Pasukan bola lantai lelaki S’pura raih tempat di Kejohanan Dunia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan bola lantai lelaki S’pura raih tempat di Kejohanan Dunia

Jan 19, 2026 | 1:50 PM

Pasukan bola lantai lelaki S’pura raih tempat di Kejohanan Dunia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Bola, lantai, lelaki, S’pura
Naib kapten Singapura, Keanen Poon, beraksi semasa kemenangan 31-3 ke atas Kepulauan Solomon dalam kelayakan Asia-Oceania bagi Kejohanan Bola Lantai Dunia (WFC) pada 17 Januari. - Foto MASANORI UDAGAWA

Di ruang rehat Scots College di Wellington, New Zealand, skuad bola lantai lelaki Singapura mengira detik 10 saat terakhir perlawanan kelayakan Kejohanan Bola Lantai Dunia (WFC) antara Filipina dengan New Zealand pada 17 Januari.

Suasana kemudian bertukar apabila perlawanan berakhir dengan keputusan seri 5-5, sekali gus mengesahkan Singapura sebagai juara kumpulan lima pasukan kelayakan Asia-Oceania, mengatasi Filipina, dan melayakkan mereka ke WFC 2026 di Tampere, Finland.

Singapura memenangi tiga perlawanan dan seri satu dalam peringkat kumpulan kejohanan kelayakan Asia-Oceania yang berlangsung dari 13 hingga 19 Januari di Pusat Sukan Akau Tangi.

Filipina pula berada di tempat kedua selepas mencatat dua keputusan seri dan dua kemenangan.

Dalam satu lagi kumpulan lima pasukan, Thailand mengatasi Jepun untuk menduduki tempat teratas.

Singapura, yang kini berada di kedudukan ke-17 dunia, akan bertemu Thailand yang berada di ranking ke-13 dalam perlawanan akhir pada 19 Januari.

Ini jauh berbeza berbanding kekecewaan yang dialami Singapura di Sukan SEA Thailand pada Disember 2025, apabila mereka hanya meraih pingat gangsa bersama Malaysia, sementara Filipina menang perak dan tuan rumah Thailand meraih emas di Chonburi.

Naib kapten Singapura, Keanen Poon, berkata kegagalan di Chonburi, termasuk tidak layak ke WFC 2024 selepas tewas kepada Australia, menjadi pembakar semangat pasukan.

“Kami sebenarnya tidak terlalu memikirkan tentang kegagalan layak ke WFC 2024, tetapi Sukan SEA menjadi pemacu dan motivasi utama untuk kami,” kata Poon, pemain pertahanan berusia 24 tahun itu.

“Ia mendorong kami bekerja lebih keras sebagai satu pasukan untuk membuktikan bahawa kami mampu beraksi lebih baik daripada tempat ketiga di Sukan SEA.”

Kapten pasukan, Kumaresa Pasupathy, yang terlepas kejohanan kelayakan sebelum ini kerana sedang pulih daripada pembedahan lutut, berkata pasukan negara pergi ke Thailand dengan sasaran untuk memperbaiki pencapaian gangsa pada temasya 2023.

Kapten Singapura, Kumaresa Pasupathy, beraksi semasa keputusan seri 7-7 menentang Filipina dalam kejohanan kelayakan Asia-Oceania bagi WFC.
Kapten Singapura, Kumaresa Pasupathy, beraksi semasa keputusan seri 7-7 menentang Filipina dalam kejohanan kelayakan Asia-Oceania bagi WFC. - Foto INTERNATIONAL FLOORBALL FEDERATION

Pemain berusia 29 tahun itu berkata mereka menyasarkan sekurang-kurangnya pingat perak, namun terpaksa menerima gangsa kerana kurang tajam dalam penyudah dan kematangan permainan.

“Pengalaman Sukan SEA membantu kami mempertingkat penyudah, pertahanan dan kematangan pasukan, sekali gus memastikan kelayakan automatik ke kejohanan dunia,” katanya.

Walaupun tewas 6-4 kepada Filipina di Sukan SEA, Singapura kali ini berjaya mengikat pasukan ranking ke-12 dunia itu dengan keputusan seri 7-7.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 17 Januari, Singapura mencatat kemenangan besar 31-3 ke atas Kepulauan Solomon, selepas menang 16-0 dan 6-4 masing-masing ke atas China dan New Zealand.

Ketua jurulatih Singapura, Pasi Rosti, yang dilantik pada Jun 2025, berkata beliau berpuas hati dengan keupayaan pasukan yang belajar daripada Sukan SEA, namun menegaskan masih banyak yang boleh diperbaiki.

Jurulatih dari Finland itu, yang menyatakan kelajuan, tahap intensiti, fizikal dan pemahaman taktikal pasukan sebagai aspek yang telah meningkat, berkata: “Secara peribadi, keputusan seri menentang Filipina tidak cukup baik. Kami menjangkakan lebih daripada itu.

“Secara keseluruhan, permainan kami lebih baik sekarang, namun masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki, dan kami masih belum bersedia untuk menghadapi pasukan Eropah.”

Penolong jurulatih pasukan, Syazni Ramlee, menyasarkan kedudukan 12 terbaik untuk Singapura pada WFC yang akan berlangsung dari 4 hingga 13 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg