Ketika Singapura bersiap sedia untuk menampung keperluan negara yang semakin menua, lebih banyak usaha diperlukan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat umum, terutama golongan muda, tentang cabaran yang kerap dihadapi warga emas.
Daripada memastikan warga emas tidak berasa sunyi tatkala hidup bersendirian, kepada menggalak mereka melibatkan diri dalam kegiatan sosial – orang ramai, apatah lagi jiran tetangga, memainkan peranan penting dalam membuat mereka rasa diterima masyarakat.
Dengan itu, Singapura dapat menjadi masyarakat lebih prihatin dan terangkum terhadap keperluan warga emas.
Ia seiring dengan usaha pemerintah membina prasarana lebih khusus seperti Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), Pusat Penuaan Aktif (AAC) dan Kejiranan Sihat Menua.
Demikian ditekankan Pakar Perubatan Geriatrik, Dr Nur Farhan Alami, serta Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, di sesi Podcast NoTapis BHerbual yang dirakam pada 19 Ogos.
“Warga emas sudah banyak menyumbang kepada pembangunan Singapura. Jadi, kita harus memberi mereka peluang untuk hidup bermaruah, dan jangan biarkan mereka berasa ketinggalan.
“Jangan sampai ada sikap ageism dalam kalangan masyarakat yang fikir hanya kerana terdapat warga emas yang tidak aktif menyumbang pada ekonomi, mereka sudah tidak ada peranan dalam masyarakat,” kata Dr Nur Farhan.
Ageism atau ageisme merujuk kepada sikap diskriminasi dan stereotaip sesetengah individu terhadap golongan tertentu berdasarkan usia mereka.
Dr Nur Farhan, yang merupakan pakar dalam bidang rawatan melibatkan penyakit warga emas berkata, adalah penting untuk Singapura memastikan persekitaran yang sesuai untuk warga emas menua agar mereka mendapat bantuan dan penjagaan yang diperlukan.
“Tak kan kita nak pindahkan semua orang masuk rumah persaraan atau rumah rawatan? Jadi, kita harus membantu mereka meniti usia lanjut di kawasan yang sama,” tambahnya.
Podcast tersebut, yang dihoskan bersama oleh Editor Berita, Berita Harian (BH), Encik Nazri Hadi Saparin, dan Koresponden BH, Encik Anwar Saleh, menyentuh tentang cabaran penuaan bagi negara yang diutarakan semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 17 Ogos.
Semasa ucapan NDR, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah akan merintis sebuah daya usaha baru bagi menyokong warga emas meniti usia di kawasan yang sama atau age-in-place.
Ia dinamakan Kejiranan Sihat Menua atau Age Well Neighbourhoods.
Menerusi daya usaha tersebut, warga emas tidak perlu berpindah ke tempat lain.
Malah, khidmat untuk warga emas seperti pemeriksaan kesihatan asas, penghantaran makanan dan sokongan jagaan kesihatan akan disediakan di kejiranan mereka pada masa depan.
Namun, selain membina prasarana untuk menyokong warga emas, penting juga untuk masyarakat, khususnya golongan muda, dipersiap untuk memahami cabaran yang dilalui oleh warga emas, kata Encik Imran.
“Masyarakat perlu tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan warga emas.
“Sebab saya lihat rata-ratanya dalam masyarakat kita ramai yang tidak mengerti apa itu demensia dan mereka tidak tahu bagaimana untuk menyokong warga emas yang mempunyai demensia.
“Jadi, selain kita mengambil berat mengenai isu-isu seperti akses dan kesihatan warga emas, penting juga untuk kita mempersiapkan mentaliti masyarakat untuk memahami aspek perubatan, penjagaan, rawatan dan sebagainya,” kata Encik Imran.
Berbanding sedekad lalu, Singapura kini menghadapi kadar penuaan penduduk yang semakin meningkat, dengan seorang daripada empat atau kira-kira sejuta warga Singapura dijangka berusia 65 tahun dan ke atas menjelang 2030.
Separuh daripada mereka mungkin menghidap penyakit kronik, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Ketika ditanya sama ada Singapura mempunyai bilangan pakar geriatrik yang mencukupi untuk merawat warga emas, Dr Nur Farhan berkata:
“Sudah jelas, tidak cukup. Justeru, tidak boleh mengharapkan pakar perubatan sahaja. Jiran tetangga dan para sukarelawan yang tinggal dekat dengan warga emas juga memainkan peranan penting”.
Dalam ucapannya, Encik Wong turut berkata Singapura bakal menjadi sebuah negara super-aged atau sangat menua pada 2026.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah negara dianggap sebagai super-aged atau sangat menua apabila 21 peratus penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas.
Pada 2024, perangkaan penduduk Singapura berusia 65 tahun dan ke atas ialah 19.9 peratus dan ia dijangka meningkat menjelang 2030.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata kadar tersebut kini “hanya melebihi 20 peratus” pada 2025.
Inisiatif Kejiranan Sihat Menua bakal dirintis di Toa Payoh dan disusuli satu atau dua kejiranan lain demi menyokong warga emas menua di rumah sendiri.
Ia mengambil inspirasi daripada model Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) yang dibina pemerintah untuk membantu warga emas dengan penjagaan jangka panjang.
Satu contoh apartmen sedemikian ialah Harmony Village@Bukit Batok yang siap dibina pada akhir 2024.
Ketika dihubungi BH, Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata beliau berharap daya usaha tersebut akan diperluaskan ke kawasan lain pada masa terdekat.
Beliau turut berharap perkhidmatan oleh badan agama dapat diterapkan di dalam ekosistem inisiatif tersebut agar warga emas mendapat bimbingan agama yang diperlukan sedang mereka meniti usia.
“Saya minat sangat dengan falsafah penuaan aktif tetapi ia juga perlu menangani keperluan warga emas yang lebih suka mengasingkan diri atau pergi ke kelas agama.
“Jadi inisiatif seperti itu harus mempertimbangkan kerjasama dengan institusi agama.
“Saya juga berharap pemerintah boleh memberikan sokongan padu demi kesejahteraan mental warga emas.
“Sebagai contoh, perlu ada usaha untuk menggalak warga emas kekal aktif dari segi minda melalui aktiviti seperti membaca secara harian,” kata Dr Norshahril.
“
“Warga emas sudah banyak menyumbang kepada pembangunan Singapura. Jadi, kita harus memberi mereka peluang untuk hidup bermaruah, dan jangan biarkan mereka berasa ketinggalan. Jangan sampai ada sikap ageism dalam kalangan masyarakat yang fikir hanya kerana terdapat warga emas yang tidak aktif menyumbang pada ekonomi, mereka sudah tidak ada peranan dalam masyarakat.”“
“Masyarakat perlu tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan warga emas. Sebab saya lihat rata-ratanya dalam masyarakat kita ramai yang tidak mengerti apa itu demensia dan mereka tidak tahu bagaimana untuk menyokong warga emas yang mempunyai demensia. Jadi, selain kita mengambil berat mengenai isu-isu seperti akses dan kesihatan warga emas, penting juga untuk kita mempersiapkan mentaliti masyarakat untuk memahami aspek perubatan, penjagaan, rawatan dan sebagainya.”“
“Saya minat sangat dengan falsafah penuaan aktif tetapi ia juga perlu menangani keperluan warga emas yang lebih suka mengasingkan diri atau pergi ke kelas agama. Jadi inisiatif seperti itu harus mempertimbangkan kerjasama dengan institusi agama. Saya juga berharap pemerintah boleh memberikan sokongan padu demi kesejahteraan mental warga emas. Contohnya, usaha untuk menggalak warga emas kekal aktif dari segi minda melalui aktiviti seperti membaca secara harian.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg