Pemangku Pengarah CNB, Encik Leon Chan, berkata ia adalah “trend yang membimbangkan” kerana penyalahgunaan dadah remaja semakin berterusan, terutama pada tahap permulaan awal penyalahgunaan dadah.

“Keadaan dadah sejagat terus bertambah buruk. Di seluruh dunia, pengeluaran dadah telah meningkat.

“Kita telah melihat kes yang mana anggota masyarakat yang tidak bersalah menjadi mangsa jenayah berkaitan dadah yang dilakukan penyalah guna di bawah pengaruh dadah.

“Kita tidak boleh, dan tidak seharusnya, membiarkan masalah dadah berakar dan berkembang,” kata Encik Chan.

Pada 2024, CNB menahan 3,119 penyalah guna dadah, menurun sedikit berbanding 3,122 penyalahgunaan dadah yang ditahan pada 2023.

Bagaimanapun, bilangan penyalah guna dadah baru yang ditangkap meningkat daripada 952 pada 2023, kepada 966 pada 2024.

Dalam kalangan 966 penyalah guna dadah baru yang ditahan, 720 ditahan kerana mengambil methamphetamine, 122 kerana ganja, 47 kerana ecstasy dan 28 kerana ketamin.

Encik Chan menambah bahawa di rantau ini, Singapura menyaksikan lonjakan pengeluaran methamphetamine.

Penyalah guna dadah methamphetamine membentuk 60 peratus daripada jumlah penyalahgunaan dadah yang ditangkap di Singapura pada 2024.

Menurut laporan itu, methamphetamine terus menjadi dadah paling kerap disalahgunakan pada 2024 di Singapura (1,885), diikuti dengan heroin (889) dan ganja (199).

Dalam kalangan penyalah guna ganja baru yang ditangkap, lebih separuh berusia bawah 30 tahun, yang disifatkan Encik Chan sebagai satu “trend yang semakin diterima dan meningkat terhadap ganja dalam kalangan belia kita”.

“Sedang kita terus menegakkan pendirian penguatkuasaan kita yang tegas dan bekerjasama dengan penyokong dan rakan kongsi DrugFreeSG dalam program pendidikan pencegahan dadah, kita menyeru orang ramai untuk mengambil pendirian yang kuat terhadap dadah.

“Ibu bapa terutamanya, mempunyai peranan penting untuk dimainkan dengan melibatkan anak mereka secara aktif dalam perbualan tentang kemudaratan dadah,” ujar Encik Chan.

Pengerusi Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Ncada), Encik Tan Chong Huat, berkata trend berterusan mengenai penyalahgunaan dadah belia adalah “sangat membimbangkan”.

Beliau menambah, Tinjauan Persepsi Dadah Kebangsaan Ncada 2023 juga menunjukkan sikap yang lebih menerima terhadap dadah dalam kalangan sesetengah belia, terutama terhadap ganja.

“Pendidikan pencegahan dadah kini lebih penting berbanding sebelum ini, untuk meningkatkan kesedaran belia kita tentang cara penyalahgunaan dadah mendatangkan kemudaratan kepada keluarga, persahabatan dan masa depan.

“Dengan Ncada memulakan penggal baru pada 2025, kami akan terus memperjuangkan dan memimpin dalam pendidikan pencegahan dadah” kata Encik Tan.

Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa jumlah penyalah guna dadah Cina dan Melayu yang ditahan pada 2024 meningkat berbanding 2023, dengan penyalah Melayu merangkumi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan yang ditahan.

Seramai 1,543 penyalah guna dadah Melayu (49 peratus) dan 947 penyalah guna dadah Cina (30 peratus) telah ditahan pada 2024, meningkat daripada 1,488 Melayu (48 peratus) dan 940 Cina (30 peratus) yang diberkas pada 2023.

Jumlah penyalah guna dadah Melayu baru juga meningkat daripada 356 pada 2023, kepada 413 pada 2024, manakala bilangan penyalah guna dadah Cina baru juga meningkat daripada 373 pada 2023, kepada 387 pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg