Ibarat menyelesaikan susun suai gambar atau teka-teki jigsaw.
Demikian dirasakan Encik Muhammad Shazwan Hakim Mohd Karimin, 25 tahun, dalam mencari strategi terbaik untuk mengajar pelajar berkeperluan khas.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 4 September, beliau berkongsi penggunaan tiub kadbod tisu untuk menggambarkan proses tarikan graviti kepada barangan yang dilepaskan daripada genggaman tangan.
Beliau melakukan demikian kerana murid-muridnya yang dikesan dengan Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) dan keadaan lain, perlu kandungan visual serta gerakan badan untuk menangkap apa yang diajar.
“Pendekatan kreatif untuk mengajar konsep seperti ini adalah seperti menyelesaikan teka-teki jigsaw.
“Seperti meletakkan kepingan teka-teki untuk mendapatkan keseluruhan gambar, kami perlu memahami dan cuba strategi berbeza sehingga dapat mendidik murid-murid kami dengan cara paling berkesan,” jelas Encik Hakim.
Beliau menceburi bidang pendidikan khas pada 2023 sebagai sukarelawan di Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (Eipic) di cawangan Cerebral Palsy Alliance Singapore (CPAS) di Pasir Ris.
“Saya mengikuti jejak langkah ibu saudara saya yang bertugas sepenuh masa di CPAS.
“Selebihnya, saya terharu dengan dedikasi kakitangan di situ yang bertungkus lumus mendidik dan memperkasa kanak-kanak berkeperluan khas,” kata anak sulung empat beradik itu.
Baru-baru ini, Encik Hakim beralih kepada pertubuhan tidak mengaut untung, My Inspiring Journey (MIJ) Hub, selaku guru pendidikan khas sepenuh masa dalam Program Kesediaan Dewasa (RAP).
Melaluinya, beliau bekerjasama dengan pelajar berkeperluan khas berusia 16 hingga 23 tahun.
Walaupun hanya mempunyai pengalaman dua tahun dalam bidang itu, iltizamnya jelas melalui sikap empati dan dedikasi dalam mencari jalan terbaik untuk memenuhi keperluan unik setiap pelajar.
Sokongan guru-guru lain turut merupakan faktor penting dalam mengekalkan azamnya untuk terus berkhidmat bagi pelajar berkeperluan khas, walaupun menghadapi cabaran seperti mengawal pelajar yang hilang kawalan emosi.
“Pelajar tidak sengaja hilang kawalan emosi, tetapi ia tetap pengalaman yang membawa tekanan kepada semua pihak.
“Pada saat itu, pelajar tidak tahu bagaimana cara untuk meluahkan emosi masing-masing.
“Rakan saya akan datang bantu tenangkan pelajar dan memberi kata-kata perangsang dan cadangan apabila situasi sudah terkawal.
“Saya bersyukur dapat kerja di samping guru-guru lebih berpengalaman yang ikhlas membimbing saya,” kongsi Encik Hakim.
Sementara itu, Encik Hakim turut meraikan kejayaan kecil, seperti apabila salah seorang daripada ibu bapa muridnya memaklumkan bahawa anaknya berjaya menggunakan teknik pernafasan untuk menenangkan diri secara berdikari di rumah.
Kini, Encik Hakim bercadang mendalami bidang pendidikan khas dengan harapan dapat memberi bimbingan peribadi kepada individu berkeperluan khas, berbanding keadaan kini – mengajar sekumpulan pelajar.
“Semakin hari, semakin menebal azam dan tekad saya untuk membawa kesan positif kepada murid-murid.
“Saya cuma mahu bantu mereka jaga diri sendiri serta menikmati kehidupan sepenuhnya,” kongsi Encik Hakim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg