Topik diikuti
Pergi ke BHkuBina legasi sedekah jariah untuk generasi masa depan
Bina legasi sedekah jariah untuk generasi masa depan
Angka $15 juta mungkin kelihatan besar.
Namun, bagi Masjid Alkaff Kampung Melayu, usaha mengumpul dana sebanyak itu bukan sekadar mahu menaik taraf bangunan, bahkan memastikan masjid terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Bagi Setiausaha Lembaga Pentadbir Masjid (LPM), di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Ezril Jamil, setiap sumbangan membawa nilai yang jauh lebih besar daripada jumlah wang yang dihulurkan oleh penderma.
Encik Ezril, 46 tahun, yang mula berkhidmat di Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 2022 dan telah menjadi sukarelawan sejak 1995, berkata kemudahan seperti lif bukan sekadar prasarana, malah satu keperluan yang dapat memudahkan warga emas menunaikan solat berjemaah.
“Jumlah yang disumbangkan mungkin sekali sahaja, tetapi manfaatnya boleh berpanjangan hingga generasi seterusnya, insya-Allah,” jelasnya.
Antara pengalaman yang paling menyentuh hati Jurulatih Profesional dan Perunding Teknologi Keselamatan itu ialah sumbangan $10,000 daripada seorang individu bukan Islam yang memilih merahsiakan identitinya.
Sumbangan itu diberikan dua kali, $5,000 setiap kali.
“Ini membuktikan bahawa semangat memberi dan membantu tidak mengenal batas agama atau bangsa,” tambah Encik Ezril.
Demi memastikan kempen kutipan dana terus menjangkau masyarakat, peranan Cik Mariah Mohd Yusoff, 60 tahun, selaku Pegawai Kewangan di Masjid Alkaff Kampung Melayu, juga penting.
Dengan pengalaman berkhidmat selama 12 tahun, beliau memastikan pelbagai saluran sumbangan disediakan agar masyarakat daripada semua peringkat usia dapat turut serta.
Bagi warga emas, sumbangan masih boleh disalurkan melalui kaunter dan tabung masjid. Malah, perkhidmatan kutipan derma dari rumah turut disediakan bagi mereka yang tidak berupaya datang ke masjid.
Golongan muda pula boleh menggunakan PayNow, kod QR dan platform sumbangan dalam talian seperti Mimbar.
“Kami mahu memudahkan semua golongan menyumbang mengikut keselesaan masing-masing, sama ada secara tunai ataupun digital,” ujar Cik Mariah.
Antara daya usaha yang mendapat sambutan menggalakkan ialah Tabung Infaq Fajar, yang membolehkan masyarakat membawa pulang tabung ke rumah untuk mengumpulkan sumbangan sebelum memulangkannya ke masjid.
Menurut Cik Mariah, sokongan dan keikhlasan masyarakat yang terus menderma menjadi sumber semangat beliau meneruskan usaha tersebut.
“Walaupun ada kalanya sasaran agak mencabar, saya yakin setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, amat bermakna kepada masjid,” katanya lagi.
Encik Ezril dan Cik Mariah menekankan bahawa masyarakat juga boleh membantu dengan menyebarkan maklumat, menjadi sukarelawan atau mendoakan kejayaan kempen.
Bagi mereka, setiap sumbangan ikhlas merupakan sebahagian daripada usaha bersama demi memastikan Masjid Alkaff Kampung Melayu terus menjadi tempat ibadah, menimba ilmu dan mengeratkan silaturahim bagi generasi hari ini dan akan datang.
SEKILAS
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 atau kunjungi masjid di 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221. Atau e-mel kepada inbox@alkaffkm.mosque.sg untuk menjadi sukarelawan masjid.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai rujukan dan e-mel bukti transaksi ke finance@alkaffkm.mosque.sg.
3. PayNow ke UEN S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai rujukan.
4. Secara langsung: Kunjungi pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang, atau Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.
* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok (@alkaffkm), Facebook (Masjid Alkaff Kampung Melayu) dan Instagram (@alkaffkgmelayumosque).