Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BlueSG hentikan kakitangan, gantung khidmat kongsi kereta

Gantung khidmat mulai 8 Ogos; tambah baik aplikasi, kenderaan
Aug 5, 2025 | 3:48 PM
BlueSG, gantung khidmat, kongsi kereta
Syarikat perkongsian kereta elektrik, BlueSG, mengumumkan ia akan menggantung operasinya mulai 8 Ogos, sebagai persiapan menaik taraf wadah teknologi dan kenderaan kereta syarikat tersebut. - Foto ST

Syarikat perkongsian kereta elektrik, BlueSG, pada 4 Ogos mengumumkan ia telah memberhentikan sebilangan kakitangannya dan akan menggantung operasinya mulai 8 Ogos.

Langkah tersebut diambil sebagai persiapan menaik taraf wadah teknologi dan kenderaan BlueSG.

Ini sedang syarikat itu menghadapi pelbagai aduan mengenai masalah kereta dan aplikasinya.

BlueSG merupakan pemain utama dalam perkhidmatan perkongsian kereta di Singapura dan mempunyai sekitar 250,000 pelanggan.

Syarikat itu berkata ia membuat “keputusan sukar tersebut untuk memperkemas operasi dengan ketara”.

Ia tidak mendedahkan bilangan kakitangan yang diberhentikan, namun mengesahkan bahawa ia kini beroperasi dengan khidmat “pasukan teras”, lapor The Business Times (BT).

“Kami sedang bekerja rapat dengan kakitangan yang terjejas untuk memberi pampasan yang adil, sokongan kerjaya, dan jika boleh, meneroka peluang penempatan semula (pekerja) dalam kumpulan lebih luas,” katanya.

Seorang jurucakap BlueSG menambah bahawa syarikat tersebut berharap dapat menarik semula kakitangan yang diberhentikan itu, apabila jawatan baru dibuka selepas perkhidmatannya disambung semula.

Perkhidmatan baru BlueSG dijangka dilancarkan pada 2026.

Ia akan merangkumi penyediaan lebih banyak tempat mengambil dan menurunkan penumpang, serta kenderaan baru.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BlueSG, Encik Keith Kee, berkata:

“Kami tidak menghentikan perkhidmatan ini. Kami hanya menggantung khidmat buat sementara waktu, sebagai persediaan menaik taraf khidmat kami.”

Menurutnya, berdasarkan pengalaman yang diraih daripada operasinya, BlueSG berhasrat untuk kembali berkhidmat dengan menambah baik wadah dan kenderaannya.

“Wadah baru ini bakal mengetengahkan kenderaan yang diperbaharui dan sistem yang dinaik taraf, direka untuk memberi prestasi lebih kukuh dan pengalaman pengguna lebih lancar,” tambahnya.

Kereta BlueSG sedia ada mungkin tidak akan digunakan lagi dalam fasa baru perkhidmatan syarikat itu.

Kereta sedia ada tersebut akan ditamatkan perkhidmatannya, atau digunakan semula untuk tujuan lain, mengikut keperluan.

Beliau tidak menjelaskan mengenai kos kerja penambahbaikan tersebut, namun berkata:

“Keputusan ini mencerminkan visi strategik jangka panjang syarikat yang ditetapkan melalui pembiayaan kewangan yang teliti.”

BlueSG turut mengharapkan pelaburan daripada rakan strategik yang akan menyumbang teknologi dan kepakaran kepada syarikat itu, jelas beliau.

Sejak beberapa tahun lalu, BlueSG menerima maklum balas di saluran dalam talian tentang perkhidmatan pelanggannya yang kurang responsif, aplikasi bermasalah, dan keadaan kenderaan agak usang atau kurang bersih.

Seorang bekas pelanggan BlueSG berkata beliau berhenti menggunakan kereta itu pada awal 2025 kerana kenderaan dan stesen mengecas yang tidak diselenggara dengan baik, selain khidmat sokongan pelanggan yang mengecewakan.

Isu teknologi BlueSG menjadi antara punca masalah dihadapi syarikat itu, ujar sumber yang mengetahui tentang perkara tersebut.

“Kami sedang bekerja rapat dengan kakitangan yang terjejas untuk memberi pampasan yang adil, sokongan kerjaya, dan jika boleh, meneroka peluang penempatan semula (pekerja) dalam kumpulan lebih luas.”
Syarikat perkongsian kereta elektrik, BlueSG.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg