Sepanjang tiga dekad yang lalu, saya telah melihat ekonomi Singapura dan masyarakat menerusi beberapa perspektif – sebagai sukarelawan dalam badan bantu diri Melayu/Islam, sebagai penjawat awam di Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dan sebagai penasihat ekonomi dan pasaran sektor swasta kepada syarikat.

Saya juga melihat daripada perspektif seorang pelabur dan penggubal dasar serantau sepanjang Krisis Kewangan Global, kebangkitan pendigitalan, pandemik Covid-19 dan kini transformasi yang dibawa oleh kecerdasan buatan (AI). 

Hari ini, sebagai seorang Anggota Parlimen (AP) dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi (CER), pengalaman itu membawa saya kepada satu keyakinan, iaitu dasar ekonomi berjaya bukan kerana ia menghasilkan statistik yang lebih baik, tetapi kerana ia memberi lebih banyak peluang kepada rakyat. 

Persoalan yang kita hadapi bukan sekadar sama ada Singapura terus berkembang, tetapi sama ada setiap rakyat Singapura dapat melihat tempat yang meyakinkan untuk diri mereka dalam perkembangan itu.

Singapura telah menghabiskan enam dekad yang lalu menguasai ekonomi pertumbuhan. Fasa pembangunan seterusnya akan memerlukan kita menguasai ekonomi daya tahan. Perbezaan itu penting.

Pertumbuhan mencipta peluang. Daya tahan memastikan bahawa ekonomi, perniagaan dan rakyat kita dapat terus mencipta, menyesuaikan diri dan memanfaatkan peluang-peluang tersebut, walaupun pada masa terdapatnya gangguan.

Persekitaran global yang menjadi asas kejayaan Singapura telah berubah. Persaingan geopolitik sedang membentuk semula aliran perdagangan, pelaburan dan teknologi. Keputusan ekonomi semakin dipengaruhi oleh pertimbangan keselamatan negara. 

AI sedang mengubah cara syarikat bersaing, melabur dan menjalankan kerja. Di dalam negara pula, penduduk semakin menua dan pertumbuhan tenaga kerja semakin perlahan.

Ini bermakna Singapura tidak lagi boleh bergantung pada faktor pertumbuhan yang sama yang pernah membantu kita pada masa lalu. 

Ini bukanlah halangan sementara. Ini adalah peralihan struktur yang akan membentuk ekonomi Singapura selama bertahun-tahun, malah berdekad-dekad.

Semakan Strategi Ekonomi (ESR) menyediakan pelan tindakan yang tepat pada masanya untuk mengharungi persekitaran baharu ini dengan mempertajamkan cadangan nilai Singapura, mengukuhkan keupayaan perusahaan, memperdalam daya tahan, dan memastikan Singapura kekal sebagai hab global yang dipercayai untuk pelaburan, inovasi dan bakat.

ESR menjawab satu persoalan penting kebangsaan: bagaimana kita kekal berdaya saing dalam dunia yang jauh lebih tidak menentu?

CER pula mengemukakan satu persoalan yang melengkapinya – bagaimanakah kita memastikan masyarakat Melayu/Islam bukan sekadar menyesuaikan diri dengan transformasi itu, malah turut membentuk dan memanfaatkannya? 

Peranan kita bukanlah untuk membangunkan strategi ekonomi berasingan untuk masyarakat Melayu/Islam. Singapura berjaya kerana kita bergerak ke hadapan bersama di bawah satu strategi kebangsaan yang sama. 

Tugas kita adalah memastikan peluang peringkat nasional menjadi mudah diakses, mudah difahami dan boleh dimanfaatkan oleh pekerja, karyawan, usahawan dan golongan muda Melayu/Islam, dengan menterjemahkan strategi kebangsaan kepada penyertaan masyarakat, dan penyertaan kepada kemajuan ekonomi yang berkekalan. 

CER tidak seharusnya diukur berdasarkan bilangan program yang dilancarkannya.

Sebaliknya, ia harus diukur berdasarkan sama ada lebih ramai anggota masyarakat kita memasuki industri pertumbuhan, maju ke kedudukan kepimpinan, membina perniagaan yang berjaya, dan turut serta dengan yakin dalam ekonomi Singapura yang terus berkembang. 

Membina Daya Tahan yang Berteraskan Rakyat 

Kejayaan ekonomi Singapura telah lama dibina atas keterbukaan, daya saing, kecekapan dan ketersambungan.

Asas-asas itu kekal penting dan amat diperlukan. Namun kecekapan sahaja sudah tidak lagi mencukupi. 

Perniagaan yang hanya menumpukan kepada kos boleh menjadi lebih mudah terjejas apabila rantaian bekalan terganggu.

Pekerja yang hanya mahir dalam satu bidang sempit mungkin bergelut apabila teknologi mengubah jenis kerja mereka.

Isi rumah yang mempunyai simpanan kewangan terhad pula mungkin sukar menghadapi masalah kewangan. 

Oleh itu, daya tahan perlu dibina di setiap peringkat. Di peringkat kebangsaan, ini bermakna keselamatan tenaga yang lebih kukuh, rantaian bekalan yang lebih pelbagai, dan perkongsian antarabangsa yang dipercayai. 

Di peringkat perusahaan, ini bermakna inovasi dan transformasi berterusan.

Manakala di peringkat masyarakat, ini bermakna memastikan tiada sesiapa terpinggir daripada sektor yang akan mendorong kemakmuran Singapura pada masa depan.

Akhirnya, daya tahan tidak boleh diukur hanya berdasarkan penunjuk agregat.

Ia perlu dapat dialami – oleh pekerja yang masih boleh mendapat pekerjaan, oleh perniagaan yang terus berinovasi dan berkembang, dan oleh keluarga yang yakin bahawa perubahan ekonomi akan terus mencipta peluang untuk mereka. 

Peralihan Ekonomi Memberi Kesan Berbeza kepada Setiap Orang 

ESR menyatakan dengan jelas bahawa AI akan mengubah cara kita bekerja.

Teknologi membolehkan syarikat menghasilkan lebih banyak dengan sumber yang lebih sedikit.

Malah, semakin lama, syarikat dapat menghasilkan pengeluaran ekonomi yang sama dengan bilangan pekerja yang lebih kecil.

Namun, ini tidak bermakna kita harus menentang perkembangan teknologi. 

Sejarah menunjukkan bahawa masyarakat yang cuba mengekalkan setiap pekerjaan sedia ada dengan mengorbankan inovasi akhirnya melemahkan daya saing mereka dan mencipta lebih sedikit peluang untuk generasi masa depan.

Cabarannya bukanlah sama ada Singapura harus menerima AI, tetapi bagaimana kita melakukannya.

Teknologi seharusnya menambah keupayaan manusia, membolehkan pekerja membuat keputusan yang lebih baik, melaksanakan tugas bernilai lebih tinggi dan menjadi lebih produktif. 

Perniagaan yang menggunakan AI oleh itu harus memberi perhatian bukan sahaja kepada hasil teknologi, malah kepada hasil pekerja – menerusi reka bentuk semula kerja, latihan, penempatan semula dan kemajuan kerjaya.

Pilihan yang kita buat hari ini akan menentukan sama ada AI menjadi terutamanya penambah keupayaan pekerja atau penggantian pekerja.

Peranan CER adalah untuk memastikan pekerja dan perusahaan Melayu/Islam bukan sekadar penerima pasif perubahan teknologi, bahkan peserta aktif dalam membentuk dan memanfaatkannya.

Ini memerlukan kita berfikir melangkaui kemahiran semata-mata, ke arah penyertaan, kemajuan dan pemilikan.

Pertama: Perluas Penyertaan dalam Ekonomi Masa Depan

Pendidikan dan peningkatan kemahiran telah banyak menyumbang kepada kemajuan masyarakat Melayu/Islam.

Fasa seterusnya bukan lagi tentang mengumpul kelayakan semata-mata, tetapi lebih tentang memastikan lebih ramai anggota masyarakat kita turut serta dalam sektor-sektor yang mana peluang masa depan sedang dicipta. 

Ini termasuk perkhidmatan berasaskan AI, pembuatan termaju, keselamatan siber, tenaga mampan, penjagaan kesihatan, sains kehidupan, logistik, kewangan dan industri intensif pengetahuan yang lain.

Penyertaan perlu bermula jauh sebelum sebarang gangguan berlaku.

Pelajar memerlukan pendedahan lebih awal kepada industri baru muncul sebelum membuat keputusan mengenai apa yang perlu dipelajari. 

Profesional muda mendapat manfaat daripada mentor yang dapat meluaskan skop kerjaya mereka.

Pekerja di pertengahan kerjaya memerlukan pandangan tepat pada masanya mengenai permintaan industri yang berubah dan laluan kerjaya yang realistik sebelum gangguan berlaku.

Secara ringkas, kita perlu beralih daripada sekadar meningkatkan kemahiran, kepada memastikan kemahiran itu tepat untuk masa depan.

Ini bermakna menghubungkan pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat secara lebih bertujuan dengan pekerjaan masa depan, keperluan industri yang berubah, dan kemajuan kerjaya yang bermakna. 

Digunakan secara bertanggungjawab, AI boleh menyokong usaha itu dengan mengkhususkan pembelajaran, mengenal pasti kemahiran baru muncul dan menghubungkan individu dengan mentor serta peluang dengan cara yang tidak mampu dilakukan sebelum ini. 

Teknologi tidak akan menggantikan pertimbangan manusia, tetapi ia boleh membantu institusi masyarakat menyokong rakyat secara lebih proaktif sepanjang hayat kerjaya mereka, bukan hanya apabila mereka menemui kesukaran.

Kedua: Alihkan Perbualan daripada Pekerjaan kepada Kemajuan

Mendapatkan pekerjaan kekal sebagai ukuran penting kejayaan ekonomi. Tetapi dalam ekonomi yang pantas berubah, ia tidak lagi mencukupi.

Persoalan yang lebih penting ialah sama ada individu terus maju – memperdalam kepakaran mereka, mengambil lebih banyak tanggungjawab dan beralih ke peranan yang lebih khusus, kepimpinan dan keusahawanan. 

Daya tahan kerjaya akhirnya adalah tentang mengekalkan keupayaan untuk belajar, menyesuaikan diri dan kekal relevan sepanjang empat dekad kehidupan bekerja, bukan sekadar mencari pekerjaan seterusnya.

Bagaimanakah kita membantu lebih ramai karyawan muda Melayu/Islam menjadi jurutera kanan, penyelidik, pakar teknologi, eksekutif dan pemimpin industri?

Bagaimanakah kita memastikan individu berbakat daripada setiap latar belakang mendapat akses kepada mentor, pendedahan antarabangsa, peluang kepimpinan dan penajaan kerjaya?

Kelayakan formal adalah penting. Tetapi kerjaya juga dibentuk oleh pendedahan tempat kerja, rangkaian profesional, mentor yang dipercayai, keyakinan, peluang untuk memimpin, dan pengurus yang sanggup melabur dalam potensi rakyat.

Bentuk-bentuk modal sosial dan profesional ini layak mendapat perhatian yang sama seperti kemahiran teknikal.

Institusi masyarakat memainkan peranan penting dalam memperluas akses kepada peluang sedemikian.

Rangkaian profesional Mendaki, inisiatif pekerjaan M Kuasa Tiga+ (M³+), kesatuan sekerja, majikan, institusi pendidikan dan persatuan industri sudah pun menyumbang secara signifikan. 

Langkah seterusnya bukan sekadar memperluas program, bahkan mengukuhkan hubungan antara karyawan yang bercita-cita tinggi dengan industri yang mana peluang masa depan Singapura akan semakin banyak ditemui.

Teknologi boleh menyokong hubungan manusia itu dengan membantu individu lebih memahami pekerjaan baru muncul, mengenal pasti latihan yang relevan dan mengharungi laluan kerjaya yang semakin kompleks. 

Namun AI seharusnya mengukuhkan keupayaan kita untuk menghubungkan orang dengan hubungan dan peluang yang paling penting, bukan menggantikan nasihat yang dipercayai daripada karyawan berpengalaman.

Ketiga: Kukuhkan Pemilikan dan Pertumbuhan Perusahaan

Daya tahan ekonomi dibina bukan sahaja menerusi pekerja yang lebih kukuh, malah menerusi perusahaan yang lebih kukuh.

Masyarakat perniagaan Melayu/Islam telah lama menunjukkan kekuatan merentasi sektor makanan dan minuman, runcit, perkhidmatan profesional, logistik, pembinaan, perdagangan dan banyak lagi.

Persoalannya kini adalah bagaimana ia boleh berkembang.

Generasi perusahaan seterusnya akan bersaing semakin banyak menerusi inovasi, penerimaan teknologi, data, perkongsian antarabangsa dan modal intelektual.

ESR menekankan kepentingan transformasi perusahaan, pengantarabangsaan, produktiviti dan penerimaan AI.

Bagi kebanyakan perniagaan kecil, cabarannya jarang berkaitan kesediaan. Kebanyakan mengiktiraf bahawa pendigitalan dan AI semakin menjadi penting.

Halangan yang lebih besar sering terletak pada pelaksanaan – mengenal pasti penyelesaian yang sesuai, mengakses kepakaran, menguruskan kos dan mengharungi skim sokongan. 

Sokongan dalam bentuk nasihat berasaskan sektor, pembelajaran rakan sebaya, perkongsian dengan firma yang lebih besar dan penerimaan teknologi secara praktikal boleh menjadi lebih bernilai berbanding sekadar meningkatkan kesedaran.

AI turut menawarkan lebih daripada sekadar meningkatkan kecekapan operasi.

Jika digunakan dengan betul, ia boleh membantu usahawan memahami pelanggan dengan lebih baik, meningkatkan produktiviti, mengenal pasti peluang eksport, menguruskan risiko, dan membuat keputusan yang lebih baik walaupun dengan sumber yang terhad. 

AI juga berpotensi memberi peluang yang sama kepada perniagaan kecil, yang dahulunya hanya dimiliki oleh organisasi yang jauh lebih besar. 

Cita-cita kita bukan sekadar untuk membantu perusahaan bertahan.

Ia seharusnya untuk membantu lebih banyak syarikat Melayu/Islam Singapura berinovasi, mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa, dan mencipta pekerjaan yang baik untuk generasi masa depan.

Penulis Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi (CER).

AI sedang mengubah cara syarikat bersaing, melabur dan menjalankan kerja. Di dalam negara pula, penduduk semakin menua dan pertumbuhan tenaga kerja semakin perlahan. Ini bermakna Singapura tidak lagi boleh bergantung pada faktor pertumbuhan yang sama yang pernah membantu kita pada masa lalu. Ini bukanlah halangan sementara. Ini adalah peralihan struktur yang akan membentuk ekonomi Singapura selama bertahun-tahun, malah berdekad-dekad.
Penulis.