Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bina hubungan rumah-sekolah perkasa didikan awal kanak-kanak

Masjid Ar-Raudhah akan tingkatkan kemudahan pendidikan dengan projek pengubahsuaian bilik darjah untuk prasekolah
Sep 29, 2024 | 5:30 AM
Persekitaran rumah-sekolah yang baik dan kondusif mampu menyokong pembelajaran anak-anak dengan cemerlang dan membina keyakinan positif pada masa hadapan.
Persekitaran rumah-sekolah yang baik dan kondusif mampu menyokong pembelajaran anak-anak dengan cemerlang dan membina keyakinan positif pada masa hadapan. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Pengetua prasekolah di Masjid Ar-Raudhah, Cik Ruqaiyah Sapuan, menyeru ibu bapa agar memberi sokongan penuh terhadap pembelajaran anak-anak mereka sejak usia muda. Beliau menekankan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam membantu perkembangan awal kanak-kanak.

Menurutnya, pembelajaran di prasekolah adalah asas penting untuk perkembangan kanak-kanak, sambil membina asas mereka dan keyakinan diri bagi kejayaan akademik dan sosial pada masa hadapan.

Meskipun guru memainkan peranan penting dalam memupuk rasa ingin tahu dan kemahiran kanak-kanak, ibu bapa juga merupakan tunjang kekuatan dan rakan kongsi yang sama penting dalam proses pembelajaran anak-anak ini.

“Membina hubungan yang kukuh antara di rumah dengan sekolah boleh meningkatkan pengalaman pendidikan kanak-kanak dan membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lancar yang melangkaui bilik darjah,” jelas Cik Ruqaiyah.

Cik Ruqaiyah memberikan beberapa cara praktikal yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk menyokong pembelajaran anak mereka di rumah dan mengukuhkan lagi hubungan dengan prasekolah anak mereka.

1. Komunikasi terbuka dengan guru

Komunikasi antara ibu bapa dengan guru adalah kunci untuk membina persekitaran pembelajaran yang menyokong. Sentiasa berhubung dengan guru untuk memahami kemajuan anak, kegiatan di bilik darjah, dan bidang di mana mereka mungkin memerlukan sokongan tambahan.

Banyak prasekolah menawarkan perjumpaan ibu bapa dan guru, surat berita, atau platform komunikasi digital. Mengetahui tentang apa yang berlaku di bilik darjah membolehkan ibu bapa mengukuhkan konsep dan kegiatan yang serupa di rumah.

Petua: Luangkan masa untuk bercakap dengan anak tentang hari mereka. Soalan mudah seperti “Apa yang kamu pelajari hari ini?” atau “Apakah kegiatan kegemaran kamu?” dapat memberi gambaran tentang pengalaman dan minat anak-anak di sekolah.

2. Cipta persekitaran pembelajaran yang mesra di rumah

Kediaman boleh menjadikan pembelajaran lanjutan untuk anak-anak. Mencipta persekitaran yang mesra pembelajaran boleh membantu memupuk suasana di mana penerokaan dan rasa ingin tahu digalakkan.

Pertimbangkan untuk menyediakan sudut bacaan kecil dengan buku-buku yang sesuai dengan umur, menyimpan bahan seni yang mudah dicapai, atau menyediakan ruang yang tenang untuk permainan kreatif dan pembelajaran yang sesuai.

Petua: Masukkan kegiatan pembelajaran dalam rutin harian. Sebagai contoh, masa memasak boleh digunalkan untuk membincangkan ukuran, warna, dan bentuk. Semasa membeli-belah, galakkan anak mengira barang atau mengenal pasti huruf pada pembungkusan.

3. Tetapkan rutin yang konsisten

Kanak-kanak prasekolah berkembang dengan rutin kerana ia memberikan mereka rasa selamat. Jadual yang konsisten di rumah, termasuk waktu makan, waktu tidur, dan waktu pembelajaran yang tetap, membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan struktur persekitaran sekolah.

Apabila kanak-kanak tahu apa yang diharapkan, mereka akan berasa lebih selesa dan yakin, baik di sekolah mahupun di rumah.

Petua: Sertakan “waktu pembelajaran” rutin harian dengan melibatkan diri dalam kegiatan pendidikan, seperti membaca, permainan teka-teki, atau eksperimen sains yang mudah.

4. Kuatkan pembelajaran melalui permainan

Permainan adalah cara utama kanak-kanak belajar, dan ia boleh disepadukan dengan mudah dalam kegiatan rumah. Permainan mudah seperti membina dengan blok, bermain dengan pasir, atau mengasingkan objek mengikut warna atau bentuk semua menyokong perkembangan kognitif dan motor. Melalui permainan, kanak-kanak meneroka konsep baru, berlatih menyelesaikan masalah, dan mempelajari kemahiran sosial.

Petua: Gunakan permainan untuk mencerminkan pelajaran di bilik darjah. Jika anak sedang belajar tentang haiwan di prasekolah, pertimbangkan untuk mengadakan “hari zoo” di rumah dengan mainan haiwan, buku cerita, dan permainan berkaitan.

“Membina hubungan positif di rumah-sekolah adalah cara terbaik untuk menyokong perjalanan pembelajaran awal kanak-kanak. Dengan mencipta persekitaran pembelajaran yang mesra, ini dapat mengekalkan komunikasi terbuka dengan guru, dan menggabungkan kegiatan pendidikan ke dalam rutin harian.

“Ibu bapa juga dapat meningkatkan pengalaman prasekolah anak mereka dengan cemerlang. Tindakan kecil dan konsisten di rumah boleh memberi kesan besar kepada pertumbuhan, keyakinan dan cinta anak terhadap pembelajaran,’‘ ujar Cik Ruqaiyah.

Menyedari kepentingan pembangunan pendidikan awal kanak-kanak ini, Masjid Ar-Raudhah akan melancarkan satu projek untuk mengubah suai bilik darjah tadika sedia ada.

Projek ini bertujuan memastikan kanak-kanak yang mengikuti kelas di masjid itu mempunyai persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat, dan kondusif. Bilik darjah akan dilengkapi dengan kemudahan moden yang sesuai dengan keperluan pendidikan awal kanak-kanak.

Di samping itu, tadika di Masjid Ar-Raudhah juga dalam proses mendapatkan akreditasi, atau pensijilan, ‘SPARK’ atau Rangka Kerja Pentauliahan Prasekolah Singapura, yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan kanak-kanak prasekolah.

Pendaftaran bagi tahun 2025 kini dibuka. Lungsuri pautan https://linktr.ee/2025MBKEnrolmentPhase1 ini untuk pendaftaran dan maklumat lanjut. Tempat terhad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg