Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usia jadi kelebihan mentor MTS dekati menti dengan cara relevan

Nov 11, 2024 | 5:30 AM
Meskipun kadangkala menghadapi cabaran seperti menti yang enggan berinteraksi dan memilih untuk melangkah ke hadapan tanpa melibatkan diri lebih lanjut, Cik Warda Mohamed Rizal menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses dan beliau terus memberikan bimbingan dengan hati yang ikhlas, tanpa mengharapkan balasan atau berasa kecewa.
Meskipun kadangkala menghadapi cabaran seperti menti yang enggan berinteraksi dan memilih untuk melangkah ke hadapan tanpa melibatkan diri lebih lanjut, Cik Warda Mohamed Rizal menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses dan beliau terus memberikan bimbingan dengan hati yang ikhlas, tanpa mengharapkan balasan atau berasa kecewa. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi Cik Warda Mohamed Rizal, faktor usia bukan sahaja membolehkan beliau berada pada frekuensi yang sama dengan menti beliau, malah juga memberikan nasihat dan galakan yang disesuaikan.

Selain menggunakan lingo bahasa yang dipelajari daripada rujukan sosial media seperti slay, mentor berusia 20 tahun di bawah program #amPowered@MTS itu percaya bahawa beliau dapat membina hubungan lebih rapat bersama mentinya, terutama dalam memahami laluan pendidikan yang tersedia.

“Misalnya, apabila mereka mengatakan perkara seperti, ‘Oh, minggu ini slay’ – lingo Generasi Z yang digunakan jika seseorang melakukan perkara yang menakjubkan – saya tahu apa yang mereka maksudkan. Berbanding dengan mentor lain yang mungkin tidak faham istilah-istilah sebegini, mereka kelihatan teruja apabila dapat tahu kami berkongsi bahasa yang sama.

“Saya dapati bahawa saya lebih memahami pengalaman mereka dalam sistem pendidikan, memandangkan saya pun telah melaluinya sekitar empat tahun yang lalu.

“Oleh itu, ia memberi saya kelebihan untuk berhubung dengan mereka kerana saya dapat menghayati peluang baru yang mereka ada dan lantas membimbing mereka berdasarkan minat dan keperluan individu mereka,” ujar Cik Warda, yang juga bekas pelajar aliran Normal Akademik di Sekolah Menengah Pasir Ris.

Pada 10 November, beliau bersama 13 sukarelawan cemerlang lain telah diiktiraf di Forum M3.

Pada setiap Sabtu terakhir setiap bulan, pelajar Tahun Ketiga Diploma Perniagaan Maritim di Politeknik Singapura (SP) itu akan meluangkan masa di Sekolah Menengah Changkat Changi untuk duduk bersama empat mentinya berusia 16 tahun – dua lelaki dan dua perempuan.

Berlangsung selama sembilan bulan, Cik Warda bersama beberapa mentor lain akan membimbing pelajar menengah tiga hingga lima yang menyertai Skim Tuisyen Mendaki (MTS).

Antara kegiatan yang dilakukan bersama termasuk melaksanakan penetapan matlamat dan membincangkan laluan pendidikan berbeza yang direnungkan mentinya selepas sekolah menengah.

Semasa sesi temubual bersama Berita Harian (BH) di Wisma Mendaki, Cik Warda berkongsi satu detik yang menyerlah baginya, iaitu pada 2023 yang mana terdapat dua pelajar MTS dari aliran Normal Teknikal yang dibimbingnya itu.

Berminat untuk menyertai Program Asas Politeknik (PFP), kedua-dua pelajar itu – yang menurut beliau adalah kawan rapat – ingin melanjutkan pelajaran ke sekolah yang sama meskipun berbeza minat.

“Seorang berminat dalam bidang reka bentuk, seorang lagi berminat dalam bidang kejuruteraan. Oleh itu, saya menggalakkan mereka supaya mempertimbangkan minat dan matlamat peribadi mereka, dan bukannya hanya mengikuti satu sama lain.

“Oleh itu, saya memberi jaminan bahawa mereka masih boleh membuat rakan baru di sekolah masing-masing, dan tumpukan pada impian mereka untuk masa hadapan,” jelas beliau, yang juga memberitahu yang mereka menuruti nasihatnya.

Berkenaan pendekatannya dalam berinteraksi dengan menti, Cik Warda berkongsi bahawa beliau cuba menyeimbangkan antara menjadi seorang mentor yang tegas dan juga seorang sahabat yang memahami.

“Apabila saya berinteraksi dengan mereka, saya cuba untuk mendekati pada tahap persahabatan terlebih dahulu, supaya mereka rasa selesa. Saya cuba seimbangkan antara menjadi seorang mentor yang tegas dan juga seseorang yang boleh mereka berbual dengan dan menjadi seorang pendengar yang baik,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg