Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Kepentingan awam perlu diutamakan bila pertimbang hukuman mati

Jan 20, 2025 | 3:58 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, menekankan bahawa keputusan mengekalkan hukuman mati adalah atas dasar mengutamakan keperluan awam.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, menekankan bahawa keputusan mengekalkan hukuman mati adalah atas dasar mengutamakan keperluan awam. - Foto ZAOBAO

Kepentingan awam mesti diutamakan sebelum kepercayaan peribadi, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam di Facebook pada 19 Januari mengenai hukuman mati.

Hantaran beliau di Facebook mengetengahkan pertimbangan pemerintah Singapura mengenai penggunaan hukuman mati di Singapura.

“Untuk tiadakan hukuman mati ini akan menyelamatkan nyawa pengedar dadah. Namun, ia akan mendorong lebih ramai untuk mengedar dadah masuk ke Singapura,” kata Encik Shanmugam.

“Bekalan dadah sudah tentu akan meningkat. Dan akan ada akibatnya: peningkatan jenayah yang lebih serius, keganasan dan kematian berkaitan dadah.

“Lebih ramai individu tidak bersalah akan mati di Singapura, termasuk kanak-kanak,” tambah beliau.

Menurut laporan The Straits Times, Encik Shanmugan berkongsi bahawa semasa temu bual oleh BBC pada 2024, beliau berkata “anda memerlukan hati yang baik tetapi pemikiran yang tegas dalam bidang dasar awam”.

Encik Shanmugam juga merujuk kepada bagaimana Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, telah meringankan hukuman mati ke atas 37 banduan sebelum tempohnya berakhir pada 20 Januari.

Banduan-banduan ini, termasuk mereka yang disabitkan kesalahan membunuh, sebaliknya akan menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan dibebaskan.

Encik Shanmugam juga merujuk kepada catatan yang diterbitkan oleh Wall Street Journal (WSJ) pada 23 Disember, yang menurutnya “menyoal beberapa soalan serius dan mendedahkan penjelasan yang tidak konsisten diberikan” oleh Encik Biden.

Catatan WSJ telah menunjukkan bahawa terdapat beberapa hukuman mati yang tidak diringankan oleh Encik Biden.

“Dan pada masa yang sama, tindakan Presiden Biden yang tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman mati untuk beberapa kes lain...

“Mengapakah ia wajar untuk meringankan hukuman mati beberapa pembunuh, sedangkan tiada pengampunan diberikan kepada pembunuh yang lain?”

Encik Shanmugam berkata beliau sering ditanya mengenai pendiriannya mengenai hukuman mati, dan pandangannya adalah kepentingan awam Singapura adalah pertimbangan utama.

Di Singapura, beliau berkongsi bahawa Biro Narkotik Pusat (CNB) kini menahan kira-kira 3,000 penyalah guna dadah setiap tahun, berbanding kira-kira 6,000 pada 1990-an.

“Jumlah ini sepatutnya meningkat dalam tempoh 30 tahun yang lalu: bekalan dadah di rantau ini telah meningkat secara mendadak, kuasa beli kami telah meningkat dengan ketara, dan persekitaran antarabangsa semakin bersikap toleransi terhadap dadah,” tambahnya.

Pendekatan tegas Singapura telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa, termasuk mereka yang berisiko menjadi penyalah guna, mangsa jenayah dengan sejarah penyalahgunaan dadah dalam keluarga mereka, kata Encik Shanmugam.

“Sebagai pembuat dasar, kami mengetepikan perasaan peribadi kami dan melakukan apa yang perlu untuk melindungi majoriti.

“Dan kita tidak akan rasa tenang dengan diri kita sendiri, jika kita mengambil langkah yang membawa kepada lebih ramai individu yang tidak bersalah mati di Singapura.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg