Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak suara merdu baca Al-Quran di TikTok terlibat dalam kemalangan serius

Dec 4, 2024 | 6:49 PM
Maulana Ahmed Afeefuddin Maulana Abdul Razak terlibat dalam kemalangan serius dan dalam keadaan tidak sedar setelah menjalani pembedahan untuk menstabilkan tekanan di dalam otaknya.
Maulana Ahmed Afeefuddin Maulana Abdul Razak terlibat dalam kemalangan serius dan dalam keadaan tidak sedar setelah menjalani pembedahan untuk menstabilkan tekanan di dalam otaknya. - Foto INSTAGRAM SHAMEEM SULTANAH

Baru dua minggu lalu, Maulana Ahmed Afeefuddin Maulana Abdul Razak, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, memikat hati ribuan netizen menerusi sebuah video TikTok yang memaparkan kebolehannya melengkapkan ayat Al-Quran dengan bacaan yang penuh keyakinan.

Video tersebut menjadi tular dengan lebih 800,000 tontonan sejauh ini yang memaparkan semangat dan bakat luar biasa Afeefuddin dalam bacaan Al-Quran.

View post on TikTok

Namun, pada 1 Disember, Afeefuddin terlibat dalam satu kemalangan serius ketika pulang daripada kelas Al-Quran. Dia kini di hospital dalam keadaan tidak sedar.

Kemalangan itu dikongsikan oleh seorang penceramah motivasi and asatizah tempatan, Ustazah Shameem Sultanah, di Instagram, yang merupakan kenalan keluarga tersebut.

Anak Ustazah Shameem merupakan kawan sekolah Afeefuddin.

View post on Instagram
 

Menurut perkongsian itu, Afeefuddin berada bersama bapanya semasa kejadian.

Walaupun bapanya selamat tanpa kecederaan serius, Afeefuddin mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala serta patah tulang rusuknya.

Namun tidak dinyatakan waktu dan di mana kemalangan itu berlaku.

Ustazah Shameem berkata Afeefuddin telah menjalani pembedahan untuk menstabilkan tekanan dalam otaknya dan masih tidak sedarkan diri sehingga kini.

“Saya melawat Afeef dan keluarganya hari ini (4 Disember). Melihat dia terbaring tidak sedarkan diri di hospital sangat menyedihkan. Sukar untuk menggambarkan perasaan pada saat ini,” kata Ustazah Shameem menerusi hantaran di Instagram yang penuh emosi.

Afeefuddin dikenali sebagai seorang anak yang ceria dan mempunyai suara yang merdu ketika mengalunkan azan dan bacaan Al-Quran. Dia juga baru sahaja mendapat keputusan PSLE, kata Ustazah Shameem.

“Kami merayu kepada semua untuk berdoa agar Afeef diberi kekuatan untuk sedar kembali dan pulih sepenuhnya. Mohon juga agar Allah swt memberikan kesabaran dan ketabahan kepada keluarganya,” tambah Ustazah Shameem.

Ketika dihubungi bapa Afeefuddin, Encik Maulana Abdul Razak Abdul Halim, memohon agar diberi ruang untuk keluarganya fokus kepada kesihatan anaknya, yang difahamkan Berita Harian masih di Unit Jagaan Rapi (ICU).

“Untuk sementara waktu ini, kami perlukan masa untuk perbanyakkan doa untuk anak kami yang masih belum sedar.

“Saya sangat berharap agar semua dapat mendoakan anak saya supaya cepat pulih seperti sediakala dan amat mengharapkan persefahaman semua pihak,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg