Pemandu yang memegang telefon bimbit semasa memandu boleh berdepan hukuman penjara atau denda di bawah usulan rang undang-undang baharu.

Selain itu, pindaan tersebut turut mencadangkan agar perbuatan menggunakan kenderaan untuk membahayakan orang lain secara sengaja – sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah – sebagai satu kesalahan jenayah.

Kesalahan baru itu adalah antara pindaan yang diusulkan kepada Akta Lalu Lintas Jalan Raya (RTA), yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada 7 Julai.

Rang Undang-Undang RTA (Pindaan Pelbagai) itu telah dibentangkan oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann.

Dengan jalan raya di sini semakin kurang selamat, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada 7 Julai berkata pihaknya “akan memperketatkan penguatkuasaan dan hukuman bagi kesalahan trafik” untuk menangani trend tersebut.

Antara 2021 dengan 2025, kadar kematian akibat nahas jalan raya meningkat sekitar 24 peratus, manakala pelanggaran trafik pula naik sekitar 38 peratus.

Antara pindaan lain yang diusul kepada akta itu termasuk memperkenalkan kesalahan baru, iaitu memandu dengan adanya dadah terkawal, bahan memabukkan atau bahan psikoaktif yang dikesan dalam spesimen darah pemandu.

Berhubung perbuatan memegang telefon bimbit semasa memandu, undang-undang semasa sudah menjadikan ia satu kesalahan bagi pemandu menghantar mesej atau membuat panggilan ketika memegang telefon sambil memandu.

Mereka yang didapati bersalah biasanya dikenakan 12 mata demerit dan denda antara $400 dengan $500.

Bagaimanapun, dalam kes lebih serius, pemandu boleh didakwa di mahkamah.

Jika disabit kesalahan, pesalah kali pertama boleh dihukum penjara hingga enam bulan dan dikenakan denda $1,000.

Pesalah berulang pula boleh dihukum penjara hingga satu tahun dan dikenakan denda $2,000.

Namun, undang-undang sedia ada sukar dikuatkuasakan kerana polis perlu membuktikan telefon bimbit itu benar-benar digunakan, bukan sekadar dipegang.

Rang undang-undang tersebut meniadakan keperluan tersebut.

MHA menegaskan perbuatan memegang telefon ketika kenderaan bergerak akan menjadi satu kesalahan.

Langkah itu diambil kerana tindakan tersebut berbahaya dan menjejas tumpuan pemandu di jalan raya.

Ini juga akan membolehkan Polis Trafik (TP) menangkap pesalah menggunakan kamera, atau melalui gambar dan video yang dihantar orang awam.

Ini bagaimanapun tidak akan menjejas penggunaan telefon yang dipasang pada alat pemegang.

Pemandu tetap boleh memegang telefon mereka apabila kenderaan tidak bergerak.