Ramai yang menganggap peguam muda meninggalkan bidang guaman kerana tidak sanggup berdepan dengan tekanan, waktu kerja yang panjang atau beban tugas yang berat.

Namun, bagi mereka yang berada dalam kerjaya ini, persoalannya bukan sama ada mereka sanggup bekerja keras, tetapi sama ada budaya kerja dalam bidang guaman masih mampan untuk jangka panjang.

Baru-baru ini, beberapa peguam yang ditemui Berita Harian (BH) dalam sesi podcast NoTapis, berkata cabaran terbesar dalam kerjaya guaman bukan sekadar waktu bekerja yang panjang, malah budaya kerja, tekanan memenuhi jangkaan klien serta perubahan cara bekerja yang didorong teknologi.

Antara mereka yang melalui sendiri realiti itu ialah Peguam Kanan, Titanium Law Chambers LLC, Cik Nur Liyana Kamaludin, 30 tahun.

Beliau berkata mereka yang memilih kerjaya sebagai peguam lazimnya sedia maklum kerjaya itu bukan sesuatu yang mudah.

“Tiada orang yang fikir menjadi peguam adalah kerja yang senang.

“Tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir, seperti berapa lama perlu berada di pejabat, berapa kerap perlu bekerja sehingga lewat malam ataupun perlu alami keadaan tidak cukup tidur.

“Perkara ini semua hanya diketahui apabila kita mula bekerja,” katanya, yang sudah berkecimpung dalam bidang undang-undang selama empat tahun.

Cik Nur Liyana Kamaludin berkata mereka yang menceburi kerjaya sebagai peguam lazimnya sedia maklum kerjaya tersebut bukan sesuatu yang mudah.
Cik Nur Liyana Kamaludin berkata mereka yang menceburi kerjaya sebagai peguam lazimnya sedia maklum kerjaya tersebut bukan sesuatu yang mudah. - Foto BH oleh KHALID BABA

Meskipun pernah menjalani empat latihan amali berkaitan undang-undang sebelum ini, Cik Liyana berkata pengalaman itu tidak semestinya menggambarkan kehidupan sebenar sebagai peguam sepenuh masa.

Dalam episod podcast itu, ibu seorang anak perempuan ini mengakui pernah bekerja dari awal pagi sehingga melepasi tengah malam, malah ada kalanya berada di pejabat seawal 6 pagi bagi membuat persiapan untuk perbicaraan.

Namun baginya, sokongan firma, peluang meneroka bidang yang diminati dan budaya kerja fleksibel memainkan peranan penting dalam membantu peguam sepertinya bertahan.

Perkongsian itu selaras dengan satu kajian yang diterbitkan pada 23 Jun dan ditugaskan oleh Persatuan Guaman Singapura, yang mendapati ramai peguam menyifatkan sekolah undang-undang tidak menyediakan mereka peluang secukupnya untuk menghadapi realiti dunia guaman.

Kajian selama empat tahun yang dikendalikan syarikat analisis, Anthro itu melibatkan 855 peguam dan bekas peguam, selain 31 temu bual mendalam dengan mereka.

Dapatan tersebut juga menunjukkan pengurangan jumlah peguam berpunca daripada gabungan budaya kerja, beban tugas, tekanan mahkamah dan jangkaan klien yang semakin tinggi.

Pandangan serupa turut dikongsi Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, 59 tahun, yang telah berkecimpung dalam bidang guaman selama lebih tiga dekad.

Menurut beliau, waktu kerja panjang bukan perkara baharu.

Namun, cabaran bagi peguam masa kini dipertingkat oleh teknologi dan jangkaan untuk memberi tindak balas lebih pantas.

“Dulu kita ada masa beberapa minggu untuk membalas surat atau menyediakan dokumen. Tetapi sekarang semuanya melalui e-mel.

“Apabila klien menerima e-mel tersebut, mereka mahukan jawapan pada hari yang sama dan proses mahkamah juga bergerak lebih pantas,” katanya.

Encik Ahmad Nizam Abbas, yang telah berkecimpung dalam bidang guaman selama lebih tiga dekad, menjelaskan cabaran peguam hari ini dipertingkat oleh teknologi dan jangkaan untuk memberi tindak balas lebih pantas.
Encik Ahmad Nizam Abbas, yang telah berkecimpung dalam bidang guaman selama lebih tiga dekad, menjelaskan cabaran peguam hari ini dipertingkat oleh teknologi dan jangkaan untuk memberi tindak balas lebih pantas. - Foto BH oleh KHALID BABA

Beliau berkata teknologi telah mempercepat proses kerja sehingga peguam perlu memenuhi tuntutan mahkamah dan klien dalam tempoh lebih singkat.

Bagaimanapun, Encik Ahmad Nizam percaya budaya kerja lebih sihat mampu mengurangkan tekanan dan meningkatkan pengekalan peguam muda.

Di firmanya, tempoh bekerja secara intensif ketika mengendalikan kes besar akan diimbangi dengan masa untuk berehat atau bekerja dari rumah selepas kes selesai.

“Bila perlu, memang semua perlu beri komitmen penuh. Tetapi selepas itu, kita beri ruang untuk mereka berehat semula,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi seorang peguam, lulusan undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Nasha Amiesha Marican, 23 tahun, tetap mahu menyertai bidang ini kerana meraih inspirasi daripada bapanya yang juga seorang peguam.

Minat itu semakin kukuh selepas menyertai beberapa pertandingan moot court (mahkamah olok-olok) ketika menuntut di NUS.

“Saya sedar cabaran yang ada, tetapi keputusan saya tidak berubah.

“Saya benar-benar menyukai bidang ini dan mahu menjadi seorang peguam,” katanya.

Sebagai persiapan menjadi seorang peguam, Cik Nasha telah menjalani enam latihan amali.

“Melalui peluang latihan amali, saya dapat mengenali dengan lebih mendalam rutin seorang peguam dan ini mempersiapkan saya menjadi seorang peguam yang lebih cekap nanti,” ujarnya.

Sebagai persiapan menjadi seorang peguam, Cik Nasha, 23 tahun, telah menjalani enam latihan amali.
Sebagai persiapan menjadi seorang peguam, Cik Nasha, 23 tahun, telah menjalani enam latihan amali. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi menangani beberapa isu yang dibangkitkan dalam kajian itu, badan kehakiman dan Persatuan Guaman Singapura akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama.

Jawatankuasa bersama tersebut akan meneliti sama ada mekanisme dialog dan saluran maklum balas sedia ada berfungsi dengan baik dan apakah kewujudan saluran tersebut diketahui ramai.

Pada masa yang sama, jawatankuasa itu juga akan mengkaji sama ada amalan pengurusan kes dan jangkaan garis masa telah diselaraskan dengan sewajarnya mengikut realiti semasa amalan guaman.

Bagi Cik Liyana, antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah memberi lebih banyak kelonggaran kepada peguam untuk bekerja secara fleksibel apabila keadaan mengizinkan.

“Berbanding budaya ‘face time’ (hadir secara fizikal) yang sering berlaku, di firma saya sekarang kita digalakkan untuk bekerja dari rumah kalau perlu dan ia banyak membantu kesejahteraan diri,” katanya.

Sementara itu, Cik Nasha berpendapat program bimbingan atau pementoran perlu diperkukuh, khususnya bagi peguam muda yang baru memulakan kerjaya.

“Kita memahami bahawa kadangkala peguam bersekutu itu sibuk dan tidak banyak masa, tetapi sekiranya mereka boleh menjadi mentor yang berkongsi pengalaman, memberi maklum balas serta membimbing peguam muda seperti saya, ia akan membantu kami semua mengharungi cabaran kerjaya tersebut,” ujar Cik Nasha.

Encik Nizam turut bersetuju firma guaman perlu memperkukuh bimbingan, mengurus beban kerja dengan lebih baik dan memberi ruang kepada peguam memulihkan tenaga selepas tempoh kerja yang memerah tenaga minda.

Antara cadangan yang beliau kemukakan adalah supaya peguam yang bertindak sebagai peguam penyelia turut dinilai secara berkala bagi memastikan mereka benar-benar membimbing peguam muda.

“Mungkin kita boleh hasilkan sistem yang membolehkan peguam pelatih memberi maklum balas tentang penyelia mereka.

“Ini boleh bergantung kepada beberapa kriteria yang jawatankuasa itu boleh cadangkan supaya kita boleh memastikan mentor mereka benar-benar meluangkan masa untuk membimbing, sekali gus meningkatkan mutu latihan dan pengalaman peguam muda,” katanya.