Syarikat perkongsian kenderaan elektrik (EV), BlueSG, telah melupuskan seluruh armada EV lama menjelang pelancaran semula syarikat itu, yang dirancang pada 2026.
Akhbar The Straits Times (ST), pada 18 Disember, melaporkan EV tiga pintu yang terkenal bagi syarikat itu telah dilupuskan, manakala model EV lima pintu telah dijual kepada pengedar kereta terpakai.
Langkah sedemikian diambil menyusuli pengumuman BlueSG pada 4 Ogos untuk menggantung operasinya mulai 8 Ogos bagi menaik taraf wadah teknologi utamanya.
Pengguna sedia ada telah diberikan pulangan wang.
Ketua Pegawai Eksekutif BlueSG, Encik Keith Kee, berkongsi syarikat itu telah selesai melupuskan kenderaan berkenaan dan berada di landasan betul untuk pelancaran semula.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Syarikat perkongsian EV bagi sewaan jangka pendek itu menggunakan dua jenis kenderaan.
Yang pertama adalah model tiga pintu Bluecar yang mempunyai empat tempat duduk dan digunakan sejak 2017 apabila BlueSG mula dilancarkan.
Yang kedua adalah model Opel Corsa-e dengan lima pintu, yang diperkenalkan pada 2022.
BlueSG tidak menyatakan sebab Bluecar dilupuskan dan tidak dijual kepada syarikat perkongsian kereta Tribecar.
Namun, jurucakap Tribecar berkata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menyekat penjualan tersebut.
Menjawab pertanyaan ST pula, LTA berkata Bluecar didaftarkan di bawah Skim Perkongsian EV dan oleh itu, pemilikan tidak boleh dipindahkan untuk sebarang tujuan, selain skim percubaan sewa kereta elektrik.
Skim ini diumumkan oleh LTA dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 2016.
Menteri Pengangkutan pada waktu itu, Encik Khaw Boon Wan, meluluskan BlueSG, yang ketika itu merupakan sebahagian konglomerat Perancis Bollore Group, untuk mengendalikan armada kereta elektrik di bawah program tersebut.
Tribecar telah mengembalikan deposit yang diambilnya setelah mempromosikan program pajakannya menggunakan Bluecar pada Ogos (2025).
Menurut rekod LTA, terdapat 692 EV tiga pintu di Singapura pada penghujung 2024 – turun daripada jumlah tertinggi iaitu 791 EV pada 2022.
Sebahagian daripada 194 kereta Opel Corsa-e yang didaftarkan antara 2022 dengan 2025 juga kini dijual di pasaran terpakai.
Sehingga 17 Disember, terdapat 41 kereta yang disenaraikan di laman penjualan kereta terpakai Sgcarmart. Kereta sedemikian mempunyai baki Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) lebih kurang tujuh tahun.
Ada daripada kereta tersebut telah mencatatkan jarak 90,000 kilometer – lebih tinggi daripada sekitar 50,000 kilometer untuk kereta persendirian yang setanding tempoh COE serupa.
Pemilik Electric Vehicle SG dan pakar penjualan EV, Encik Ong Kheng Kwang, berkata beliau telah menjual lapan daripada 10 kereta Corsa-e yang diperolehnya daripada BlueSG.
Beliau berkata status kesihatan bateri dan struktur badan kereta diperiksa sebelum ia dijual.
Pada 2016, BlueSG telah menandatangani perjanjian dengan LTA dan EDB untuk melancarkan 1,000 EV dan 2,000 titik pengecasan EV di seluruh Singapura, menjelang 2020. Program itu dilancarkan pada 2017.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg