Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melonggarkan cara menilai pendapatan pasangan muda apabila membeli unit Bina Ikut Tempahan (BTO), memudahkan mereka yang masih belajar atau baru mula bekerja untuk membeli unit yang lebih mahal.
Mulai Julai, pasangan boleh tangguhkan penilaian pendapatan untuk pinjaman perumahan sehingga sebelum mengambil kunci rumah, asalkan salah seorang pasangan adalah pelajar sepenuh masa atau anggota Perkhidmatan Negara (NS).
Ini membolehkan pasangan layak untuk pinjaman lebih tinggi kerana mereka sudah bekerja pada waktu itu.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan demikian pada 26 Mac semasa sesi pertemuan mengenai perumahan awam di Universiti Nasional Singapura (NUS), lapor The Straits Times (ST).
Encik Lee juga berkata pihak berkuasa akan meningkatkan bekalan unit BTO dengan waktu menunggu lebih pendek, iaitu kurang daripada tiga tahun.
Sekitar 12,000 unit BTO akan dilancarkan dari 2025 hingga 2027, lebih banyak daripada yang dikeluarkan HDB dalam lima tahun terakhir.
Ia akan menjadi sebahagian daripada lebih 50,000 unit yang akan dilancarkan dalam tempoh itu.
Encik Lee berkata kelonggaran penangguhan penilaian pendapatan ini akan membantu pasangan muda membeli unit empat atau lima bilik jika mereka merancang untuk mempunyai anak.
Sebelum ini, kedua-dua pasangan perlu pelajar sepenuh masa atau anggota NS, atau telah tamat pengajian atau perkhidmatan negara dalam 12 bulan sebelum memohon kelayakan flat HDB.
Sekurang-kurangnya salah seorang perlu berusia 30 tahun atau lebih muda.
“Setiap perjalanan hidup pasangan muda berbeza dan kami berharap dapat menyokong impian perumahan anda,” kata Encik Lee kepada pelajar NUS.
Encik Lee memberi contoh pasangan yang seorang masih belajar dan seorang lagi bekerja setahun, dengan pendapatan $3,500 sebulan. Sebelum ini, mereka hanya mampu membeli flat BTO tiga bilik.
Namun, jika mereka mahu mempunyai ramai anak, flat itu mungkin kecil.
Dengan skim baru, mereka boleh memohon flat BTO dahulu, dan pinjaman serta penilaian geran akan ditangguhkan tiga tahun.
“Pada waktu itu, dengan pendapatan gabungan $7,500, mereka layak untuk membeli flat BTO empat atau lima bilik,” kata Encik Lee.
Beliau berkata skim ini juga membantu pasangan yang ingin membeli flat lebih dekat dengan pusat bandar dan kemudahan, yang biasanya lebih mahal.
Bayaran pendahuluan awal yang perlu dikeluarkan ialah 2.5 peratus daripada harga flat.
Beliau berkata peluasan skim ini akan memberi manfaat kepada pelbagai pasangan muda, termasuk graduan universiti, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Dalam ucapannya, Encik Lee juga menyentuh kebimbangan mengenai stok unit BTO dan waktu menunggu.
Pihak berkuasa dijangka melancarkan lebih 100,000 unit baru dari 2021 hingga 2025.
Encik Lee juga menambah, masa menunggu median untuk unit BTO kini kurang daripada empat tahun, setanding dengan masa menunggu sebelum pandemik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg