Topik diikuti
Pergi ke BHkuBoccia tiup semangat mulakan hidup baharu setelah 3 tahun murung
Kehidupan berubah selepas sertai kegiatan di Pusat Penuaan Aktif
Sejajar dengan seruan negara untuk menua dengan sihat, bermacam acara dan kegiatan dianjurkan pelbagai pihak termasuk Pusat Penuaan Aktif (AAC) setempat bagi menggalak golongan warga emas agar kekal aktif secara mental dan fizikal. Berita Harian (BH) menampilkan tiga individu yang walaupun sudah berusia lanjut dan berdepan pelbagai cabaran dan masalah kesihatan, namun mereka tetap bersemangat kental serta berusaha menjalani kehidupan aktif dan sihat.
Selepas pemergian suaminya dalam satu kemalangan, Cik Rogayah Abu, 71 tahun, semakin menyepi dan jarang keluar rumah selama hampir tiga tahun.
Beliau yang menggunakan kerusi roda kerana kedua-dua kakinya lemah selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada 2008 itu, mula menjauhkan diri daripada kegiatan sosial dan hilang motivasi untuk kekal aktif.
Sebelum itu, kehidupan Cik Rogayah banyak tertumpu kepada suaminya. Mereka sering menghabiskan masa bersama, termasuk berjalan-jalan di Malaysia.
Namun, selepas kehilangan suaminya, beliau mengakui dirinya semakin kurang berminat untuk keluar dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
“Saya rasa macam ‘pencenkan’ diri. Duduk di rumah saja, buat amalan, tengok YouTube dan Facebook. Rasa macam tunggu masa saja,” katanya.
Namun, kehidupannya berubah selepas beliau digalakkan menyertai kegiatan di Pusat Penuaan Aktif (AAC) NTUC Health (Woodlands East), tempat beliau menemui semula kegembiraan bergerak menerusi boccia, salah satu sukan adaptif dalam Sukan Nasional Warga Emas (SNG).
Pada mulanya, Cik Rogayah berasa hairan apabila menerima panggilan untuk menyertai kegiatan di pusat tersebut.
Namun, selepas mendapat galakan daripada anak-anaknya, beliau mengambil keputusan untuk mencuba.
“Anak saya kata, ‘Mak pergilah bergaul. Kalau duduk rumah saja nanti mak demensia’.
“Apabila datang sini saya tengok banyak aktiviti. Ada senaman, karaoke, kraf tangan dan macam-macam lagi. Saya terus rasa seronok,” katanya.
Di pusat itu, beliau bukan sahaja menemui rakan baharu, malah diperkenalkan kepada sukan boccia.
Walaupun tidak pernah menyertai sukan sebelum ini, Cik Rogayah mula berminat selepas mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih dan peserta lain.
Kini, beliau menjalani latihan secara berkala bersama rakan-rakan sebagai persediaan menghadapi pertandingan SNG.
Selain boccia, beliau turut aktif menyertai pelbagai kegiatan seperti senaman kerusi, yoga kerusi, karaoke, mengait dan kegiatan seni.
Bagi Cik Rogayah, penyertaan dalam sukan adaptif itu bukan sekadar peluang untuk bertanding, bahkan juga membantunya membina semula keyakinan diri.
“Saya rasa bangga. Dulu saya tak pernah main sukan. Sekarang saya rasa macam muda balik,” akuinya.
Menurut beliau, rutin baharunya membuatkan beliau berasa lebih sihat, ceria dan mempunyai sebab untuk keluar rumah setiap hari.
“Daripada duduk rumah, lebih baik datang sini. Saya gembira, ada kawan dan rasa lebih sihat,” kongsinya.
Bagi Cik Rogayah, usia dan cabaran pergerakan bukan penghalang untuk terus aktif.
Sebaliknya, peluang mencuba sesuatu yang baharu telah memberinya semangat untuk menikmati kehidupan semula.
“Dulu saya rasa macam hidup saya dah berhenti. Sekarang saya rasa macam hidup semula,” katanya.
