Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku panduan bantu pengilang kurangkan pelepasan karbon dilancar

May 29, 2025 | 1:40 PM
Decarbonisation Playbook: A Practical Guide For Manufacturers To A Low-Carbon Future, SMF
Antara yang hadir pada majlis pelancaran ‘Decarbonisation Playbook: A Practical Guide For Manufacturers To A Low-Carbon Future’ pada 28 Mei ialah (dari kiri) Ketua Jaminan, EY Singapore, Encik Lee Wei Hock; Naib Presiden Persekutuan Pengilang Singapura, Encik Melvin Tan; Pengarah Kanan (Hal Ehwal Pelajar) merangkap Pendaftar Politeknik Nanyang (NYP), Cik Denise Leong; dan Ketua Perbankan Korporat serta Syarikat-Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) Kumpulan DBS, Encik Chen Ze Ling. - Foto SMF

Pengilang tempatan, yang menyumbang hampir separuh daripada pelepasan gas rumah hijau utama Singapura pada 2022, akan menerima sokongan tambahan dalam usaha penyahkarbonan melalui pelancaran satu panduan baru.

Decarbonisation Playbook: A Practical Guide For Manufacturers To A Low-Carbon Future (Buku Panduan Nyahkarbon: Panduan Praktikal untuk Pengilang Menuju Masa Depan Rendah Karbon) dilancarkan pada 28 Mei oleh DBS Bank, Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF), firma perunding, EY Singapore, dan Politeknik Nanyang (NYP).

Panduan itu memberi langkah mudah dan contoh sebenar untuk membantu lebih 5,000 pengilang tempatan mencapai matlamat pelepasan sifar karbon, lapor The Straits Times (ST).

Menurut kenyataan bersama, ramai pengilang menghadapi cabaran dalam mengamalkan penyelesaian mampan.

Tinjauan terhadap lebih 70 pengilang dalam tujuh subsektor mendapati 80 peratus masih berada di peringkat awal dalam perjalanan kemampanan mereka.

Tinjauan yang diadakan pada 2025 oleh DBS, EY dan SMF turut mendedahkan pematuhan terhadap peraturan adalah sebab utama syarikat tempatan mahu mengurangkan pelepasan karbon.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif SMF, Encik Dennis Mark, menegaskan kemampanan turut berkait rapat dengan pertumbuhan.

“Kemampanan kini merupakan asas penting untuk daya tahan, inovasi dan pertumbuhan.

“Pengilang berdepan jangkaan lebih tinggi daripada pelanggan, penggubal dasar dan rantaian bekalan sejagat,” katanya.

Bagi memudahkan proses nyahkarbon, panduan itu menyediakan rangka kerja lengkap – daripada mengenal pasti sumber pelepasan, menilai peluang, membangunkan kes perniagaan, melaksanakan penyelesaian, hingga merangka pelan jangka panjang.

Ketua Perbankan Korporat dan Syarikat-Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) Kumpulan DBS, Encik Chen Ze Ling, berkata:

“Kemampanan dan daya tahan kewangan sama penting. Keseimbangan ini bantu perniagaan mengurangkan jejak karbon dan menangani cabaran dengan berkesan.”

Pegawai Kemampanan Utama SMF, Cik Clara Kwan, berkata buku itu boleh menjadi panduan praktikal dan terangkum untuk ahlinya.

Di samping itu, SMF juga mempunyai daya usaha lain, termasuk program yang menyediakan khidmat pegawai kemampanan kepada pengilang, seiring panduan dan kepakaran khusus bagi usaha nyahkarbon.

Menurut Ketua Perkhidmatan Kemampanan dan Perubahan Iklim EY Singapura, Encik Praveen Tekchandani, buku itu turut menggabungkan pandangan daripada pengilang serta pemain ekosistem lain yang berpengalaman dalam usaha nyahkarbon.

“Ia menghuraikan keperluan dan dasar rumit seperti cukai karbon Singapura dan piawaian pelaporan kemampanan,” ujarnya, sambil menambah strategi dan penyelesaian yang diketengahkan adalah berdasarkan sains dan boleh terus diterapkan.

NYP pula akan menggabungkan kandungan buku panduan itu dalam program latihan prapekerjaan serta kursus latihan dan pendidikan berterusan.

Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 1,000 pelajar daripada 10 kursus diploma dan 220 pelajar dewasa dalam program pendidikan berterusan setiap tahun.

Ia juga akan membantu 438 syarikat yang menyertai gabungan inovasi kemampanan NYP.

Pengarah Sekolah Kejuruteraan NYP, Dr Graham Ng, berkata:

“Menggabungkan panduan ini dalam program kami akan memberi kesan berpanjangan – melatih pelajar untuk mengenal pasti dan menangani cabaran kemampanan dalam operasi perniagaan mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg