Budak hilang di Sungai Kallang tak pernah memancing, tak kuat berenang
Budak hilang di Sungai Kallang tak pernah memancing, tak kuat berenang
Pelajar di NorthLight dan anak yang tidak pernah timbulkan masalah
Ibu kepada budak lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang berhampiran Sungai Kallang pada 25 Februari bernama ‘Daniel’ berkata anaknya tidak mempunyai pengalaman memancing.
Maka, alangkah terkejutnya hati ibu itu apabila dimaklumkan mengenai kehilangan Daniel selepas anak itu keluar bersama rakan-rakannya untuk pergi memancing.
Cik Siti, 46 tahun, yang berasal dari Surabaya, Indonesia, berkata anaknya itu juga bukan seorang perenang yang baik.
“Seseorang menelefon saya pada 5 petang 25 Februari untuk mengatakan anak saya tergelincir ke Sungai Kallang ketika memancing dan hilang. Kenapa dia pergi? Dia tidak mempunyai pengalaman memancing,” katanya.
Ketika ditemui media pada 26 Februari, beliau menyifatkan Daniel sebagai seorang anak yang taat dan tidak pernah menimbulkan masalah.
Dia juga aktif di sekolah dengan menyertai kelab bola lantai sebagai kegiatan kokurikulum (CCA), tambah Cik Siti.
Difahamkan Daniel merupakan pelajar Sekolah NorthLight di Towner Road.
Namun, pihak sekolah enggan mengesahkan maklumat tersebut.
“Saya diberitahu, gurunya juga pernah menasihati supaya dia tidak pergi memancing sepanjang Ramadan,” kata ibu tiga anak itu.
Difahamkan Cik Siti setia menunggu di tebing sungai berhampiran Blok 8B, Upper Boon Keng Road dan kembali berada di lokasi itu pada 26 Februari bersama dua lagi anak lelakinya yang berusia 11 dan 14 tahun.
Tambahnya, beliau sedang bekerja sebagai pengendali gerai makanan di pusat beli-belah Vivocity apabila dimaklumkan tentang kehilangan Daniel sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Cik Siti berkata beliau tidak mempunyai sokongan di rumah dan terpaksa membawa anak-anaknya bersama.
Suaminya, seorang warga Singapura, berada di penjara dan mentuanya pula tidak sihat.
Cik Siti, yang menetap di kawasan Redhill, berkata beliau sudah berasa tidak sedap hati apabila Daniel memberitahunya dia ingin menyertai rakannya memancing.
“Saya rasa pelik apabila dia salam tangan saya tiga kali sekitar 6.45 pagi sebelum pergi ke sekolah. Itu bukan sesuatu yang biasa baginya,” cerita beliau.
Usaha mencari budak lelaki berusia 13 tahun yang hilang di Sungai Kallang itu disambung semula sekitar 7 pagi pada 26 Februari, lebih 16 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Operasi mencari dan menyelamat telah digantung pada lewat 25 Februari apabila keadaan menjadi terlalu gelap untuk kerja itu diteruskan.
Sebelum itu, polis berkata mereka menerima laporan mengenai seorang individu yang disyaki lemas di Sungai Kallang sekitar 4.30 petang pada hari yang sama.
Tiada unsur jenayah disyaki.
Beberapa ahli keluarga turut dilihat berada di lokasi ketika wartawan BH berada di tempat kejadian sekitar 6 pagi pada 26 Februari.
Beberapa pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat sedang menjalankan operasi mencari mangsa di sungai itu.
Namun operasi pencarian dihentikan pada 7 malam memandangkan mangsa belum dapat ditemui.
“Menyusuli pencarian yang meluas di kawasan itu, tiada tanda orang yang hilang itu.
“Operasi pencarian dihentikan sekitar 7 malam,” kata SCDF pada 26 Februari.
Pada 25 Februari, polis berkata ia menerima aduan mengenai kes orang yang disyaki lemas di Sungai Kallang sekitar 4.30 petang pada hari yang sama. Tiada perbuatan jenayah disyaki, kata polis lagi.
Operasi mencari dan menyelamat telah digantung pada lewat 25 Februari apabila keadaan menjadi terlalu gelap untuk berbuat demikian.
Seorang saudara yang enggan namanya disiarkan berkata Daniel merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan dianggap sebagai ‘penyejuk’ hati keluarganya kerana sering memujuk mereka.
“Kami hanya mengharap orang ramai dapat doakan keselamatan Daniel dan keluarga kami pada ketika ini,” ujar wanita itu.

