Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buat penyesuaian, tidak guna unsur ghaib dalam tarian kuda kepang

Jul 21, 2024 | 5:30 AM
Ketua Kumpulan Kuda Kepang Kesenian Tedja Timur, Encik Iswandiarjo Wismodiarjo, membimbing kumpulannya agar tidak menggunakan aspek ‘kebatinan’, tetapi ‘keyakinan diri’ dengan berlatih.
Ketua Kumpulan Kuda Kepang Kesenian Tedja Timur, Encik Iswandiarjo Wismodiarjo, membimbing kumpulannya agar tidak menggunakan aspek ‘kebatinan’, tetapi ‘keyakinan diri’ dengan berlatih. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sejak mengambil alih kumpulan kuda kepang Kesenian Tedja Timur pada 2001, Encik Iswandiarjo Wismodiarjo, mula mengajak anggota kumpulannya untuk menghindari unsur ghaib yang biasanya dikaitkan dengan tarian itu.

Apabila ditemui Berita Minggu (BM), Encik Iswandiarjo berkata kumpulan tersebut yang wujud sejak 1948 – antara yang tertua di Singapura – beralih daripada menggunakan aspek ‘kebatinan’ kepada aspek ‘keyakinan’.

Ini bermakna keyakinan pengamal kuda kepang diasah agar mereka dapat melakukan kuda kepang tanpa penggunaan unsur ghaib.

“Kami harus berlatih. Tahap keyakinan harus lebih daripada 100 peratus, kerana aksi yang kami lakukan boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Selain itu, mereka membuat persiapan melalui alat peraga yang mereka gunakan.

“Kaca yang kami lakukan adalah kaca yang tipis. Bukan sahaja ia mudah pecah apabila digigit, ia juga tidak merosakkan gigi,” kongsi beliau.

Beliau mendakwa kaca yang mereka pijak juga telah diproses dan dijadikan tumpul agar ia selamat untuk dipijak.

Diminta mengulas, seorang ustaz yang giat mendekati kumpulan kuda kepang tetapi enggan namanya disiarkan, berkata penggunaan alat peraga sebegini boleh menimbulkan isu ‘memperdayakan’ penonton dan menimbulkan fitnah dalam kalangan penonton yang menyaksikan aksi tersebut.

Encik Iswandiarjo akur tanpa unsur-unsur ghaib dan membahayakan ini, ia menjadikan kuda kepang lebih menarik bagi mereka yang ingin mengamalkannya demi melestarikan seni dan budaya.

Ketua Kumpulan Kuda Kepang Telung Turonggo, yang ditubuhkan pada 2005, Encik Budi Ryzale, berkata unsur ghaib seperti menurun ialah ‘amalan orang lama’.

“Pada masa lalu, kuda kepang memang berkaitan dengan unsur ghaib. Kini, ia lebih kepada rahsia kesenian. Ini lebih dramatik berbanding dengan menggunakan kuasa mistik.

“Ini semua merupakan budaya orang Jawa. Selain kesenian, kami ingin mengekalkan budaya ini yang memang tidak ada kaitan dengan agama,” jelas Encik Budi.

Anggota kumpulan Tedja Timur, Cik Nur Inyirah Zayanah Muhammad Raihan, yang hanya berusia 21 tahun, berkongsi bahawa beliau bukan sahaja kekal dalam seni kuda kepang kerana keluarganya, tetapi kerana beliau memang minat dengan budaya orang Jawa.

“Saya memang minat dengan budaya orang Jawa. Sebagai contoh, saya suka bunyi alat muzik mereka, gamelan, serta tariannya yang juga indah bagi saya,” kongsi beliau.

Namun, Encik Iswandiarjo mengakui memang ada yang masih mengamalkan kebatinan.

“Memang saya tak boleh nafikan ada beberapa kumpulan yang masih menggunakan kebatinan, tetapi itu bukan urusan saya untuk menghentikan mereka, kerana ia bergantung kepada kepercayaan peribadi.

“Saya hanya boleh syorkan keyakinan sahaja,” akui beliau.

Beliau juga menjelaskan hasrat beliau untuk mengubah kuda kepang agar ia mematuhi ajaran Islam.

Ini bagi menjadikan ia sesuatu yang dapat menjana pendapatan bagi pengamalnya pada masa depan.

“Kuda kepang harus mempunyai lakaran masa depan.

“Misalnya, mengajar ahli kumpulan mereka tarian agar mereka dapat menjana pendapatan apabila mereka dapat membuat persembahan semasa acara atau majlis-majlis,” jelas Presiden Persatuan Kuda Kepang Singapura itu.

“Pada masa lalu, kuda kepang memang berkaitan dengan unsur ghaib. Kini, ia lebih kepada rahsia kesenian. Ini lebih dramatik berbanding dengan menggunakan kuasa mistik.”
Encik Budi Ryzale, Ketua Kumpulan Kuda Kepang Telung Turonggo, yang ditubuhkan pada 2005.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg