Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bimbing anak cintai Al-Quran seawal mungkin

Saran ibu bapa perkenal dan dengarkan bacaan
Dec 20, 2024 | 5:30 AM
Masjid Alkaff Kampung Melayu mengadakan persembahan hafalan Al-Quran di Singapore Expo pada 30 November 2024.
Masjid Alkaff Kampung Melayu mengadakan persembahan hafalan Al-Quran di Singapore Expo pada 30 November 2024. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Pastikan anak-anak bukan sahaja mampu membaca dan menghafal Al-Quran, bahkan memahami dan menyayangi kitab suci ini dengan sepenuh hati.

Al-Quran adalah panduan kehidupan yang agung bagi umat Islam, dan mencintainya merupakan keutamaan yang perlu dipupuk sejak kecil.

Anak-anak yang dibimbing dengan baik dan diajar mencintai Al-Quran berpotensi besar menjadi individu yang teguh berpegang pada nilai-nilai Islam.

Pegawai Eksekutif Dakwah di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Abdul Rahman Salam, menegaskan bahawa langkah pertama untuk mendidik anak-anak mencintai Al-Quran adalah dengan memperkenalkan kitab suci itu seawal usia muda, contohnya dengan memperdengarkan bacaan ayat-ayat Al-Quran kepada mereka.

Menurutnya, ibu bapa perlu melakukan kegiatan sebegini seperti memperkenalkan huruf-huruf dalam Al-Quran sekerap yang mungkin dan melakukannya secara tekal.

“Ajari mereka huruf hijaiyah ( huruf-huruf dalam abjad Arab) secara berperingkat menggunakan kaedah yang menyeronokkan seperti kad imbas atau lagu interaktif. Jadikanlah diri kita guru pertama kepada mereka dalam mengajarkan ilmu mengenali dan membaca Al-Quran.

“Seterusnya, konsisten adalah kunci utama. Tetapkan waktu khas setiap hari untuk membaca atau mendengar Al-Quran bersama anak-anak. Melalui rutin ini, anak-anak akan membina kebiasaan yang berterusan hingga dewasa,” jelas Ustaz Abdul Rahman.

Beliau menyifatkan ibu bapa sebagai cerminan bagi anak-anak.

“Tunjukkan kecintaan anda terhadap Al-Quran dengan meluangkan masa membaca, memahami, dan mengamalkan isi kandungannya walau dalam keterbatasan yang ada.

“Ketika anak-anak melihat ibu bapa mereka istiqamah dengan Al-Quran, mereka akan terdorong mahu mencontohi amalan tersebut,” ujar Ustaz Abdul Rahman.

Apatah lagi dengan zaman moden kini yang menyediakan banyak kemudahan untuk mendidik anak-anak, termasuk teknologi digital.

Gunakan aplikasi atau video interaktif untuk mengajar anak membaca Al-Quran dengan cara yang lebih menarik. Contohnya, aplikasi yang mengajar tajwid melalui permainan boleh menjadi alat pembelajaran yang menyeronokkan.

Setiap pencapaian anak-anak adalah hasil usaha bersama, walaupun kecil, patut diraikan oleh ibu bapa.

Berikan pujian atau ganjaran seperti hadiah kecil apabila mereka berjaya menghafal atau membaca dengan baik.

Ia boleh diraikan dengan mengadakan majlis kecil seperti khatam Al-Quran untuk mengiktiraf usaha mereka.

Pastinya, proses mendidik anak mencintai Al-Quran memerlukan kesabaran yang tinggi. Setiap anak mempunyai kadar pembelajaran berbeza, dan tidak semua dapat menguasai pembacaan atau hafalan dengan cepat. Oleh itu, bersabar dan sentiasalah berdoa agar usaha kita diberkati Allah swt.

“Membimbing anak-anak menyemai dan mencintai Al-Quran adalah tanggungjawab besar yang membawa keberkatan.

“Dengan usaha berterusan, pendekatan kreatif, dan kasih sayang, anak-anak akan membesar menjadi generasi yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup mereka,” tambahnya.

Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg

2. Hantarkan cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada, Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 2 petang hingga 6 petang.

* Hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg