Sejak 2018, Cik Siti Hajar Ma’mor menawarkan khidmat sebagai fasilitator program KelasMateMatika (KMM).
Dengan pengalaman lebih 15 tahun sebagai guru prasekolah, Cik Siti, 34 tahun, meluangkan pagi Ahadnya dalam wadah Zoom untuk membantu ibu bapa mengajar konsep Matematik asas kepada anak cilik mereka, yang berada dalam lingkungan empat hingga enam tahun.
Konsep-konsep utama dalam program itu termasuk padanan satu-sama-satu (one-to-one correspondence), perbandingan (comparison) dan kesetaraan (equivalence).
“Mengenai padanan satu-sama-satu, ia sebenarnya tentang mengira satu demi satu. Tetapi lebih penting ialah memastikan si cilik memahami apa yang mereka kira. Kadangkala, mereka boleh mengira tanpa memberi tumpuan kepada objek yang dikira. Jadi, kami galakkan mereka menggerakkan objek semasa mengira untuk mengaitkan nombor dengan objek,” jelas Cik Siti.
Beliau juga menggalakkan ibu bapa supaya menggunakan bahan-bahan rumah seperti kayu aiskrim atau penyepit kain untuk membuat pembelajaran lebih menarik.
“Barang-barang seperti ini mudah didapati di rumah. Kami mengajar ibu bapa cara menggunakan bahan-bahan ini secara kreatif untuk melibatkan anak-anak dalam pembelajaran,” kongsi ibu empat anak itu.
Beliau adalah antara 14 sukarelawan cemerlang yang diiktiraf di Forum M3 pada 10 November.
Cik Siti memberitahu bahawa beliau terdorong menjadi fasilitator KMM selepas menemani ibunya, Cik Hamisliah Man, ke satu sesi pada 2018. Ketika itu, ibunya juga fasilitator KMM.
“Saya mula terdedah kepada program KMM apabila menemani ibu saya ke Kelab Masyarakat Bukit Batok. Beliau lebih tumpu kepada peserta kanak-kanak, manakala ibu bapa mengikuti sesi bersama fasilitator lain.
“Semasa saya di situ, saya seronok melihat interaksi antara peserta ibu bapa dan anak-anak mereka semasa sesi pembelajaran. Setelah itu, saya memutuskan untuk menyertai program ini sebagai fasilitator kanak-kanak,” ujar beliau.
Sehingga 2020, sesi KMM diadakan secara fizikal sebelum beralih ke platform Zoom disebabkan pandemik Covid-19. Cik Siti berkhidmat sebagai fasilitator KMM kanak-kanak sehingga 2022 sebelum beralih menjadi fasilitator KMM ibu bapa pada 2023.
Sekitar 30 keluarga – sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa dan seorang anak – menghadiri sesi mingguan yang diadakan dari 11 pagi hingga 1 petang.
Bersama dua fasilitator lain, Cik Siti akan menggunakan bahan seperti buku panduan, lembaran kerja, pakej pembelajaran, dan permainan tangram untuk membantu ibu bapa memahami kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh anak-anak sebelum memasuki sekolah rendah.
Dalam membantu ibu bapa dalam memantau peningkatan pembelajaran, mereka juga diberikan Senarai Semak Pembangunan Kemahiran Numerasi Awal.
Bagi Cik Siti, keberkesanan program itu jelas dilihat apabila ibu bapa memberi maklum balas positif tentang peningkatan kemahiran pembelajaran matematik mereka.
“Pada sesi KMM baru-baru ini, seorang bapa yang merupakan guru sekolah rendah berkongsi bahawa selepas menggunakan senarai semak, beliau memahami bahawa beliau telah menetapkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap anaknya. Beliau kini lebih memahami cara untuk mengajar anak perempuannya dengan lebih baik,” ujar beliau.
Apabila ditanya sama alat permainan merupakan komponen penting dalam memupuk minat si cilik dalam pembelajaran, Cik Siti berkata:
“Apa yang lebih penting adalah cara kita sebagai ibu bapa berinteraksi dengan anak. Ia lebih kepada cara kita meluangkan masa mereka, terlibat dalam rutin keluarga dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka secara optimum.
“Alat permainan boleh diganti dengan apa sahaja, asalkan kita sebagai ibu bapa hadir dan memberi perhatian kepada anak kita,” kongsi beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg