Bek kiri Brentford, Keane Lewis-Potter, menjaringkan dua gol, sekali gus membantu pasukannya membenam Everton yang beraksi dengan 10 pemain untuk melonjak ke tangga keenam Liga Perdana England (EPL).

Everton atau dikenali sebagai The Toffees memburu kemenangan ketiga berturut-turut untuk menduduki tangga kelima liga.

Namun, mereka gagal menandingi Brentford sepanjang perlawanan, dengan aksi hambar pada separuh masa pertama membawa padah.

Detik bersejarah pengurus Everton, David Moyes, yang mencatat rekod mengendalikan kelab itu buat pertandingan ke-593, mula tercemar apabila Lewis-Potter dari Brentford membuka jaringan pada minit ke-23.

Menerima hantaran pemain sayap Brentford, Jaidon Anthony, dalam kotak penalti, Lewis-Potter melepaskan rembatan yang berubah arah sehingga memperdaya penjaga gawang Everton, Jordan Pickford.

Dua minit kemudian, Lewis-Potter menggandakan jaringan selepas percubaan keduanya terkena penyerang Everton, Thierno Barry, sebelum menerjah jaring.

Brentford terus mengasak, manakala keadaan Everton bertambah buruk apabila pemain pertahanannya, James Tarkowski, dibuang padang buat kali pertama dalam kerjaya EPLnya lima minit sebelum rehat.

Terjahannya terkena tulang kering pemain tengah Brentford, Yehor Yarmolyuk, selepas mengeluarkan bola.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pengadil Craig Pawson menukar kad kuning kepada kad merah selepas meneliti ulang tayang atas saranan video pembantu pengadil (VAR).

Tandukan deras Barry sebelum waktu rehat diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gawang Brentford, Caoimhin Kelleher.

Everton memperbaiki prestasi selepas rehat, namun Brentford memerlukan gol ketiga untuk memastikan kemenangan.

Pemain tengah Brentford, Vitaly Janelt, menyempurnakannya menerusi rembatan kencang dari jarak 30 ela pada pertengahan separuh masa kedua.

Pemain tengah serangan Brentford, Fabio Carvalho, menambah gol keempat menggunakan lututnya pada penghujung perlawanan.

Pengurus Brentford, Keith Andrews, menghadapi dilema berikutan penggantungan penyerangnya, Igor Thiago.

Beliau menurunkan penyerang Callum Wilson dalam kesebelasan utama EPL buat kali pertama, namun Lewis-Potter mengatasi masalah jaringan pasukannya.

Pemain berusia 25 tahun itu beraksi sebagai bek kiri, namun Everton sukar mengawal asakannya.

Kedua-dua golnya terbantu apabila bola berubah arah, namun beliau diberi ruang luas untuk merembat bola.

Keupayaannya beraksi di pelbagai posisi di sebelah kiri menjadikannya tonggak Brentford yang kurang mendapat pengiktirafan.

Catatan terbaiknya sebelum ini ialah tiga gol semusim, namun beliau sudah menjaringkan empat gol menjelang November.

Persembahannya pasti menguatkan gesaan supaya beliau diberi peluang mewakili skuad senior England.

Dalam pada itu, Moyes pastinya berbangga mencatat rekod mengendalikan perlawanan terbanyak dalam sejarah Everton.

Namun, hampir segala-galanya serba tidak kena malam itu.

Pickford sukar menghalang kedua-dua gol tersebut, manakala Everton mungkin terkilan dengan kad merah pertama Tarkowski selepas menerima 74 kad kuning sepanjang kerjayanya.

Tarkowski tidak kelihatan berniat melakukan kekasaran kerana berjaya mengeluarkan bola, namun kelajuan dan kekuatan terjahannya membawa kepada keputusan melayangkan kad merah.

Tarkowski kini digantung bagi pertembungan setempat Merseyside di padang sendiri pada 29 November (8 malam waktu Singapura).