Bola lantai kian hangat: Semakin ramai turun gelanggang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bola lantai kian hangat: Semakin ramai turun gelanggang

Peluang Laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) menerusi bola lantai turut tarik minat pemain Melayu
Feb 1, 2026 | 11:17 AM

Bola lantai kian hangat: Semakin ramai turun gelanggang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sukan bola lantai turut menarik minat belia dan pelajar Melayu.
Sukan bola lantai turut menarik minat belia dan pelajar Melayu. - Foto AKADEMI BOLA LANTAI BELIA

Semakin ramai yang minat menceburi sukan bola lantai atau floorball di Singapura, termasuk dalam masyarakat Melayu, dengan ada yang melihatnya sebagai laluan Pengambilan Masuk Ke Sekolah secara Langsung (DSA).

Menurut pengurus besar Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA), Encik Ryan Quek, penyertaan institusi pendidikan dalam sukan ini meningkat secara konsisten dari tahun ke tahun.

“Setakat 2026, terdapat sekitar 7,000 pemain bola lantai dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke maktab rendah. Ini satu perkembangan yang sangat baik dan membanggakan kerana bola lantai diwakili secara seimbang oleh semua kaum dan etnik,” katanya.

Peningkatan minat ini turut dilihat di peringkat akar umbi. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Bola Lantai Belia (YFA), Encik Norani Zaini, berkata permintaan terhadap latihan bola lantai meningkat selepas pandemik Covid-19, didorong lebih banyak sekolah menengah yang menawarkan bola lantai sebagai pilihan menerusi laluan Pengambilan Masuk Ke Sekolah secara Langsung (DSA).

DSA mengiktiraf bakat dan pencapaian pelajar dalam pelbagai aspek, melebihi keupayaan akademik.

“Ketika kami bermula, peratusan pelajar Melayu sekitar 20 peratus. Kini ia meningkat kepada kira-kira 25 peratus. Ini disebabkan pertambahan sekolah DSA dan juga aspirasi pemain muda untuk mewakili pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Tambah beliau, berbanding bola sepak, bola lantai mempunyai masyarakat yang lebih kecil, menjadikan laluan ke tahap lebih tinggi kelihatan lebih realistik.

“Ramai ibu bapa juga memilih bola lantai kerana ia sukan yang diadakan di kawasan tertutup dan tidak bergantung kepada cuaca,” kata Encik Norani.

Pandangan ini disokong oleh Encik Shahizan Ahmad, yang merupakan pensyarah sambilan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan merupakan seorang jurulatih bola lantai.

Encik Shahizan sudah lebih 31 tahun terlibat dalam bidang pendidikan jasmani yang aktif dalam pembangunan sukan sekolah khususnya bola lantai semasa Ketua Jabatan di Sekolah Rendah Pasir Ris dan sebagai Guru Peneraju (Lead Teacher) di Sekolah Rendah Damai.

Menurutnya, bola lantai semakin menarik minat kerana mudah diakses, selamat dan sesuai untuk persekitaran sekolah.

“Ramai anak Melayu mendapati bola lantai menyeronokkan, pantas dan memberi peluang yang sama rata untuk menyerlah. Saya percaya kini lebih 100 sekolah menawarkan floorball sebagai kegiatan kokurikulum (CCA) untuk murid lelaki dan perempuan,” katanya.

Bagi Encik Izwan Jamal, bapa kepada tiga anak, sukan bola lantai membuka peluang jangka panjang untuk anak-anaknya.

Ketiga-tiga anak beliau mula bermain di Sekolah Rendah Pasir Ris sejak Darjah Tiga dan mewakili sekolah dalam Kejohanan Sekolah Kebangsaan.

“Dua anak saya berjaya masuk ke sekolah menengah melalui DSA bola lantai,” katanya, sambil menambah bahawa beliau melihat semakin ramai kanak-kanak Melayu mengambil sukan bola lantai secara rekreasi dan kompetitif.

Selain itu, pemain bola lantai negara, Encik Muhammad Mikhail Raiyan menyaksikan lebih pemain muda diberi peluang menjalani latihan berstruktur bersama jurulatih berpengalaman, sekali gus meningkatkan pendedahan di sekolah dan di akademi bola lantai.

Baru-baru ini, skuad bola lantai lelaki Singapura raih tempat di Kejohanan Dunia setelah disahkan juara dan melayakkan mereka ke Pertandingan Bola Lantai Sedunia 2026 di Tampere, Finland.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg