Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BTO dekat MRT Tampines dilancar Feb 2026

Dua lagi projek BTO di Sembawang North turut dilancar; projek BTO lain di Bukit Merah, Toa Payoh
Oct 16, 2025 | 5:06 PM
BTO, Tampines, dekat MRT
Salah satu projek di Tampines, yang akan mempunyai 280 unit, terletak di antara Tampines Avenue 2 dengan Tampines Street 22. - Foto ST

Sebuah projek pembangunan 250 unit berhampiran stesen MRT Tampines dan dua projek lain di kawasan kejiranan baru Sembawang North adalah antara enam projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang akan dijual pada Februari 2026.

Di Bukit Merah dan Toa Payoh, lebih 1,000 unit flat berhampiran sekolah akan dijual di setiap kawasan perumahan tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Di laman webnya pada 15 Oktober, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerbitkan butiran mengenai 4,600 unit flat di Bukit Merah, Sembawang, Tampines dan Toa Payoh yang akan dilancarkan pada Februari.

Sekitar 3,000 unit flat baki juga akan ditawarkan. Dua projek di Tampines akan mempunyai 530 unit.

Salah satu projek terletak di Tampines Central 8, lima minit dari stesen MRT Tampines dan Our Tampines Hub (OTH), dengan 250 unit flat dua bilik fleksi dan empat bilik, serta sebuah prasekolah.

Penganalisis menjangka projek itu akan mendapat sambutan baik kerana ia berhampiran dengan stesen MRT, pusat beli-belah, dan kemudahan.

Ia mungkin tergolong dalam kategori Plus kerana tidak dekat dengan pusat bandar.

Flat Plus, terletak berhampiran nod pengangkutan dan kemudahan di kawasan luar pusat bandar, mempunyai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) 10 tahun seperti flat Prime, tetapi dengan kadar pemulangan subsidi lebih rendah.

Ketua Penyelidik dan Strategi di Realion Group, Cik Christine Sun, menjangkakan flat-flat itu akan mendapat lebihan permohonan, memandangkan pelancaran BTO sebelum ini di Tampines sentiasa menerima kadar permohonan yang tinggi.

Projek Simei Symphony, yang terletak berhampiran stesen MRT Upper Changi dan dilancarkan pada Julai, menerima sekitar sembilan pemohon bagi setiap 140 unit flat empat bilik, katanya.

Projek kedua di Tampines, yang akan menawarkan 280 unit flat tiga dan empat bilik, terletak di antara Tampines Avenue 2 dengan Tampines Street 22. 

Ia terletak kira-kira 1 kilometer dari stesen MRT Tampines dan Simei, serta dekat dengan Sekolah Rendah Chongzheng dan Yumin.

Penganalisis menjangka projek itu tergolong di bawah Standard kerana jaraknya lebih jauh dari pusat bandar.

ST sebelum ini melaporkan bahawa kerja-kerja untuk projek BTO yang terletak di tapak bekas Sekolah Rendah Angsana, telah bermula pada Ogos dan dijangka siap pada suku keempat 2028.

Di kawasan baru Sembawang North, dua projek terdiri daripada 1,920 unit flat akan dibina menghadap sebuah taman yang dirancang di Admiralty Lane.

Projek lebih besar, dengan 1,160 unit – terdiri daripada flat dua bilik fleksi, empat bilik dan lima bilik – terletak di Sembawang Drive.

Projek kedua terdiri daripada 760 unit flat dua bilik fleksi, tiga bilik, empat bilik dan lima bilik. Ia juga akan mempunyai sebuah prasekolah, kedai makan, pasar mini dan kedai.

Beberapa sekolah, termasuk Sekolah Rendah dan Menengah Canberra, terletak berhampiran. Ia juga sekitar 1 kilometer jauh dari stesen MRT Sembawang.

Flat-flat itu akan menjadi sebahagian daripada 8,000 unit BTO yang akan dibina di kawasan perumahan seluas 53 hektar Sembawang North. Ia juga akan mempunyai 2,000 rumah privet.

Penganalisis berkata projek itu mungkin tergolong dalam klasifikasi Standard, yang tidak mempunyai klausa pemulangan subsidi apabila ia dijual, dan mempunyai MOP lima tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg