Satu perhimpunan berlangsung di Blok 37 Circuit Road baru-baru ini disertai lebih 50 lelaki pelbagai usia dan bangsa – ada yang bertubuh tegap, bertatu, bertindik dan berpakaian seragam kemeja-T hitam.
Sekali pandang, mereka mungkin dianggap anggota kongsi gelap. Hakikatnya tidak begitu!
Tertera pada pakaian mereka itu ungkapan ‘Peluang Kedua’ – merujuk kepada diri mereka sebagai individu yang pernah melakukan kesilapan dahulu dan kini mahu berubah.
Mereka adalah pelaku keganasan dalam keluarga, sama ada terhadap isteri atau anak-anak, dan sedang menyertai program dipanggil Brotherhood dengan matlamat membimbing mereka menangani masalah tersebut.
Ditubuhkan pada 2019, program kendalian badan amal Thye Hua Kuan Moral Charities – satu-satunya program khusus bagi isu itu di Singapura – bermula dengan mendekati hanya 10 peserta tetapi kini merangkumi lebih 100 peserta.
Salah satu sesi Brotherhood telah diadakan pada Ogos lalu.
Setiap pelaksanaan program melibatkan lapan hingga 10 sesi, diadakan setiap tiga minggu yang melibatkan perbincangan pelbagai topik seperti nilai peribadi, pemulihan dan bagaimana peserta dapat menghalang atau menahan diri daripada perbuatan ganas.
Sesi-sesi tersebut juga melibatkan peserta dalam kumpulan lapan hingga 10 orang yang mengimbas kembali pengalaman mereka melakukan kesalahan terhadap anggota keluarga mereka dahulu.
Antara perbuatan dikongsi adalah memukul isteri dan anak, mengeluarkan kata-kata kesat atau melakukan perbuatan ganas hingga menyebabkan isteri dan anak mendapatkan perlindungan di luar rumah.
Dalam setiap perkongsian itu, terdapat satu atau dua kaunselor yang hadir yang akan membimbing peserta.
“Kami mahu menyediakan ruang yang selamat dan bebas daripada sikap menghukum bagi abang-abang ini,” kata pekerja sosial utama THKMC Brotherhood, Encik Ben Ang.
“Namun di sebalik perbincangan itu, kami mahukan suara kanak-kanak dan wanita, yang merupakan mangsa perbuatan mereka, lebih menyerlah dalam fikiran mereka.
“Ini supaya mereka sedar bahawa perbuatan keganasan tidak boleh diterima.
“Tetapi jika sebaliknya mereka melakukan sesuatu untuk meredakan keadaan, kami akan menyambut baik tindakan positif itu dan bertanya bagaimana mereka sampai ke tahap itu.”
Menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 26 September, bilangan kes penderaan kanak-kanak di tahap sederhana bertambah daripada 2,760 kes pada 2022 kepada 2,787 kes pada 2023.
Kes keganasan antara suami dan isteri juga melihat kenaikan 15 peratus daripada 1,741 kes pada 2022 kepada 2,008 kes pada 2023.
Perangkaan daripada badan-badan lain juga membimbangkan.
Pada 2022, polis berkata lebih ramai membuat laporan bagi keganasan dalam keluarga pada 2021, iaitu sebanyak 5,190 laporan, berbanding 2020 (5,134).
Pada tahun yang sama, talian bantuan nasional bagi mencegah keganasan dan gangguan seksual (NAVH) juga menerima lebih banyak panggilan iaitu 10,800, naik daripada 8,300 pada 2021.
Statistik dikeluarkan Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware) dalam Laporan Tahunannya bagi 2023 mencatatkan sebanyak 4,085 panggilan kecemasan – dengan 18 peratus iaitu 749 panggilan melibatkan keganasan atau penderaan dalam keluarga.
Memberi pendapatnya tentang isu itu dari sudut masyarakat Melayu/Islam, Cik Zaleha Ahmad, Pengarah Pusat, Hab Perkahwinan AMP Singapura, berkata rata-rata jumlah kes melibatkan keganasan dalam keluarga dikendalikan hab itu kekal stabil sejak lima tahun lalu, tanpa mendedahkan bilangan kes sebenar.
Namun menurutnya, ramai pelaku ganas masih mengelak daripada mendapatkan bantuan kerana khuatir ia boleh mendedahkan identiti keluarga mereka.
“Bagi wanita pula, mereka lebih selesa memendam perasaan kerana tidak mahu keluarga mereka berpecah.
“Jadi selalunya kami lihat mereka akan membuat panggilan polis untuk mendapatkan bantuan dan kemudian menolak sebarang tindakan lanjut apabila menerima saranan daripada polis, dengan harapan masalah rumah tangga mereka itu dapat selesai dengan sendiri.”
Terdahulu pada Januari 2024, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, berkata ia memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk menangani isu keganasan dalam keluarga.
Beliau juga berkata antara golongan yang sering terlepas pandang dan memerlukan bantuan adalah pelaku keganasan dalam keluarga.
Antara lain, program Brotherhood juga mengendalikan sebuah kumpulan dalam platform kiriman teks dalam talian bagi peserta mengongsi panduan atau mencari bantuan daripada peserta lain.
Selain itu, Brotherhood juga menyediakan bajet bagi menawarkan tempat tinggal sementara bagi peserta menghadapi masalah dalam keluarga untuk berpisah daripada keluarga mereka buat tempoh tertentu.
Encik Ang berkata beliau bersikap positif terhadap daya usaha mengundang lebih ramai kaum lelaki mendapatkan bantuan bagi isu keganasan keluarga.
“Memandangkan kami menerima lebih ramai peserta sejak kebelakangan ini, ia jelas menunjukkan bahawa mengekalkan keyakinan dan hubungan yang baik bersama mereka tidak boleh dicapai begitu sahaja,” kata beliau.
Memberi pendapatnya tentang isu ini juga, Encik Jamsari Ahmad, pengarah badan bimbingan kebapaan, Bapa Hebat SG, berkata ia merupakan petanda baik, melihat lebih ramai kaum lelaki lebih bersedia tampil untuk mendapatkan bantuan secara sukarela.
Malah, bagi program-program kaunseling dikendalikan Bapa Hebat SG di penjara, Encik Jamsari memerhatikan lebih ramai banduan menunjukkan minat lebih menyerlah terhadap bantuan yang ditawarkan.
“Namun isu keganasan keluarga ini melibatkan pelbagai faktor dan salah satunya adalah isu keganasan dan penderaan silang generasi yang telah berakar dan tidak mudah dikekang.
“Perlu adanya usaha campur tangan yang menyeluruh dan melibatkan seluruh keluarga, termasuk ibu bapa, orang tua dan anak-anak yang sama-sama dapat memahami kepentingan menyediakan sebuah lingkungan yang baik bagi pembangunan dan pembesaran anak-anak dan keluarga,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg