Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Layanan’ sopan kakitangan Lapangan Terbang Changi pada monyet

Dec 4, 2024 | 3:18 PM
Dalam video dirakam pengguna Instagram, @moonjuice_kombucha, seorang kakitangan Lapangan Terbang Changi kelihatan memberi isyarat kepada monyet untuk ke arah pintu keluar pada 3 Disember.
Dalam video dirakam pengguna Instagram, @moonjuice_kombucha, seorang kakitangan Lapangan Terbang Changi kelihatan memberi isyarat kepada monyet untuk ke arah pintu keluar pada 3 Disember. - Foto TANGKAP LAYAR INSTANGRAM MOON JUICE KOMBUCHA

Lapangan Terbang Changi, yang terkenal dengan layanan bertaraf dunia kepada pelanggan, baru-baru ini menunjukkan sentuhan mesranya melangkaui penumpang manusia.

Beberapa hantaran Instagram Story yang dimuat naik oleh pengguna @moonjuice_kombucha pada 3 Disember menunjukkan seorang kakitangan lapangan terbang itu dengan tenang membimbing pengunjung yang tidak dijangka, seekor monyet, ke arah pintu keluar.

Dalam salah satu daripada hantaran itu, dua ekor monyet kelihatan berkeliaran di sekitar Dewan Berlepas Terminal 2 Lapangan Terbang Changi sekitar 2 petang pada 3 Disember.

Kakitangan tersebut kelihatan memberi isyarat kepada monyet untuk ke arah pintu keluar, dan juga bercakap dengan monyet itu.

Monyet itu, walaupun mungkin keliru, nampaknya sedang mengikut arahannya.

Menurut pengguna @moonjuice_kombucha, kakitangan itu berada dalam keadaan tenang apabila berinteraksi dengan monyet.

Hantarannya telah disebarkan oleh akaun @sgfollowsall di Instagram dan @thesingaporeanson di TikTok.

Beberapa netizen memuji kakitangan Lapangan Terbang Changi itu atas kesabarannya dalam memberi arahan kepada monyet tersebut.

Salah seorang netizen berkata: “Itu ialah perkhidmatan pelanggan yang sebenar. Sama ada manusia atau haiwan, beliau memberi arahan dengan sopan.”

Seorang lagi netizen pula berkata kakitangan itu sepatutnya diberi anugerah atas perkhidmatannya.

Walaupun kebanyakan komen memuji perkhidmatan cemerlang kakitangan Lapangan Terbang Changi itu, ada juga yang menyatakan kebimbangan mereka mengenai habitat hidupan liar di Singapura yang berkurangan.

Seorang netizen berkata: “Saya berasa sangat sedih dengan kehidupan liar di Singapura. Kita menceroboh habitat mereka. Di manakah mereka akan tinggal?”

Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan kekal senyap apabila mereka bersemuka dengan monyet. Mereka juga dinasihatkan untuk tidak bergerak secara mengejut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg