Berbekalkan pengalaman hampir 10 tahun menguruskan perniagaan ayahnya, Encik Muhammad Taufiq Anwardeen, kini berasa lebih yakin menguruskan stok jualan bagi mengelakkan pembaziran makanan, terutamanya semasa Ramadan.
Pemilik generasi kedua kedai ‘Anwar Mini Market’ di Pasar Geylang Serai itu berkata beliau sudah memahami corak pembelian pelanggan, membolehkannya membawa masuk bekalan sayur-sayuran yang mencukupi tanpa berlebihan.
“Dulu masa baru ambil alih perniagaan dari ayah saya tujuh tahun lalu, saya kurang pengalaman.
“Saya pernah bawa masuk stok berlebihan dan akhirnya banyak sayur terpaksa dibuang atau diberikan secara percuma kepada penduduk di kawasan ini,” katanya.
Namun kini, Encik Taufiq, 38 tahun, lebih teliti dalam merancang kuantiti stok.
“Saya dah tahu apa yang pelanggan perlukan, jadi saya bawa masuk ikut permintaan mereka. Ini cara terbaik untuk elakkan pembaziran makanan,” tambahnya.
Kedainya yang beroperasi setiap hari dari 3.30 pagi hingga 2.30 petang menerima bekalan sayur dari pembekal berpangkalan di Malaysia sekitar 12 tengah malam setiap hari.
Sepanjang Ramadan, Encik Taufiq berkata beliau menyaksikan perubahan corak pembelian pelanggan.
Menurutnya, dua hingga tiga minggu pertama Ramadan, kedainya menerima jualan yang agak perlahan.
Namun, jualan mula menjadi lancar dalam 10 hari terakhir Ramadan, apabila pelanggan mula membuat persiapan menjelang Hari Raya, ujarnya.
“Biasanya pelanggan mula cari bahan-bahan untuk masak pada malam Hari Raya seperti ketupat, lontong dan sambal goreng.
“Sayur-sayuran yang sering mereka beli termasuk daun ketupat, kacang panjang, kubis, sengkuang, lengkuas dan timun,” katanya.
Barang kering seperti ketupat segera, gula, santan dan sos tomato juga menjadi pilihan utama pelanggan, tambahnya.
Untuk memenuhi permintaan pelanggan, Encik Taufiq membawa masuk sehingga sekitar 150 kilogram sayur-sayuran dalam 10 hari terakhir Ramadan, iaitu lima kali ganda lebih banyak berbanding hari biasa.
“Daun ketupat dan daun lontong memang sukar didapati di tempat lain, sebab itu pelanggan yang tinggal jauh seperti di Jurong dan Woodlands sanggup datang ke sini.
“Stok memang cepat habis, malah kadang-kadang tidak cukup untuk penuhi permintaan mereka,” kongsinya.
Bagi mengelak pembaziran, Encik Taufiq menyesuaikan stok sayur mengikut musim dan menawarkan diskaun bagi sayur yang kurang segar sebelum kedainya ditutup.
Sepanjang Ramadan, beliau mengurangkan stok sayur seperti sawi, bayam, dan kangkong kerana ia jarang digunakan dalam masakan Hari Raya.
Selain peniaga seperti Encik Taufiq, terdapat juga kumpulan dan sukarelawan masyarakat yang mengambil langkah mengurangkan pembaziran makanan, khususnya makanan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Isu pembaziran makanan semakin mendapat perhatian di Singapura, dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk mengatasinya.
Antaranya ialah usaha oleh Food Rescue Sengkang, Project Pencil, dan Little India Veggie Collection (LIVC) yang bekerjasama dengan peniaga untuk ‘menyelamatkan’ makanan yang kelihatan ‘tidak cantik’, seperti buah yang lebam atau sayur yang calar, daripada dibuang.
Sukarelawan LIVC mengadakan misi ‘menyelamat’ buah-buahan dan sayur-sayuran yang masih selamat dimakan daripada dibuang oleh kedai-kedai pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
Makanan itu diberikan kepada badan amal, Krsna’s Free Meals, yang menggunakannya untuk menyediakan makanan percuma kepada pekerja migran dan golongan yang memerlukan, antaranya melalui inisiatif peti sejuk masyarakat.
Seorang sukarelawan LIVC, Cik Kayleigh Kong, 22 tahun, berkata: “Melihat peti sejuk masyarakat yang distok dengan makanan membuat saya gembira kerana saya tahu orang lain dapat manfaat, dan ia rasa seperti usaha kami (menyelamatkan makanan) berbaloi.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg