Budak hilang di Sungai Kallang tak pernah memancing, bukan perenang kuat
Budak hilang di Sungai Kallang tak pernah memancing, bukan perenang kuat
Pelajar di NorthLight dan anak yang tidak pernah timbulkan masalah
Ibu kepada budak lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang berhampiran Sungai Kallang pada 25 Februari bernama ‘Daniel’ berkata anaknya tidak mempunyai pengalaman memancing.
Maka, alangkah terkejutnya hati seorang ibu apabila dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya itu selepas keluar memancing bersama rakan-rakannya.
Cik Siti, 46 tahun, yang berasal dari Surabaya, Indonesia, berkata anaknya itu juga bukan seorang perenang yang kuat.
“Seseorang menelefon saya pada pukul 5 petang pada 25 Februari untuk mengatakan anak saya tergelincir ke Sungai Kallang ketika memancing dan hilang. Kenapa dia pergi? Dia tidak mempunyai pengalaman memancing,” katanya.
Ketika ditemui media pada 26 Februari, beliau menggambarkan Daniel sebagai seorang anak yang taat dan tidak pernah menimbulkan masalah.
Dia juga aktif di sekolah dengan menyertai kelab bola lantai sebagai Kegiatan Kokurikulum (CCA).
Difahamkan Daniel merupakan pelajar Sekolah NorthLight di Towner Road. Namun pihak sekolah enggan mengesahkan maklumat tersebut.
“Saya diberitahu, gurunya juga pernah menasihati supaya dia tidak pergi memancing sepanjang bulan puasa Ramadan,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Difahamkan Cik Siti setia menunggu di tebing sungai berhampiran Blok 8B Upper Boon Keng Road dan kembali berada di lokasi itu pada 26 Februari bersama dua lagi anak lelakinya yang berusia 14 dan 11 tahun.
Tambahnya, beliau sedang bekerja sebagai pengendali gerai makanan di pusat beli-belah Vivocity apabila dimaklumkan tentang kehilangan Daniel sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Cik Siti berkata beliau tidak mempunyai sokongan di rumah dan terpaksa membawa anak-anaknya bersamanya.
Suaminya, seorang warga Singapura, berada di penjara dan mentuanya tidak sihat.
Cik Siti, yang menetap di kawasan Redhill, berkata beliau sudah berasa tidak sedap hati apabila Daniel memberitahunya bahawa dia ingin menyertai rakannya memancing.
“Saya rasa pelik apabila dia salam tangan saya tiga kali sekitar 6.45 pagi sebelum pergi ke sekolah. Itu bukan sesuatu yang biasa baginya,” cerita beliau.
Usaha mencari budak lelaki berusia 13 tahun yang hilang di Sungai Kallang itu disambung semula sekitar 7 pagi pada 26 Februari, lebih 16 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Operasi mencari dan menyelamat telah digantung pada lewat 25 Februari apabila keadaan menjadi terlalu gelap untuk kerja itu diteruskan.
Sebelum itu, polis berkata mereka menerima laporan mengenai seorang individu yang disyaki lemas di Sungai Kallang sekitar 4.30 petang pada hari yang sama. Tiada unsur jenayah disyaki.
Beberapa ahli keluarga turut dilihat berada di lokasi ketika wartawan Berita Harian (BH) berada di tempat kejadian sekitar 6 pagi pada 26 Februari.
Seorang saudara yang enggan namanya disiarkan berkata Daniel merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan dianggap sebagai ‘penyejuk’ hati keluarganya kerana sering memujuk mereka.
“Kami hanya mengharap orang ramai dapat doakan keselamatan Daniel dan keluarga kami pada ketika ini,” ujar wanita itu lagi.

