Apabila melihat Kadet Pakar Pelatih (SCT) Iman Farihin Abdul Rahman memimpin platunnya di Sekolah Kadet Pakar (SCS), sukar membayangkan beliau merupakan pelajar pendiam, yang takut bercakap di hadapan orang ramai ketika di sekolah dahulu.

Pemuda berusia 23 tahun itu mengaku beliau dahulu lebih selesa memerhati daripada bersuara, malah sering menjadi individu terakhir memberi pendapat dalam tugasan berkumpulan, semasa menuntut di Politeknik Nanyang (NYP) dalam jurusan Diploma Seni dan Reka Bentuk Permainan Digital. 

“Saya memang seorang pendiam. Berbual di khalayak ramai bukan sesuatu yang saya selesa lakukan,” kata anak tunggal itu sambil tersenyum kecil ketika ditemui di Kem Pasir Laba, baru-baru ini.

Disebabkan sifatnya itu, beliau pada awalnya langsung tidak yakin memasuki SCS, kerana merasakan dirinya tidak mempunyai ciri kepimpinan.

“Saya rasa saya tak boleh pimpin sekumpulan lelaki. Saya tak yakin dengan diri sendiri masa itu,” katanya.

Namun, dorongan daripada rakan-rakan seperjuangan sewaktu Latihan Asas Ketenteraan (BMT) menjadi titik perubahan yang tidak disangka.

“Semasa BMT, saya suka bergurau dan menjerit untuk suka-suka.

“Kawan saya cakap, ‘Eh, aku rasa kau boleh jadi Sarjan!’ Dari situ, saya fikir ‘Mengapa tidak cuba sahaja?’” katanya.

Keputusan itu akhirnya membawa beliau ke SCS, di mana beliau kini antara 1,060 pelatih Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Satu Perbarisan Tamat Kursus Kadet Pakar Pelatih 67/25 diadakan pada 21 Mei lalu, selepas SCT Iman menjalani latihan intensif selama 22 minggu di Sekolah Kadet Pakar (SCS).

Menurut beliau, cabaran paling besar sepanjang kursus itu bukanlah latihan fizikal, tetapi tekanan memikul tanggungjawab sebagai pemimpin.

Beliau pernah dilantik sebagai Komander Platun pada minggu pertama latihan, sesuatu yang digalas di luar zon selesanya.

“Saya sangat tertekan sebab saya perlu beri arahan, urus masa dan pastikan semua orang bergerak tepat pada waktunya.

“Saya takut buat silap,” katanya.

Namun, pengalaman itu juga mengubah cara beliau melihat kepimpinan dan tanggungjawab.

“Dalam SCS, setiap kesilapan orang bawahan jadi tanggungjawab kita.

“Jadi saya belajar untuk lebih peka dan lebih berhati-hati dalam setiap keputusan,” katanya.

Beliau turut mengakui masih banyak yang perlu dipelajari sebagai seorang pemimpin, terutama apabila melihat keyakinan rakan-rakan lain ketika memberi arahan.

“Saya masih belajar. Kadang-kadang saya tersalah cakap atau kurang yakin, tetapi saya cuba baiki diri sedikit demi sedikit,” katanya.

Di sebalik perubahan dirinya sebagai seorang pemimpin, SCT Iman berkata ibu bapanya menjadi sumber motivasi utama untuk beliau terus bertahan.

Walaupun mengaku beliau bukan seseorang yang terlalu rapat dengan keluarga sebelum bergelar Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), pengalaman berjauhan dari rumah membuatkannya lebih menghargai masa bersama mereka.

“Setiap minggu, saya cuma tunggu masa untuk balik rumah dan makan bersama ibu bapa, sambil bercerita tentang pengalaman saya di kem,” katanya.

Menurutnya lagi, sokongan ibu bapanya yang sentiasa menerima apa jua keputusan yang dibuatnya memberi kekuatan untuk beliau terus bertahan sepanjang latihan.

Kini, beliau bersyukur kerana keberanian mencuba sesuatu di luar kebiasaan, telah mencorak dirinya menjadi seorang pemuda yang lebih yakin, matang dan bertanggungjawab.

“Dalam SCS, setiap kesilapan orang bawahan jadi tanggungjawab kita. Jadi saya belajar untuk lebih peka dan lebih berhati-hati dalam setiap keputusan.”
Kadet Pakar Pelatih (SCT) Iman Farihin Abdul Rahman.