Bayangkan seorang lulusan muda yang telah menghantar puluhan permohonan kerja, namun masih belum menerima sebarang maklum balas. 

Dalam penantian itu, pelbagai persoalan mula bermain di fikiran: 

“Adakah saya mempunyai masa depan? Adakah kelulusan saya masih bernilai?  Adakah usaha saya selama ini mencukupi?”

Kebimbangan ini bukan sekadar tentang kemunculan teknologi baharu.

Ia menyentuh sesuatu yang jauh lebih peribadi – identiti, harapan, dan keyakinan diri. 

Jawapan saya ialah:

“Ya, masih ada tempat untuk anak-anak muda kita dalam ekonomi masa depan. Namun, keyakinan itu perlu disertai tindakan yang nyata, bukan sekadar kata-kata yang meyakinkan.”

Inilah yang mendorong hala tuju Jawatankuasa Daya Ekonomi.

Kami mahu  memastikan pelajar Institusi Pengajian Tinggi, lulusan baharu dan pekerja muda yang baharu memulakan kerjaya tidak menghadapi perubahan ini secara bersendirian. 

AI ubah kerja, bukan tamatkan harapan

Kita perlu bersikap realistik.

Kecerdasan buatan, atau AI, sememangnya sedang mengubah landskap pekerjaan.

Sebahagian tugas yang dilakukan hari ini mungkin akan dilaksanakan dengan cara yang berbeza pada masa hadapan.

Kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam pekerjaan juga akan terus berkembang seiring perubahan teknologi dan keperluan industri.

Tetapi ini bukan kali pertama dunia pekerjaan mengalami perubahan besar.

Pada 1980-an dan 1990-an, kita menyaksikan bagaimana komputer mengubah cara bekerja.

Pada ketika itu, ramai juga bimbang pekerjaan akan lenyap.

Sebaliknya, teknologi tersebut melahirkan pelbagai peluang baharu yang sebelum itu tidak pernah wujud, daripada pengatur cara, pereka grafik, hingga penganalisis data.

Mereka yang berjaya bukan mereka yang menolak perubahan, tetapi mereka yang dibimbing untuk memahami perubahan tersebut dan diberikan peluang untuk menyesuaikan diri.

AI tidak berbeza.

Yang berbeza hanyalah skala dan kepantasan perubahannya.

Anak muda kita tidak kekurangan bakat atau semangat.

Apa yang mereka perlukan adalah laluan yang lebih jelas, maklumat yang tepat, dan sokongan yang berterusan untuk membantu mereka mengharungi perjalanan ini bersama-sama.

Bina ekosistem sokongan

Bayangkan perjalanan seorang belia Melayu/Islam dari kampus ke alam pekerjaan.

Di kampus, beliau mula diperkenalkan dengan AI dan teknologi baharu, tetapi masih belum pasti bagaimana perubahan itu akan mempengaruhi masa depannya.

Selepas tamat pengajian, beliau berhadapan dengan pasaran kerja yang semakin berdaya saing, dalam suasana ekonomi dan teknologi yang terus berubah.

Apabila berjaya mendapatkan pekerjaan pertama, cabaran baharu muncul di mana beliau harus kekal relevan untuk berkembang dalam kerjaya.

Pada setiap peringkat perjalanan itu, keperluan mereka berbeza.

Oleh itu, sokongan yang diberikan juga perlu berkembang mengikut tahap kehidupan dan kerjaya para pekerja kita.

Di sinilah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan Yayasan Mendaki dapat memainkan peranan yang saling melengkapi.

Melalui hubungan rapat dengan majikan dan industri, NTUC mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti sektor yang sedang berkembang, kemahiran yang semakin mendapat permintaan serta peluang pekerjaan yang berpotensi tinggi.

Maklumat ini perlu sampai kepada anak muda lebih awal – sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Melalui Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), anak muda kita boleh memanfaatkan pelbagai sokongan seperti bimbingan kerjaya, pemadanan pekerjaan, pembangunan kemahiran serta penggunaan alat berasaskan AI seperti Jurulatih Kerjaya AI NTUC (AICC), bagi membantu mereka merancang langkah seterusnya dengan lebih yakin.

NTUC Youth pula melengkapkan usaha ini melalui inisiatif seperti Ready to Excel dan GLOW, yang membantu belia membina kemahiran kepimpinan, memperkukuh kesiapsagaan kerjaya dan meningkatkan keyakinan diri untuk memulakan perjalanan kerjaya mereka.

Pada masa yang sama, Mendaki menyediakan sokongan yang tidak kurang pentingnya – bimbingan, mentoring, rangkaian masyarakat dan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Kerana perjalanan kerjaya bukan hanya berkaitan sijil atau kemahiran teknikal.

Ia juga berkaitan keyakinan diri, identiti, sokongan keluarga, jaringan sosial dan kepercayaan bahawa ada yang mahu melihat kita berjaya. 

Apabila kekuatan pelbagai rakan kongsi ini digabungkan, kita bukan sekadar menawarkan program-program yang berasingan.

Kita membina sebuah ekosistem sokongan yang menyeluruh – dari kampus, kepada pekerjaan pertama, dan seterusnya sepanjang perjalanan kerjaya anak-anak muda kita. 

Dalam masa yang sama, NTUC akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan kongsi tiga pihak melalui Majlis Pekerjaan Tiga Pihak, serta memperluas inisiatif, AI-Ready SG bagi membantu perkerja dan perniagaan menyesuaikan diri dengan  perubahan yang sedang berlaku.

Tiga kumpulan, satu matlamat 

Bagi pelajar pengajian tinggi, mereka perlu didedahkan lebih awal kepada perubahan industri dan kesan AI terhadap dunia pekerjaan. 

Pendedahan ini tidak seharusnya berbentuk amaran, tetapi panduan yang membantu mereka memahami peluang dan persediaan yang diperlukan untuk masa hadapan. 

Bagi lulusan baharu dan pencari kerja muda, cabarannya pula berbeza. 

Mereka berdepan dengan ketidakpastian, persaingan yang sengit dan kadangkala  kekecewaan apabila permohonan pekerjaan tidak mendapat maklum balas.

Dalam keadaan ini, mereka memerlukan bimbingan praktikal, latihan kemahiran yang relevan, pendedahan kepada sektor pertumbuhan dan sokongan untuk memasuki  pasaran pekerjaan dengan lebih berkesan. 

Bagi pekerja yang baharu memulakan kerjaya, mesej yang perlu disampaikan adalah jelas: pembelajaran tidak berakhir apabila mereka memperoleh pekerjaan pertama.

Dalam ekonomi yang sentiasa berubah, keupayaan untuk terus belajar, menambah kemahiran dan menyesuaikan diri adalah aset paling berharga. 

Walaupun keperluan ketiga-tiga kumpulan pekerja ini berbeza, matlamat kita tetap sama – memastikan anak muda kita tidak menghadapi perubahan ini bersendirian. 

Anak muda sebagai rakan kongsi perubahan 

Satu prinsip utama Jawatankuasa Daya Ekonomi ialah anak muda mesti menjadi rakan kongsi dalam membentuk penyelesaian, bukan sekadar penerima program.

Mereka memahami cabaran yang dihadapi rakan sebaya mereka. Mereka lebih  mengetahui bahasa, saluran dan pendekatan yang berkesan untuk mendekati generasi mereka sendiri.

Dengan sokongan daripada NTUC, Mendaki, mentor industri dan pemimpin masyarakat, mereka boleh memainkan peranan penting dalam membimbing dan memperkasa lebih ramai anak muda. 

Masa depan lebih kukuh tidak boleh dibina untuk anak muda semata-mata.

Ia perlu dibina bersama mereka.

Ini bukan sekadar program daya kerja. 

Ubah kebimbangan jadi keyakinan 

Saya tidak menafikan bahawa AI akan membawa cabaran.

Namun, seperti setiap perubahan besar sebelum ini, ia juga membuka peluang baharu.

Kebimbangan tanpa sokongan hanya akan melahirkan kepada keresahan.

Tetapi kebimbangan yang disertai persediaan boleh menjadi pemangkin kepada kemajuan. 

Tanggungjawab kita bersama sebagai masyarakat adalah untuk mengubah ketidakpastian itu menjadi peluang dan kebimbangan menjadi keyakinan. 

Anak muda kita mempunyai potensi besar.

Kita mempunyai pengalaman, sumber dan rangkaian untuk membantu mereka berjaya.

Yang diperlukan sekarang ialah usaha lebih awal dan lebih berterusan. 

Supaya apabila seorang anak muda bertanya, “Adakah saya mempunyai masa depan?” – jawapannya bukan sekadar kata-kata yang meyakinkan. 

Jawapannya ialah sebuah laluan yang jelas, peluang yang terbuka dan keyakinan bahawa mereka tidak perlu melangkah sendirian.

Penulis pengerusi bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi. Beliau Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar yang juga AP bagi gerakan pekerja. Beliau juga merupakan Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, e2i.