Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku panduan keperluan etika, perundangan perubatan dilancar

Oct 24, 2025 | 3:26 PM
Ketua pengarah kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Kenneth Mak, melancarkan buku kes  bertajuk Etika Bioperubatan di Singapura: Kes dan Ulasan pada 24 Oktober yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Penasihat Bioetika Singapura.
Ketua pengarah kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Kenneth Mak, melancarkan buku kes bertajuk Etika Bioperubatan di Singapura: Kes dan Ulasan pada 24 Oktober yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Penasihat Bioetika Singapura. - Foto fail

Sebuah koleksi kes perubatan dan perundangan yang berkaitan dengan etika bioperubatan telah dilancar pada 24 Oktober sebagai panduan bagi karyawan penjagaan kesihatan untuk lebih memahami keperluan perundangan dan etika dalam amalan perubatan.

Buku bertajuk Etika Bioperubatan di Singapura: Kes dan Ulasan itu disusun oleh Jawatankuasa Penasihat Bioetika Singapura dan mengandungi 42 kes, setiap satu dengan pertimbangan perubatan, perundangan dan etikanya tersendiri.

Ketua pengarah kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Kenneth Mak, yang berucap pada majlis pelancaran buku tersebut di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata buku tersebut menawarkan panduan praktikal untuk pakar kesihatan dalam menangani kewajipan perundangan dan etika.

“Untuk mengemudi landskap perubatan yang berkembang dengan berkesan, karyawan penjagaan kesihatan memerlukan sumber yang menterjemahkan keperluan undang-undang yang ketat kepada panduan etika yang praktikal.

“Walaupun keputusan mahkamah pada asalnya tertumpu pada piawaian undang-undang, buku kes ini menganalisis setiap kes dengan teliti untuk mengenal pasti prinsip etika dan implikasi praktikal terhadap karyawan penjagaan kesihatan,” kata Profesor Mak.

Beliau, yang turut melancarkan buku tersebut, berkata demikian pada hari kedua Persidangan Rangkaian Bioetika Asia yang diadakan di NUS dari 23 hingga 24 Oktober.

Sepanjang beberapa dekad lalu, Profesor Mak berkata mahkamah Singapura terpaksa menangani persoalan asas dan mencabar yang dihadapi oleh setiap karyawan penjagaan kesihatan.

Ini termasuk jumlah maklumat yang perlu dikongsi dengan pesakit, tentang apa yang dianggap sebagai salah laku profesional atau kecuaian perubatan, dan bagaimana karyawan penjagaan kesihatan harus mengimbangi hak pesakit individu dengan keperluan kesihatan awam.

Buku kes baru itu, kata Profesor Mak, bertujuan menyatukan keputusan-keputusan penting mahkamah ke dalam satu jilid rujukan, yang kini tersebar dalam pelbagai teks dan jurnal undang-undang.

Setiap bab merangkumi bahagian khusus yang mengkaji dimensi etika kes dan kaitannya dengan amalan perubatan kontemporari.

Selain menetapkan fakta dan pegangan, setiap bab juga memberikan ulasan tentang isu etika berkaitan yang dibangkitkan, disumbangkan oleh ahli Jawatankuasa Penasihat Bioetika dan Jawatankuasa Etika Perubatan Nasional.

“Ini menggabungkan kepakaran daripada penyelidikan bioetika dan klinikal amalan,” kata Profesor Mak.

“Kod Etika dan Garis Panduan Etika (ECEG) Majlis Perubatan Singapura, yang menyediakan panduan kritikal tentang amalan klinikal terbaik, juga telah dirujuk di seluruh buku kes untuk memberikan gambaran tentang bagaimana ECEG diguna pakai.”

Profesor Mak berkata buku kes tersebut bertujuan menterjemahkan keputusan undang-undang kepada satu panduan praktikal merentasi pelbagai persekitaran penjagaan kesihatan.

Ini terdiri daripada perubatan konvensional hingga perubatan tradisional Cina; daripada jabatan kecemasan kepada klinik pakar; daripada keselamatan pesakit kepada data pesakit; dan daripada prosedur swasta kepada kesihatan awam.

“Bagi doktor, buku kes ini menawarkan panduan praktikal untuk mengemudi kewajipan undang-undang dan etika.

“Bagi penggubal dasar, ia menggambarkan bagaimana prinsip etika yang tersirat telah berkembang untuk mencerminkan dan memenuhi perubahan masyarakat.

“Bagi orang ramai, ia memberikan pandangan tentang bagaimana sistem penjagaan kesihatan Singapura melindungi hak pesakit dan perlindungan daripada amalan perubatan yang tidak beretika,” kata Profesor Mak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg