Semasa lawatan rasmi ke Australia pada 1988 untuk menyambut ulang tahun ke-200 negara tersebut, Perdana Menteri ketika itu, mendiang Lee Kuan Yew, secara terbuka mempersoalkan sama ada Singapura akan wujud dalam 100 tahun akan datang.
“100 tahun dari sekarang... saya tidak pasti jika entiti buatan manusia yang dipanggil Singapura ini masih wujud,” katanya di Sydney.
Persoalan mengenai kewujudan negara kota ini 100 tahun lagi menjadi asas kepada sebuah buku baru yang dilancarkan pada 30 September.
Buku tersebut menyorot dasar utama mendiang Lee dalam bidang seperti diplomasi, perumahan, pendidikan dan pertahanan.
Bertajuk Will Singapore Still Exist In 100 Years? (Adakah Singapura Kekal Wujud dalam 100 Tahun?), buku itu berdasarkan versi bahasa Cina yang diterbitkan pada 2023 untuk memperingati ulang tahun kelahiran ke-100 Perdana Menteri Pengasas Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Buku itu merumuskan 15 prinsip asas yang telah dipertahankan oleh pemerintah sejak penubuhan negara ini, seperti pertahanan yang kukuh, tadbir urus bersih dan kerjasama tiga pihak.
Dalam ucapan semasa pelancaran buku tersebut, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata soalan mendalam yang dikemukakan mendiang Lee adalah cara beliau mengingatkan rakyat Singapura bahawa kelangsungan negara tidak pernah dijamin dan setiap generasi mesti bertanggungjawab untuk menjaga negara ini.
Buku tersebut menunjukkan bahawa prinsip asas yang diperjuangkan mendiang Lee – seperti keharmonian kaum, antirasuah dan meritokrasi – telah terbukti relevan, walaupun rakyat Singapura harus sentiasa ingat akan kelemahan negara ini dan sentiasa memperbaharui sistem yang diwarisi.
“Itulah sebabnya kami sedang menjalankan kajian mendalam untuk menghadapi cabaran baru, seperti perubahan geostrategi, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi menimbulkan gangguan, perubahan iklim, serta masalah populasi menua dan kadar kelahiran yang menurun,” kata Encik Lee.
“Ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi dan isu sukar yang perlu kita selesaikan, namun dengan prinsip utama yang kukuh sebagai panduan, saya yakin Singapura akan berada dalam kedudukan yang baik,” tambahnya.
Pada majlis pelancaran buku di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, ahli perniagaan, Encik Oei Hong Leong, mendermakan 4,000 salinan buku tersebut kepada Kementerian Pendidikan (MOE).
Encik Oei dan Yayasan Oei Hong Leong memulakan dan menaja buku ini, yang telah diterjemahkan dan dikemas kini oleh wartawan kanan ST, Cik Chin Soo Fang.
Versi bahasa Cina buku itu diterbitkan pada 2023 dan disunting oleh mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Seng Han Thong, serta disusun oleh sekumpulan wartawan kanan daripada Kumpulan Media Cina (CMG) SPH Media.
Encik Lee berkata buku itu akan membantu pelajar di Singapura memahami idea mendiang Lee serta mendalami peranan mereka sebagai penjaga dan pemelihara negara di masa hadapan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang merupakan setiausaha peribadi utama kepada mendiang Lee antara 1997 dengan 2000.
Buku itu boleh dibeli di Maha Yu Yi, Kedai Buku Popular, Grassroots Book Room, Union Book, Kinokuniya dan The Zall Bookstore.
Ia juga boleh dipesan secara dalam talian di https://www.a-smart.sg/LKY-booksales.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg