Topic followed successfully
Go to BHkuBola sepak, khidmat sukarela cetus semangat baru agar remaja pendiam lebih yakin diri
Bola sepak, khidmat sukarela cetus semangat baru agar remaja pendiam lebih yakin diri
Penghuni Rumah Budak Perempuan S’pura terima Anugerah Perak, Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan
Bola sepak, khidmat sukarela cetus semangat baru agar remaja pendiam lebih yakin diri
Daripada remaja pendiam dan tidak terbuka untuk meluahkan apa yang terbuku di dada, Hafizah (bukan nama sebenar) berubah menjadi remaja lebih yakin, terbuka dan aktif membina rangkaian kenalan.
Penghuni Rumah Budak Perempuan Singapura berusia 18 tahun itu sudah tiga tahun menjalani kehidupan di rumah kebajikan tersebut kerana keadaan keluarga yang sukar tetapi enggan mengulas lanjut.
Rancangan untuknya tamat program pemulihan juga masih belum diputuskan.
Namun, berkat semangat positif yang tertanam dalam dirinya untuk maju dalam kehidupan, Hafizah diiktiraf dengan Anugerah Perak, Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA), dalam satu Majlis Anugerah dan Penghargaan Rumah Budak Lelaki Singapura (SBH) dan Rumah Budak Perempuan Singapura 2026, yang berlangsung di SBH pada 9 April.
Acara ini menghargai belia yang menamatkan perjalanan 12 bulan bagi projek pembangunan diri dan khidmat masyarakat.
Mengenang hari-hari awalnya di Rumah Budak Perempuan Singapura di Defu Avenue 1, Hafizah berkongsi dirinya kerap menyendiri dan sukar mengawal emosi.
“Saya memang jarang bercakap dengan orang, dan mudah marah. Saya lebih suka bersendirian kerana tidak percayakan orang lain,” katanya, menggambarkan kesukaran membina hubungan dengan orang lain.
Namun, apabila ditanya tentang minatnya, wajahnya berseri-seri ketika bercakap tentang bola sepak dan kelab kegemarannya, Manchester United.
Perjalanannya keluar daripada kesunyian itu bermula melalui bola sepak – sesuatu yang sentiasa diminatinya.
Beliau menyertai kelas elektif bola sepak di Home United sebagai cara melepaskan perasaan yang membelenggu jiwa.
“Apabila saya bermain bola sepak, saya rasa semua perasaan boleh dilepaskan,” katanya.
Aktiviti itu menjadi lebih daripada sekadar sukan kerana ia menjadi saluran emosi yang membantu dirinya menguruskan rasa kecewa dengan lebih sihat.
Detik paling berkesan bagi beliau ialah sewaktu menghadiri perlawanan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Negara bersama pegawai bimbingan belia, Cik Nur Wahidah Zahrah.
Yang meninggalkan kesan bukan sahaja perlawanan itu, tetapi apa yang berlaku selepas itu, jelasnya.
“Kami duduk dan makan burger bersama. Kami luangkan masa secara sederhana, tapi saya rasa gembira. Seolah-olah boleh jadi diri sendiri,” kenangnya lagi.
Saat itu menandakan perubahan – daripada melihat pihak berkuasa sebagai jauh dan tidak memahami dirinya kepada seseorang yang boleh dipercayai dan menjadi teman yang boleh diajak berbual.
Perjalanannya diteruskan melalui khidmat sukarela, di mana beliau berinteraksi dengan warga emas.
“Pada mulanya janggal, tetapi mereka baik. Saya mula terbuka dan sedar seronok untuk bercakap dan mendengar segala keluh kesah dan kegembiraan mereka,” katanya.
Dengan bimbingan Cik Nur Wahidah, Hafizah secara perlahan membina kemahiran komunikasi dan kawalan emosi.
“Cik Nur Wahidah mengajar saya bagaimana untuk meluahkan rasa sebagai diri sendiri, bukan menyimpan semuanya dalam hati,” tambahnya.
Program NYAA yang disertainya itu merupakan inisiatif pembangunan belia yang menuntut peserta berkembang melalui khidmat masyarakat, kemahiran dan aktiviti fizikal.
Tahun ini, 51 belia menerima Anugerah Gangsa dan dua pula menerima Anugerah Perak, manakala tiada penerima Anugerah Emas diumumkan.
Anugerah Perak yang diterima Hafizah memerlukan komitmen sekurang-kurangnya setahun dan mencerminkan tahap dedikasi dan pertumbuhan diri yang tinggi.
Kini, Hafizah melanjutkan pengajiannya untuk meraih Sijil Nitec Lanjutan dalam Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur.
Beliau juga mengekalkan minat sejak kecilnya, iaitu menonton video mengenai cara membaiki enjin.
Ini bagi menanam semangat suatu hari beliau mampu bergelar seorang jurutera.
“Sejak kecil, saya suka tengok bagaimana enjin berfungsi dan cara membaiki benda,” katanya lagi.
Harapannya suatu hari nanti adalah untuk memasuki politeknik dan mengambil kursus kejuruteraan demi menggapai cita-cita menjadi jurutera.

