Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Boleh prihatin tapi usah melampaui batas, salur sokongan secara positif

Feb 10, 2025 | 8:36 PM
Terdapat cara membina untuk menyatakan sokongan terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza, seperti menyertai pelbagai usaha kemanusiaan yang telah dilakukan oleh badan bukan pemerintah (NGO) Singapura, menurut pakar yang dihubungi Berita Harian.
Terdapat cara membina untuk menyatakan sokongan terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza, seperti menyertai pelbagai usaha kemanusiaan yang telah dilakukan oleh badan bukan pemerintah (NGO) Singapura, menurut pakar yang dihubungi Berita Harian. - Foto fail

Masyarakat berhak untuk rasa marah terhadap penindasan dan kezaliman tetapi mesti memastikan perasaan tersebut tidak terbawa-bawa sehingga sampai ke tahap ekstrem.

Anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang juga kaunselor bebas, Ustazah Kalthom Isa, berkata manusia memerlukan ruang dan peluang untuk menyuarakan keprihatinan mereka tetapi ia perlulah dalam lingkungan yang terbatas.

Seseorang itu juga mesti terlebih dahulu mempertimbangkan sama ada terdapat kesan positif yang lahir daripada suara tersebut.

Ustazah Kalthom berkongsi pendapatnya itu dengan Berita Harian berikutan berita seorang wanita warga Singapura yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah didapati menjadi radikal secara sendiri.

Wanita itu, Hamizah Hamzah, seorang suri rumah berusia 56 tahun, telah dikenakan RO pada Januari 2025 selepas didapati menjadi radikal akibat konflik Israel-Hamas.

Ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai perasaan yang mendalam berikutan perang Israel-Hamas itu dan “ini adalah sifat prihatin sebilangan masyarakat kita atas konflik di luar negara yang kita akur tidak dapat dielakkan”, kata Ustazah Kalthom.

“Keprihatinan ini adalah bagus, tetapi perlulah dilakukan dengan baik, diarahkan dengan cara yang baik dan dipandu agar memberi kesan yang baik pada penduduk Singapura yang berbilang bangsa dan agama,” ujarnya.

Sementara itu, Profesor Kajian Keselamatan Negara yang juga Dekan, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Kumar Ramakrishna, akur ini merupakan isu “kompleks dan sangat sensitif”.

“Saya fikir adalah adil untuk mengatakan bahawa ramai orang di Singapura dan luar negara, baik Muslim atau bukan Muslim, telah terjejas oleh konflik Angkatan Pertahanan Israel (IDF)-Hamas dan mangsa di Gaza dalam operasi ketenteraan IDF.

“Kemarahan kerana peperangan ini adalah sah dan boleh difahami.

“Bagaimanapun, terdapat cara membina untuk menyatakan sokongan terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza, seperti mengambil bahagian dalam pelbagai usaha kemanusiaan yang telah dilakukan oleh badan bukan pemerintah (NGO) Singapura,” kata Profesor Kumar.

Berkongsi pandangannya, Felow Kanan dalam Pengajian dalam Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP), RSIS, NTU, yang juga Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali berkata:

“Adalah sesuatu yang lumrah untuk kita mempunyai sentimen marah, rasa tidak senang terhadap apa yang dilakukan oleh pihak penindas... kerana apa yang dilakukan adalah bertentangan dengan kemanusiaan...

“Tetapi apa yang saya fikir boleh melampau batasan (sehingga menjadikan kita bersifat ekstrem) ialah apa sahaja fikiran, idea atau perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakstabilan, keganasan dan ketidakharmonian.

“Kalau ada sesuatu yang boleh membawa kepada tiga perkara itu, maka kita harus berhati-hati dan hentikannya,” nasihat Dr Mohamed.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg