Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Mountbatten guna bola pikel ‘senyap’ untuk kurangkan bunyi bising

Penggunaan bola busa salah satu penyelesaian bagi kurangkan pertikaian penduduk
Jan 11, 2026 | 7:54 PM
pickleball, mountbatten CC
Penduduk menggunakan bola pikel diperbuat daripada busa dalam sesi percubaan yang diadakan di Kelab Masyarakat Mountbatten pada 11 Januari. - Foto ST

Dalam usaha menggalak permainan secara lebih bertimbang rasa di tengah-tengah populariti sukan bola pikel atau ‘pickleball’ yang semakin meningkat, penduduk Mountbatten daripada segenap lapisan usia mencuba bermain dengan bola yang lebih senyap.

Dalam acara percubaan pada 11 Januari, penduduk menerima secara percuma bola yang diperbuat daripada busa, menggantikan bola plastik yang biasanya digunakan sebelum ini.

Acara itu dihadiri lebih 120 penduduk.

Bercakap kepada media di acara yang berlangsung di Kelab Masyarakat Mountbatten itu, Anggota Parlimen (AP) SMC Mountbatten, Cik Gho Sze Kee, berkata beliau telah menerima maklum balas daripada penduduk tentang bunyi bising yang dihasilkan pemain sukan itu.

Sukan bola pikel yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan tenis meja itu biasanya dimainkan di gelanggang bersaiz badminton.

Ia kian popular antara lain kerana sukan itu mudah dipelajari.

“Konsensus umum ialah tiada masalah dengan bermain bola pikel di gelanggang kejiranan, tetapi masalahnya ialah bunyi ‘pop’ sangat kuat yang dihasilkannya.

“Memang boleh difahami, sesetengah penduduk mungkin rasa tidak selesa kerana rutin harian mereka terganggu akibat bunyi bising itu,” kata Cik Gho, merujuk kepada bunyi kuat apabila bola plastik yang digunakan semasa permainan bola pikel dipukul dan terkena lantai.

Orang ramai juga kadangkala mengadu tentang permainan bola pikel yang bising di media sosial, menjadikannya sumber ketegangan dalam kalangan sesetengah penduduk.

Sebagai respons, beberapa AP di sini telah menggesa pemain bola pikel supaya lebih bertimbang rasa mengenai waktu permainan mereka.

Sementara itu, majlis bandaran turut memperkenal langkah untuk menangani keprihatinan penduduk mengenai gangguan bunyi.

Pada Ogos 2024, beberapa gelanggang masyarakat di serata Singapura pula mengumumkan bahawa mereka telah mengemas kini waktu operasi mereka, disebabkan gangguan bunyi yang menjejas waktu rehat penduduk.

Cik Gho berkata penggunaan bola busa boleh menjadi salah satu penyelesaian untuk mengurangkan pertikaian dalam masyarakat.

Bola yang diperbuat daripada busa itu boleh mengurangkan tahap bunyi kepada sekitar 60 desibel – setanding dengan tahap bunyi bagi perbualan biasa – dan jauh lebih senyap berbanding bunyi bola plastik biasa iaitu 70 hingga 80 desibel.

Namun, bola sedemikian biasanya dipasarkan bagi permainan riadah dan kegunaan di zon tenang.

Ia biasanya tidak digunakan dalam perlawanan kompetitif disebabkan lantunan dan kelajuan bola yang berbeza.

Cik Gho berkata:

“Bola pikel adalah sukan yang baik bagi semua peringkat usia, malah saya melihat ada pemain berusia 70-an tahun. Jadi kita harus menggalakkannya tetapi pada masa yang sama, perlu peka terhadap bunyi yang dihasilkan.

“Jika kita dapat mengurangkannya, ia akan menjadi situasi yang saling bermanfaat.”

Cik Gho menambah bahawa Mountbatten bakal menganjurkan kejohanan bola pikel senyap pada masa akan datang untuk menggalak penggunaan bola busa.

“Apa yang saya amat harapkan adalah pendekatan kolaboratif, sikap tolak ansur dan semangat kampung yang dapat dipupuk dalam masyarakat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg