Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak 7 tahun sedar selepas 3 hari koma, diserang sawan

Mar 13, 2025 | 10:23 AM
Muhammad Ayiel Syafir Muhamad Hairi sudah sedar setelah tiga hari  koma tetapi masih lemah dan doktor masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar sawan yang dialaminya.
Muhammad Ayiel Syafir Muhamad Hairi sudah sedar setelah tiga hari koma tetapi masih lemah dan doktor masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar sawan yang dialaminya. - Foto MULYANA MUSA

Selepas tiga hari diserang sawan dan kemudian diletakkan dalam keadaan koma, Muhammad Ayiel Syafir Muhamad Hairi, tujuh tahun, akhirnya sedar pada petang 11 Mac.

Namun, keadaannya masih lemah, keliru dan sering lupa dalam jangka masa yang singkat dan doktor masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar sawan yang dialaminya, kata Cik Noi (bukan nama sebenar) ibu kepada Syafir, apabila dihubungi Berita Harian.

Keadaan Muhammad Ayiel Syafir, telah dikongsikan di Facebook oleh dua wanita, Cik Mulyana Musa, 33 tahun dan Cik Djulieana Junaidi, 43 tahun, yang merupakan tetangga Cik Noi.

Mereka menetap di flat sewa di kawasan Ang Mo Kio.

Muhammad Ayiel Syafir, anak ketiga daripada lima beradik, ditemui ibunya dalam keadaan tidak sedar diri pada pagi 9 Mac lalu dikejarkan ke hospital, kongsi Cik Mulyana dalam hantaran Facebook itu.

Anak itu kemudian diletakkan dalam keadaan koma, untuk menstabilkan keadaannya.

“Keluarga Syafir bergantung sepenuhnya pada pendapatan bapanya, seorang pekerja penghantaran makanan.

“Tanpa insurans perubatan, mereka memerlukan bantuan kewangan untuk membayar kos perbelanjaan rawatan hospital,” kata Cik Mulyana, suri rumah dan ibu tiga anak, dalam hantaran itu.

Kededua jiran itu telah berganding bahu untuk membantu keluarga Muhammad Ayiel Syafir dalam mengumpul wang, untuk meringankan kos rawatan jirannya itu.

“Setiap sumbangan, kecil atau besar akan membantu Syafir,” tambah Cik Mulyana.

Apabila dihubungi Berita Harian, Cik Mulyana berkongsi beliau mengambil inisiatif untuk minta bantuan orang ramai berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri.

“Dua tahun lalu (2023), anak saya juga dimasukkan hospital akibat lecur darjah kedua dan bil rawatan hospital mencecah hingga lebih $10,000.

“Saya faham keperitannya mengeluarkan duit sebegitu,” kata Cik Mulyana kepada BH.

Sejauh ini, kedua-dua tetangga itu telah berjaya mengumpul lebih $5,000.

Mereka menyasarkan untuk mengakhiri kutipan derma tersebut sehingga Muhammad Ayiel Syafir pulang dari hospital.

Wang kutipan itu juga telah diberikan kepada Cik Noi terdahulu agar dapat mula membayar bil rawatan hospital yang sejauh ini juga berjumlah sedemikian.

BH difahamkan bahawa Muhammad Ayiel Syafir telah mengalami jangkitan pada tulang belakangnya, yang menyebabkan sawan berulang.

Buat masa ini, sel darah putih Muhammad Ayiel Syafir naik daripada 10 peratus (kadar normal) ke 170 peratus dan beliau masih mengalami demam.

“Semasa tidak sedarkan diri, dia menerima protein melalui tiub.

“Syukur, kini dia sedang berusaha untuk mengambil protein secara normal,” kata satu hantaran terkini oleh Cik Mulyana.

“Doktor juga perlu menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengesan jangkitan pada otaknya.

“Doktor juga akan menilai keadaan Syafir bagi menentukan sama ada dia boleh dipindahkan ke Wad Rawatan Separa Rapi (HDW). Kini dia masih di Unit Jagaan Rapi (ICU),” tambah Cik Mulyana.

Cik Noi turut meluahkan rasa syukur atas bantuan yang telah dihulurkan dan doa-doa orang ramai untuk pemulihan Muhammad Ayiel Syafir.

Beliau juga amat menghargai sokongan keluarga yang tidak terputus dalam masa sukar ini.

“Saya tak pernah jangka perkara ini berlaku. Saya hanya inginkan anak kami sembuh,” luah Cik Noi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg