Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Blok di East Coast tidak diroboh, bakal disimpan bagi kegunaan awam

Oct 7, 2024 | 7:08 PM
Rancangan untuk merobohkan Blok 1 di East Coast Road ditarik semula. Sebaliknya ia akan menerima ciri baru, seperti lif dan tangga baru.
Rancangan untuk merobohkan Blok 1 di East Coast Road ditarik semula. Sebaliknya ia akan menerima ciri baru, seperti lif dan tangga baru. - Foto ST

Dahulu dirancang untuk dirobohkan, kini sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di East Coast Road bakal digunakan semula untuk kegunaan masyarakat atau sosial, dan juga mampu menempatkan kedai baru.

Ini susulan langkah pihak berkuasa membuat keputusan baru-baru ini untuk mengekalkan bangunan itu.

Terletak di seberang jalan dari pusat beli-belah Siglap Centre, blok lima tingkat itu adalah antara kelompok empat blok HDB bertingkat rendah ditetapkan untuk dirobohkan selepas ia menjadi sebahagian daripada projek Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers) yang diumumkan pada 2011.

Sebaliknya, Blok 1 East Coast Road akan menerima ciri baru seperti lif dan tangga baru.

Ia juga akan mendapat suntikan nafas baru selepas Penguasa Tanah Singapura (SLA) memanggil tender pada 24 September untuk perunding bagi mengawasi pengubahsuaian bangunan itu.

Tender itu mengubah keputusan awal untuk merobohkan Blok 1. Sebaliknya, pihak berkuasa kini mahu perunding menjadikan bangunan kosong itu dalam “keadaan boleh disewa” untuk kegunaan sosial, masyarakat dan komersial.

SLA berkata ia mahu melakukan demikian sambil “memelihara warisan dan kenangan sosial kolektif bekas rumah flat itu”. Ia menambah bahawa susunan dalam blok itu mungkin diubah semula untuk kegunaan masa depan.

Sementara itu, Blok 2 hingga 4 akan dirobohkan, selepas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memberi kebenaran kepada HDB pada 6 September untuk merobohkannya.

Keputusan agensi pemerintah untuk mengekalkan Blok 1 merupakan kes yang jarang berlaku di mana blok perumahan HDB disimpan dan digunakan semula untuk kegunaan lain.

Mengulas tentang keputusan mereka untuk mengekalkan blok itu, URA, SLA dan HDB berkata dalam satu kenyataan bersama kepada akhbar The Straits Times, bahawa kajian telah dilakukan untuk melihat bagaimana penggunaan tanah boleh dioptimumkan selepas keempat-empat blok itu dikosongkan.

Menurut kenyataan itu, kajian untuk pelan terperinci sedang dijalankan. Agensi-agensi tersebut berkata tender SLA dijadual untuk diberikan kepada yang berjaya pada separuh pertama 2025, dengan kerja pengubahsuaian di Blok 1 dijadualkan siap pada 2028.

Kerja merobohkan Blok 2 hingga 4 akan bermula pada suku pertama 2025 dan siap pada 2026.

Keempat-empat blok, yang terletak di atas tapak seluas kira-kira 0.7 hektar yang dizonkan untuk perumahan, siap dibina pada November 1963.

Selepas siap dibina, keempat-empat blok itu terdiri mempunyai 119 unit flat, 10 unit kedai dan sebuah klinik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg