Pemohon tidak lagi perlu melalui proses rumit untuk mencari pertubuhan yang sesuai, mengisi pelbagai borang serta menghantar dokumen berulang kali ketika memohon bantuan sosial atau kewangan.
Dengan borang baru, Sepadu, proses permohonan kini akan menjadi lebih mudah kerana pemohon hanya perlu mengisi satu borang standard yang digunakan oleh lima badan Melayu/Muslim – Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Persekutuan India Muslim (FIM), Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Pertapis dan Persatuan Muslim India Bersatu (UIMA).
Kelima-lima pertubuhan itu telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk bekerjasama dalam pelaksanaan borang tersebut yang bermula pada 25 November 2024.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut yang berlangsung di Wisma Geylang Serai pada 25 November.
“Individu atau keluarga yang memohon bantuan… perlu melakukan penyelidikan sendiri atau melalui pekerja sosial untuk mengenal pasti organisasi yang sedang menerima permohonan dan jenis sokongan yang disalurkan, serta organisasi yang mereka layak memohon.
“Proses ini menyulitkan dan membebankan mereka, terutamanya bagi individu yang kurang mahir dengan teknologi atau mempunyai masalah pergerakan,” kata TAA.
Lantas, Sepadu bertujuan mempermudahkan proses permohonan bagi pemohon yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan kebajikan daripada TAA serta organisasi anggotanya, jelas TAA.
“Para penerima bantuan kami berkongsi bahawa mereka perlu melengkapkan dan menghantar begitu banyak borang ketika memohon bantuan kewangan,” tambah anggota majlis MKAC, Encik Muhammad Malkan Muhammad.
Menurut pemerhatian wartawan Berita Harian (BH), borang tersebut boleh dilengkapkan dalam masa sekitar 10 minit, bergantung pada butiran maklumat yang perlu diperincikan.
Antara butiran yang perlu disertakan adalah butiran ahli keluarga, pengajian, pekerjaan dan kesihatan.
Dokumen yang perlu diserahkan termasuk salinan sijil kelahiran, slip gaji tiga bulan terkini serta kenyataan CPF transaction and contribution history untuk tempoh 15 bulan yang lalu.
“Borang Sepadu adalah usaha konkrit untuk memupuk kerjasama antara pertubuhan dan menggalakkan amalan terbaik dalam penyampaian perkhidmatan demi manfaat pemohon dan penyedia perkhidmatan,” kata TAA.
Presiden MKAC, Encik Ameerali Abdeali, yang juga pemegang amanah TAA, turut hadir pada majlis menandatangani MOU itu sebagai saksi.
Dr Faishal berkata majlis menandatangani MOU itu merupakan satu peristiwa penting dalam memudahkan proses permohonan bantuan sosial dan kewangan.
“Dengan menambah baik proses dan memupuk hubungan yang lebih kukuh, Sepadu membuka pintu untuk kerjasama yang lebih baik dengan lebih banyak organisasi dan meningkatkan rangkaian sokongan untuk masyarakat kita,” tambahnya.
Kini, terdapat sekitar 3,000 hingga 4,000 permohonan, menurut Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Mohd Najiib Sahib.
Pengenalan borang baru itu dijangka menambah 500 hingga 1,000 lagi permohonan.
Permohonan dibuka mulai 25 November dan tarikh tutup penyerahan adalah pada 13 Disember.
Borang permohonan yang lengkap perlu dihantar ke pejabat TAA melalui pos atau langsung ke pejabat. Bagi mereka yang menghadapi masalah pergerakan, penyerahan juga boleh dilakukan secara dalam talian.
Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan kemudian. Sekretariat Sepadu, iaitu Dana Tabung Amal TAA, akan memaklumkan kepada pemohon jika permohonan mereka tidak diluluskan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg