Apabila Muhammad Syafiq Haniss, 25 tahun, mendapati dirinya tidak dapat membantu penduduk yang bertutur dalam bahasa Mandarin ketika menjalani latihan di sebuah kelab masyarakat, pengalaman itu terus terpahat dalam ingatannya.

Ketika itulah beliau menyedari bahawa keinginan mahu membantu sahaja tidak mencukupi jika bahasa menjadi penghalang.

Lulusan Kejuruteraan Mekanikal yang membesar dengan mempelajari bahasa Melayu, Inggeris dan Arab di madrasah, kemudian mengambil inisiatif mempelajari beberapa lagi bahasa ketika di universiti.

Kini bertugas sebagai Pengurus Kawasan Undi di Persatuan Rakyat (PA), beliau berharap kebolehannya bertutur dalam pelbagai bahasa dapat membantunya mendekati penduduk daripada pelbagai latar belakang dengan lebih baik.

Anak bongsu daripada lima beradik itu mengakui beliau pada mulanya memilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal kerana melihatnya sebagai bidang yang menawarkan prospek kerjaya yang stabil.

Namun, penglibatannya dalam pelbagai persatuan mahasiswa, kelab serta projek kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mengubah perspektifnya terhadap masa depan.

“Saya sedar apa yang paling saya nantikan setiap hari bukanlah kelas, tetapi peluang untuk berjumpa orang, bekerja dengan mereka dan menyumbang kepada masyarakat.

Dari situ saya tahu kerjaya yang saya mahukan mestilah berteraskan manusia,” katanya.

Kesedaran itu akhirnya mendorong beliau memohon biasiswa PA sebelum memulakan kerjaya sebagai Pengurus Kawasan Undi.

Walaupun tidak lagi bekerja sebagai jurutera, beliau berkata cara berfikir sebagai seorang jurutera masih membentuk pendekatannya dalam menyelesaikan masalah masyarakat.

“Kalau sebuah mesin rosak, kadang-kadang hanya satu komponen kecil yang menjadi puncanya.

Begitu juga dalam masyarakat. Kita tidak boleh hanya melihat gambaran besar, tetapi perlu juga memahami keperluan setiap individu,” ujarnya.

Falsafah itulah yang diterapkan dalam projeknya di universiti, termasuk mereka bentuk tongkat pintar untuk warga emas yang dilengkapi ciri keselamatan bagi membantu mereka bergerak dengan lebih yakin dan berdikari.

Minatnya terhadap bahasa pula berkembang daripada tiga bahasa yang dipelajari sejak kecil kepada bahasa Jepun, Mandarin, Jerman, Perancis, Italy, Korea, Sepanyol dan Thailand ketika di universiti.

Menurut Encik Syafiq, setiap bahasa membuka pintu kepada pengalaman baharu, sama ada ketika mengembara mahupun berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Beliau masih ingat bagaimana kemahiran berbahasa Jepun membantunya berkomunikasi dengan pemilik restoran ketika mencari makanan halal di Jepun, manakala asas bahasa Mandarin memudahkannya mendapatkan bantuan ketika mengembara di China.

“Apabila kita bercakap dalam bahasa seseorang, kita bukan sahaja lebih mudah meminta bantuan, tetapi kita juga menunjukkan rasa hormat kepada budaya mereka,” katanya.

Bagi Encik Syafiq, bahasa bukan sekadar kemahiran tambahan dalam resume (kerja).

Sebaliknya, ia merupakan jambatan yang membolehkan beliau membina hubungan, memupuk persefahaman dan berkhidmat dengan lebih berkesan kepada masyarakat yang berbilang bahasa dan budaya.