Dari masa ke masa, timbul perbincangan mengenai kuda kepang, bahkan sejak 1970-an lagi sudah ada fatwa di Singapura yang menyatakan unsur penggunaan kuasa ghaib dalam tarian itu.
Hingga kini, kuda kepang masih terus ‘hidup’.
Apabila menyebut tentang kuda kepang, adalah lumrah timbulnya persoalan sama ada tarian tradisional masyarakat Jawa itu adalah satu seni atau ia bercanggah dengan ajaran Islam.
Ini kerana tarian kuda kepang lazimnya dipersembahkan semasa acara seperti majlis perkahwinan Melayu, yang menyaksikan penari ‘menunggang’ kuda boneka dan menari mengikut rentak muzik tradisional Jawa.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pernah mengeluarkan fatwa pada 1979, bahawa kuda kepang adalah haram dari sudut Islam, kerana ia melibatkan penggunaan kuasa ghaib yang menyerap ke dalam diri seseorang.
Namun, kuda kepang tetap tidak luput, malah berkembang sehingga Persatuan Kuda Kepang Singapura ditubuhkan pada 2008 untuk menyatukan masyarakat kuda kepang di sini.
Menurut Presiden Persatuan Kuda Kepang Singapura, Encik Iswandiarjo Wismodiarjo, bilangan kumpulan kuda kepang di Singapura meningkat daripada lima kepada 45 kumpulan sejak penubuhan persatuan itu.
Tambahnya, terdapat sekitar 1,400 anggota kuda kepang merentasi 45 kumpulan tersebut setakat ini.
Baru-baru ini, Berita Minggu (BM) juga mendapati beberapa video yang tular di media sosial mengenai persembahan kuda kepang di Singapura.
Menyusuli video tular tersebut, Muis mengeluarkan semula satu nasihat di media sosial Pejabat Mufti pada 1 Julai. Sebelum ini, ia dikeluarkan buat kali pertama pada 2009.
Nasihat itu menyatakan bahawa persembahan kuda kepang yang biasanya melibatkan beberapa amalan bukan Islam, termasuk dirasuk dan melakukan perkara seperti mengunyah kaca serta meminum berbaldi air, bukan dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada Islam.
Bagi pengamal kuda kepang dan pakar seni, minat terhadap kuda kepang di Singapura yang masih kukuh, bukanlah disebabkan unsur menurun atau dirasuk. Sebaliknya, ia boleh dikaitkan dengan usaha untuk menghidupkan semula seni budaya.
Mereka turut berkongsi bahawa pengaruh daripada media sosial dan anggota keluarga turut merupakan faktor yang membawa kepada perkembangan minat terhadap tarian itu.
Selain itu, Encik Iswandiarjo berkata kumpulan kuda kepang memupuk semangat kekitaan dalam kalangan anggota, lantas mewujudkan persekitaran kekeluargaan dan ruang selamat.
Encik Iswandiarjo, yang juga ketua Kesenian Tedja Timur, salah satu kumpulan di bawah Persatuan Kuda Kepang Singapura, menerangkan bahawa kumpulan sedemikian memberi semangat kekitaan dan tujuan kepada anggota kumpulan generasi muda.
“Kebanyakan budak-budak ini berasal dari keluarga yang berpecah belah. Kami bersimpati kepada mereka kerana mereka tidak rasa seperti mereka dihargai dalam kehidupan.
“Jadi apabila mereka dapat ‘tangkap’ langkah menari yang ada kalanya agak sukar, kami puji dan beri semangat kepada mereka supaya mereka rasa dihargai,” jelas Encik Iswandiarjo.
Beliau turut berkongsi kebanyakan kumpulan kuda kepang lazimnya dikendalikan oleh anggota yang sering kali melibatkan atau menarik ahli keluarga mereka sendiri untuk menyertai kumpulan tersebut.
“Sebagai contoh, si dia dan si dia ‘bermata air’ dan kemudian kahwin dan dapat anak. Mereka pula tarik si anak masuk kumpulan.
“Apabila si anak sudah besar, kahwin dan dapat anak sendiri, anak dia pula minat dalam kuda kepang dan tarik rakannya masuk kumpulan... jadi kumpulan kuda kepang ini seperti satu keluarga besar…” ujarnya.
Menurut pengkaji seni, Encik Zulkifli Mohamed Amin, kuda kepang memupuk rasa kekitaan dan kebanggaan, membantu individu berhubung dengan akar budaya mereka dan menggalakkan perpaduan dan kesinambungan.
“Persembahan kuda kepang semasa acara kebudayaan penting, seperti perayaan dan perkahwinan, mengukuhkan hubungan masyarakat, memupuk perpaduan, dan memastikan penyampaian pengetahuan dan kemahiran budaya kepada generasi muda, sekali gus mengekalkan warisan masyarakat,” jelasnya.
Menurut Encik Zulkifli, terdapat gerakan yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat Melayu untuk menghidupkan semula dan memelihara kesenian tradisional sebagai satu cara untuk menyambung semula warisan mereka.
Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada trend yang lebih luas dan masyarakat meraikan identiti budaya mereka ketika berdepan dengan globalisasi dan pemodenan.
“Pertubuhan seperti Pusat Warisan Melayu memainkan peranan penting dalam usaha ini dengan menyediakan platform untuk persembahan dan memudahkan pertukaran budaya dalam ruang selamat.
“Pertubuhan sebegini sering bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan kumpulan kesenian untuk memastikan amalan tradisional seperti kuda lepang bukan sahaja dipelihara malah juga dihayati oleh generasi muda,” terang Encik Zulkifli.
Berkongsi pandangan serupa, Encik Iswandiarjo melihat kuda kepang semata-mata sebagai seni dan bukan sesuatu yang dikaitkan dengan unsur ghaib.
Oleh itu, beliau sering mendidik tentang tarian kuda kepang di sekolah, serta menjawab soalan yang diterimanya di media sosial tentang kuda kepang dalam usaha untuk melestarikan budaya seni itu.
Sejak mengambil alih Kesenian Tedja Timur daripada bapanya, Encik Iswandiarjo, pemimpin generasi kelima kumpulan itu, mengajak anggota kumpulannya untuk menghindari penggunaan kuasa ghaib dan amalan seperti menurun atau dirasuk.
Persembahan mereka kini lebih kepada rahsia kesenian dan mempunyai beberapa teknik dan kepandaian untuk meyakinkan penonton bahawa mereka seolah-olah menurun, dirasuk, atau benar-benar memakan kaca.
Perubahan itu, menurut Encik Iswandiarjo, telah membawa kepada peningkatan dalam minat terhadap kuda kepang dalam kalangan golongan muda.
Mengulas tentang nasihat yang dikeluarkan Muis baru-baru ini, Encik Zulkifli berkata usaha boleh dilakukan untuk menyesuaikan kuda kepang dengan nilai dan kepekaan kontemporari.
“Ini termasuk memastikan persembahan dihormati dan peka kepada norma dan kepercayaan budaya, serta menangani sebarang kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak berkuasa agama seperti Muis.
“Dengan memodenkan aspek seperti koreografi atau persembahan, di samping mengekalkan inti pati tarian, kuda kepang boleh berkembang tanpa menjejaskan integriti budayanya,” ujarnya.
Kesimpulannya, kebangkitan semula minat dalam kuda kepang di Singapura adalah fenomena pelbagai rupa. Ia didorong oleh usaha menghidupkan semula budaya, inisiatif pendidikan, dan pengaruh kuat media sosial.
Kesemua faktor tersebut menyumbang kepada penghayatan dan semangat yang diperbaharui untuk seni tradisional itu, bagi memastikan pemeliharaan dan perkaitan yang berterusan dalam masyarakat kontemporari.
Sekilas sejarah kuda kepang di Singapura
Apakah itu kuda kepang?
Kuda kepang ialah tarian tradisional masyarakat Jawa dan biasanya dipersembahkan semasa acara seperti majlis perkahwinan Melayu atau majlis persendirian. Ia dibawa ke Singapura oleh pendatang dari Jawa pada akhir 1940-an.
Lazimnya, persembahan kuda kepang melibatkan amalan seperti memakan dan memijak kaca, dan penari yang memainkan peranan sebagai ‘perajurit’ akan disebat oleh seorang pawang atau bomoh.
Namun, penari tidak berasa sakit kerana mereka dalam keadaan menurun atau dirasuk oleh kuasa ghaib yang diseru pawang pada bahagian awal persembahan itu.
Penari akan ‘menunggang’ kuda boneka dan menari mengikut rentak muzik tradisional Jawa.
Tarian kuda kepang terdiri daripada tarian pembukaan dipersembahkan oleh penari wanita, tarian barong (sejenis singa mitos) dipersembahkan penari kanak-kanak, tarian kuda perang dan tarian menurun.
“
“Persembahan kuda kepang semasa acara kebudayaan penting, seperti perayaan dan perkahwinan, mengukuhkan hubungan masyarakat, memupuk perpaduan, dan memastikan penyampaian pengetahuan dan kemahiran budaya kepada generasi muda, sekali gus mengekalkan warisan masyarakat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg