Topic followed successfully
Go to BHkuBola sepak, khidmat sukarela cetus semangat baru dalam diri remaja
Bola sepak, khidmat sukarela cetus semangat baru dalam diri remaja
Penghuni Rumah Budak Perempuan S’pura terima Anugerah Perak, Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan, kini lebih yakin
Bola sepak, khidmat sukarela cetus semangat baru dalam diri remaja
Daripada remaja pendiam dan tidak terbuka untuk meluahkan apa yang terbuku di dada, Hafizah (bukan nama sebenar), berubah menjadi remaja lebih yakin, terbuka dan aktif membina rangkaian kenalan.
Penghuni Rumah Budak Perempuan Singapura berusia 18 tahun itu sudah tiga tahun menjalani kehidupan di rumah kebajikan tersebut kerana keadaan keluarga yang sukar tetapi enggan mengulas lanjut.
Rancangan untuknya tamat program pemulihan juga masih belum diputuskan.
Namun, berkat semangat positif dalam dirinya untuk maju dalam kehidupan, Hafizah diiktiraf dengan Anugerah Perak, Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA), dalam satu Majlis Anugerah dan Penghargaan Rumah Budak Lelaki Singapura (SBH) dan Rumah Budak Perempuan Singapura 2026 yang berlangsung di SBH pada 9 April.
Acara itu menghargai belia yang menamatkan perjalanan 12 bulan bagi projek pembangunan diri dan khidmat masyarakat.
Mengenang hari-hari awalnya di Rumah Budak Perempuan Singapura di Defu Avenue 1, Hafizah berkongsi dirinya kerap menyendiri dan sukar mengawal emosi.
“Saya memang jarang bercakap dengan orang, dan mudah marah.
“Saya lebih suka bersendirian kerana tidak percayakan orang lain,” katanya, menggambarkan kesukaran membina hubungan dengan orang lain.
Namun, apabila ditanya tentang minatnya, wajahnya berseri-seri ketika bercakap tentang bola sepak dan kelab kegemarannya, Manchester United.
Perjalanannya keluar daripada kesunyian itu bermula melalui bola sepak – sesuatu yang memang diminatinya.
Beliau menyertai kelas elektif bola sepak di Home United sebagai cara melepaskan perasaan yang membelenggu jiwa.
“Apabila saya bermain bola sepak, saya rasa semua perasaan boleh dilepaskan,” katanya.
Kegiatan itu menjadi lebih daripada sekadar sukan kerana ia menjadi saluran emosi yang membantu dirinya menguruskan rasa kecewa dengan lebih sihat.
Detik paling berkesan bagi beliau ialah sewaktu menghadiri perlawanan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Negara bersama pegawai bimbingan belia, Cik Nur Wahidah Zahrah.
Yang meninggalkan kesan bukan sahaja perlawanan itu, malah, apa yang berlaku selepas itu, jelasnya.
“Kami duduk dan makan burger bersama. Kami luangkan masa secara sederhana, tapi saya rasa gembira. Seolah-olah boleh jadi diri sendiri,” kenangnya.
Saat itu menjadi titik perubahan – daripada melihat pihak berkuasa dengan jarak yang jauh dan tidak memahami dirinya, kepada seseorang yang boleh dipercayai dan menjadi teman yang boleh diajak berbual.
Perjalanannya diteruskan melalui khidmat sukarela dan beliau berpeluang berinteraksi dengan warga emas.
“Pada mulanya janggal, tetapi mereka baik. Saya mula terbuka dan sedar seronok untuk bercakap dan mendengar segala keluh-kesah dan kegembiraan mereka,” katanya.
Dengan bimbingan Cik Nur Wahidah, Hafizah secara perlahan membina kemahiran komunikasi dan kawalan emosi.
“Cik Nur Wahidah mengajar saya bagaimana untuk meluahkan rasa sebagai diri sendiri, bukan menyimpan semuanya dalam hati,” tambahnya.
Program NYAA yang disertainya itu merupakan inisiatif pembangunan belia yang menuntut peserta berkembang melalui khidmat masyarakat, kemahiran dan kegiatan fizikal.
Pada 2026, seramai 51 belia menerima Anugerah Gangsa dan dua pula menerima Anugerah Perak, manakala tiada penerima Anugerah Emas diumumkan.
Anugerah Perak yang Hafizah terima memerlukan komitmen sekurang-kurangnya setahun dan mencerminkan tahap dedikasi dan pertumbuhan diri yang tinggi.
Kini, Hafizah melanjutkan pengajiannya untuk meraih Sijil Nitec Lanjutan dalam Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Beliau turut mengekalkan minat sejak kecilnya, iaitu menonton video mengenai cara membaiki enjin.
“Sejak kecil, saya suka tengok bagaimana enjin berfungsi dan cara membaiki benda,” katanya.
Harapannya suatu hari nanti adalah untuk memasuki politeknik dan mengambil kursus kejuruteraan demi menggapai cita-cita menjadi jurutera.

