Hasrat Cik Nureezan Safie adalah menyediakan sekitaran lebih baik buat dua anak perempuannya yang berusia lapan dan 10 tahun.
Lantaran itu, guru peringkat rendah atasan di sebuah pusat jagaan pelajar itu mendaftarkan diri bagi Skim Perumahan Permulaan Baru pada November 2023 dan akhirnya berpindah daripada flat sewa yang didiami selama empat tahun bersama anak-anaknya pada April 2024.
Ibu tunggal berusia 41 tahun ini pernah terlintas untuk terus kekal menetap di flat sewa sejak berpisah dengan bekas suami demi mengelakkan beban hutang tambahan.
Sebagaimana katanya: “Sebab saya di bawah skim bantuan ComCare, saya perlu bayar $50 setiap bulan. Pada masa itu, saya terfikir bahawa saya sebenarnya boleh terus tinggal di flat sewa dan bayar $50 sahaja setiap bulan daripada membebankan diri saya sendiri untuk mengambil pinjaman.
“Tetapi, pada masa yang sama, saya ada anak-anak yang bergantung kepada saya. Saya mahu mereka membesar dalam sekitaran lebih baik. Saya mahu mereka melihat dan rasa bangga dengan saya.”
Rumah sewa itu didiami selepas beliau bercerai dengan suaminya pada 2020, sesudah flat tiga bilik sepencariannya dan bekas suami ditarik balik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melalui tindakan pemerolehan wajib.
“Selepas perceraian itu, saya gagal mendapatkan pinjaman HDB bagi membiayai semula flat itu kerana ketika itu saya hanya bekerja sambilan dan belum stabil dari segi kewangan.
“Namun, selepas memohon bantuan HDB, saya dan anak-anak saya dapat tinggal di flat sewa dua bilik enam bulan kemudian,” katanya.
Lantaran itu, apabila akhirnya berpeluang memiliki flat Flexi dua bilik sejak April 2024, yang dibeli dengan geran sebanyak $50,000 menerusi Skim Perumahan Permulaan Baru, ia bak merealisasikan impiannya selama ini.
Dengan Geran Perumahan Permulaan Baru telah dinaikkan daripada $50,000 kepada $75,000 bagi projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Julai 2025, lebih banyak keluarga dalam keadaan serupa boleh meraih manfaat memiliki flat sendiri.
Skim Perumahan Permulaan Baru ini juga diperluaskan bagi projek BTO pertama pada 2026, untuk kegunaan keluarga pembeli rumah kali pertama dengan anak yang menetap sama di flat sewa awam.
Perkembangan baru ini diumumkan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen pada 5 Mac.
“Kami akan mempertingkat Skim Perumahan Permulaan Baru untuk menyokong lebih ramai keluarga ComLink+ dalam skim sewa awam dalam perjalanan pemilikan rumah mereka,” kongsi Dr Faishal.
Mengulas tentang sokongan yang diterima, Cik Nureezan bersyukur dengan bantuan pegawai Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah HDB (HST), Cik Ang Kim Geok, yang menolongnya dalam proses pemilikan rumah itu termasuk merancang kos perumahan.
“Pada mulanya, saya tidak begitu yakin saya boleh dapatkan bantuan ini. Saya risau kerana dengan gaji saya yang rendah, saya tidak pasti sama ada saya boleh melunaskan bayaran untuk rumah itu tetapi saya tetap cuba sebaik mungkin.
“Cik Kim banyak membantu. Beliau mengesyorkan saya untuk kekal dengan pekerjaan saya dan memastikan anak-anak saya pergi ke sekolah,” kongsi Cik Nureezan, yang juga pemegang Diploma Pakar dalam Penuaan Sihat dan Penjagaan Masyarakat untuk Warga Emas (SDHCS) daripada Politeknik Republic.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg