Semua penjawat awam akan mendapat bonus akhir tahun sebanyak 1.3 bulan, dengan pegawai rendah setara gred MX15 dan MX16 serta mereka di bawah Skim Sokongan Operasi akan menerima bayaran tambahan sekali berjumlah $600.
Demikian umum Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan pada 24 November. Pengumuman itu dibuat selepas berunding dengan kesatuan sektor awam, tambah PSD.
“Bonus akhir tahun ini mengambil kira bahawa Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dijangka berkembang sekitar 4 peratus pada 2025 dan garis panduan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) untuk 2025/2026,” ujar badan tersebut.
PSD berkata pemerintah juga akan terus membayar elaun tahunan tidak berpencen sebulan, atau bonus 13 bulan, kepada semua penjawat awam.
Bonus akhir tahun ini adalah lebih tinggi daripada bonus 1.05 bulan bagi 2024.
Termasuk bonus pertengahan tahun 0.4 bulan, penjawat awam akan menerima bonus keseluruhan 1.7 bulan bagi bayaran komponen berubah-ubah (AVC), tambah PSD, dengan pegawai gred rendah menerima bayaran pukal tambahan sehingga $1,000 bagi 2025.
Pemerintah akan terus menggunakan “pendekatan progresif” dalam menentukan pembayaran bonus, selaras dengan saranan NWC untuk menaikkan gaji pekerja yang bergaji rendah, tambah PSD.
Anggaran awal terhadap pasaran pekerja oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan keadaan pasaran pekerja adalah lebih kukuh daripada yang dijangkakan.
Jumlah pekerjaan meningkat pada kadar lebih pantas berbanding suku sebelumnya, manakala kadar pengangguran dan pemberhentian kerja kekal rendah dan stabil, kata PSD.
Jumlah AVC ini adalah antara yang tertinggi yang diberikan kepada penjawat awam dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini, kata Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Cham Hui Fong.
Cik Cham berkata NTUC dan kesatuan sekerja sektor awam menyambut baik bayaran AVC hujung tahun bagi penjawat awam, yang disifatkannya sebagai “ketara”.
“Kami merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam atas kerja keras dan daya tahan mereka di tengah-tengah keadaan sosioekonomi yang sentiasa berubah dan terjejas oleh perdagangan global dan ketidakpastian geopolitik, serta kewujudan kecerdasan buatan (AI).
“Sungguhpun ramalan keseluruhan semakin stabil, ketidakpastian masih wujud,” ujarnya.
Oleh demikian, beliau menggalakkan penjawat awam untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka melalui program peningkatan kemahiran bagi memastikan mereka kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE), Encik Sanjeev Kumar Tiwari, berkata bonus akhir tahun sebanyak 1.3 bulan, serta bayaran satu kali berjumlah $600 bagi pegawai rendah “merupakan pengiktirafan yang adil” bagi semua penjawat awam.
Lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang pesat berubah, dengan ekonomi kian menstabil di tengah-tengah ketidakpastian sejagat yang berlarutan.
Beliau berkata: “Ia sememangnya satu penyuntik semangat untuk penjawat awam kita, dan kami akan terus menyokong pegawai kita supaya mereka kekal relevan melalui latihan dan peningkatan kemahiran bagi memenuhi tuntutan tenaga kerja yang dinamik.”
Menurut data awal pasaran buruh 2025 yang dikeluarkan MOM pada 30 Oktober, bilangan pemberhentian pekerja kekal mantap pada 3,500 orang, dengan penyusunan korporat menjadi punca utama.
MOM menambah kadar pengangguran kekal rendah pada 2.8 peratus bagi warganegara dan Penduduk Tetap (PR), serta 3 peratus bagi warganegara sahaja, sejajar dengan tahap tahun-tahun bukan kemelesetan antara 2015 dengan 2019.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg