Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kolonel Fairoz Hassan catat sejarah sebagai Brigedier Jeneral Melayu kedua

Antara sekitar 1,200 anggota SAF terima sijil pada Majlis Kenaikan Pangkat Mindef/SAF
Jun 27, 2025 | 8:00 PM
Singapura, SAF, Brigedier-Jeneral, naik pangkat
Komander Divisyen Kesembilan Singapura dan Ketua Infantri, Kolonel (COL) Fairoz Hassan mengukir sejarah apabila dinaikkan pangkat sebagai Brigedier Jeneral (BG) Melayu kedua Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) berkuat kuasa pada 1 Julai. Sebelum ini, BG Ishak Ismail telah menyandang pangkat itu pada 2009 sebelum bersara pada 2011 - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Perkara yang paling sukar apabila berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), bagi seorang introvert (tidak cenderung bergaul dan berbual), ialah untuk berinteraksi dengan orang ramai, kata Komander Divisyen Kesembilan Singapura dan Ketua Infantri, Kolonel (COL) Fairoz Hassan.

Apa yang telah membantu beliau membina keyakinan diri dan melangkah keluar daripada zon selesa ialah apabila dikerah ke Banda Aceh pada 2005 sebagai pegawai perhubungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tugas tersebut meliputi penyelarasan bantuan kemanusiaan antara pihak berkepentingan yang berbeza seperti penduduk, tentera Indonesia, tentera asing, badan bukan pemerintah (NGO) serta PBB.

Sekitar 20 tahun kemudian, Kolonel Fairoz tidak asing lagi dalam memimpin ribuan tentera dan mengukir sejarah sebagai Brigedier Jeneral (BG) Melayu kedua dalam sejarah SAF, mulai 1 Julai.

Kenaikan pangkat Kolonel Fairoz itu berlangsung 14 tahun selepas Brigedier Jeneral (BG) Ishak Ismail, yang telah menyandang pangkat itu pada 2009 sebelum beliau bersara pada 2011.

“Saya rasa pengalaman dikerah ke Banda Aceh benar-benar membuka peluang kepada saya untuk bekerja dengan pelbagai golongan masyarakat, meskipun ketika itu saya masih di peringkat awal kerjaya.

“Ia memaksa saya untuk keluar daripada zon selesa dan belajar berinteraksi secara berkesan dengan orang lain.

“Keupayaan, atau mungkin keyakinan diri, untuk bekerjasama dengan pihak lain, terbukti sangat berguna dalam kerjaya saya, hingga ke hari ini,” kata Kolonel Fairoz, 46 tahun.

Beliau antara sekitar 1,200 anggota SAF yang menerima sijil pada Majlis Kenaikan Pangkat Kementerian Pertahanan (Mindef)/SAF, yang berlangsung pada 26 dan 27 Jun di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) baru di Hillview Link. 

Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dan Panglima SAF, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng, hadir bagi menyampaikan sijil kepada pegawai kanan, termasuk mereka yang dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Waran (CWO), Kolonel, Pakar Tentera 7 (ME7) dan kedudukan ke atas.

Apabila ditanya tentang makna kenaikan pangkat tersebut, beliau berkata ia satu pengiktirafan bagi dirinya.

“Saya rasa sangat bertuah kerana menerima kenaikan pangkat ini. Saya anggap ia sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha saya.

“Namun yang lebih penting, saya sedar bahawa kenaikan pangkat ini bukan sekadar tentang pencapaian, tetapi lebih kepada amanah yang diberikan untuk melaksanakan tanggungjawab yang bakal saya pikul,” kongsinya kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui.

Antara tanggungjawabnya ialah untuk memastikan agar “setiap askar dilatih dengan betul dan dengan selamat”.

Dalam pada itu, beliau percaya bahawa seorang pemimpin seharusnya telus dan ikhlas, di samping mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan jelas.

“Ia penting sekali kerana rakan sekerja kita mesti percaya dengan kita, dan mesti percaya bahawa kita ikhlas dalam melakukan segala tugas.

“Kita mesti percaya bahawa setiap orang datang bekerja untuk melakukan tugas mereka sebaik mungkin mengikut keupayaan mereka,” kata Kolonel Fairoz.

Menyifatkan penglibatannya dalam SAF sebagai satu “seruan” dan bukan sekadar satu pangkat, Kolonel Fairoz tidak pernah terfikir akan berkhidmat sekian lama.

“Kerjaya dalam SAF ini sangat mencabar dan menyeronokkan. Banyak tugas yang perlu dilaksanakan.

“Saya berpeluang untuk mengunjungi negara berbeza dan menjalani latihan bersama anggota tentera dari Amerika Syarikat, Malaysia, Britain, Australia dan New Zealand.

“Saya juga berpeluang menimba ilmu dan menjalani latihan di luar negara, serta bekerjasama dengan pelbagai individu daripada latar belakang yang berbeza,” kata beliau.

Membina semangat setiakawan dan menjalin hubungan mesra juga penting bagi dirinya, yang masih kerap beriadah dengan berlari di sekitar Kolam Air MacRitchie bersama pasukan yang pernah berada di bawah kerahannya ketika beliau menjadi komander platun pada 2001.

... Saya sedar bahawa kenaikan pangkat ini bukan sekadar tentang pencapaian, tetapi lebih kepada amanah yang diberikan untuk melaksanakan tanggungjawab yang bakal saya pikul.
Komander Divisyen Kesembilan Singapura dan Ketua Infantri, Kolonel (COL) Fairoz Hassan. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg