“Fatwa akhir zaman!”
Ungkapan ini kadangkala kita dengar, setiap kali fatwa baru diumumkan, sama ada di Singapura atau oleh mana-mana badan fatwa antarabangsa.
Ia seolah-olah menggambarkan bahawa fatwa yang dihasilkan hari ini telah jauh daripada Al-Quran, al-Sunah dan prinsip fiqah.
Namun, sebelum kita tergesa-gesa menilai, elok kita bertanya dengan hati yang lebih terbuka: Adakah kita memahami bagaimana fatwa itu dihasilkan?
Atau adakah kita hanya menilai dari permukaan?
Saya mendapati bahawa komen seperti ini timbul kerana ramai yang belum mengetahui ketelitian proses istinbat (pengeluaran hukum) yang dilaksanakan oleh Mufti dan Jawatankuasa Fatwa, sama ada di Singapura, mahupun di mana-mana badan fatwa yang lain.
Sebagai anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa (Majlis Ugama Islam Singapura), saya berpeluang mengikuti proses ini dengan lebih dekat.
Bagi saya, pendekatan mengenal pasti pandangan hukum dalam isu-isu kontemporari merupakan cabaran tersendiri yang menuntut ketelitian dan keberanian intelektual.
Justeru, fatwa-fatwa yang dikeluarkan di Singapura bukan sahaja berani dan progresif, malah wajar dijadikan contoh bagi negara-negara lain yang sedang berdepan dengan cabaran pluralisme, keterbukaan dan status minoriti Muslim.
Fatwa Singapura bukan sekadar teks hukum, malah panduan yang membantu masyarakat Islam di sini memahami hukum dalam setiap persoalan kehidupan mereka.
Menariknya, fatwa di Singapura sentiasa bergerak seiring dengan perubahan zaman.
Ini kerana, isu-isu baru sentiasa muncul dan memerlukan penilaian teliti tentang kesan terhadap kehidupan beragama.
Satu perkara penting yang ingin saya kongsikan ialah: fatwa di Singapura bukan hasil pandangan peribadi Mufti.
Tetapi, setiap fatwa dibentuk melalui kajian mendalam dan perbincangan intensif oleh anggota Jawatankuasa Fatwa.
Ini menjadikan proses fatwa di sini bersifat jama’i (kolektif), iaitu Mufti tidak membuat keputusan secara bersendirian.
Malah, fatwa hanya dikeluarkan apabila seluruh anggota Jawatankuasa Fatwa mencapai kata sepakat.
Selagi persetujuan belum dicapai, Pejabat Mufti selaku sekretariat fatwa akan terus menyediakan kajian dan bahan-bahan sokongan bagi membantu perbincangan.
Bagi saya, inilah kekuatan utama fatwa Singapura.
Pendekatan kolektif ini memberikan ketelitian dan kredibiliti.
Ia juga menolak tanggapan bahawa fatwa dihasilkan secara mudah atau sehala.
Sebenarnya, setiap fatwa melalui perbincangan secara berperingkat.
Setiap persoalan, sama ada daripada individu, institusi atau agensi pemerintah akan dinilai dan dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa untuk dibincangkan secara terperinci.
Dalam perbincangan itu, para anggota akan merujuk sumber klasik, pandangan ulama kontemporari dan mempertimbangkan realiti masyarakat Singapura.
Dalam proses ini, kaedah usul fiqah seperti al-masyyaqqah tajlib al-taysir (kesukaran membawa kepada kemudahan) dan al-darar yuzal (kemudaratan mesti dihilangkan) menjadi antara rujukan penting.
Tetapi, saya juga ingin berkongsi, tidak semua persoalan berada dalam bidang kepakaran anggota fatwa, terutamanya bagi persoalan berkaitan isu-isu kontemporari.
Di sinilah pentingnya penglibatan pakar luar.
Apabila berdepan dengan isu-isu kompleks seperti bioetika, kewangan digital atau teknologi perubatan, pakar profesional dalam bidang tersebut akan diundang bagi memberikan pencerahan.
Ia bertujuan memahami realiti isu yang dibincangkan; bukan menilai dari perspektif agama sahaja.
Bagi saya, ini menunjukkan betapa serius usaha yang dibuat supaya setiap fatwa yang dikeluarkan sah dari segi hukum dan praktikal dalam konteks semasa.
Selepas perbincangan mendalam dan input para pakar diperoleh, draf fatwa akan disediakan dan dibincangkan.
Proses ini berterusan sehingga mencapai kesepakatan antara anggota Jawatankuasa Fatwa agar fatwa yang dikeluarkan berdiri atas asas agama yang kukuh dan pertimbangan etika yang mendalam.
Apa yang saya kongsikan ini membuktikan bahawa fatwa bukan sekadar jawapan hukum.
Ia lahir daripada usaha memahami realiti semasa yang semakin rumit.
Ini kerana, dalam dunia moden ini, tidak semua persoalan boleh dirujuk secara langsung kepada teks klasik.
Isu seperti bioetika dan teknologi perubatan memerlukan kefahaman konteks moden yang lebih luas yang tidak dibincangkan secara spesifik dalam kitab fiqah terdahulu.
Oleh itu, dalam proses pengeluaran fatwa di Singapura, memahami realiti (tasawwur al-mas’alah) merupakan langkah pertama yang amat penting.
Tanpa kefahaman yang jelas tentang konteks, fatwa boleh jadi tidak menyelesaikan masalah, malah pasti akan tersasar dari tujuan memberikan bimbingan hukum agama.
Setelah tasawwur diperoleh, langkah seterusnya ialah mengklasifikasikan persoalan dalam kategori hukum yang sesuai (al-Takyif).
Barulah selepas itu, hukum dapat ditetapkan dengan yakin dan bertanggungjawab (al-Tatbiq).
Pendekatan sistematik ini memastikan setiap fatwa yang dikeluarkan bukan sahaja tepat dari segi hukum, tetapi juga relevan dan bermakna untuk masyarakat Islam masa kini.
Dalam pengalaman saya, proses ini bukan sehari dua.
Ada persoalan yang mengambil masa berminggu, berbulan malah bertahun.
Dan saya percaya, inilah keunikan fatwa di Singapura; ia tidak bersifat tergesa-gesa.
Setiap keputusan lahir daripada penelitian ilmu dan kefahaman terhadap realiti masyarakat Islam yang rencam.
Pendekatan yang teliti ini digunakan Jawatankuasa Fatwa ketika berdepan isu-isu baru yang rumit.
Salah satunya ialah hukum menjalani ujian saringan bagi penyakit genetik serius seperti gangguan otot (muscular disorder) dan gangguan neurologi (neurological disorder).
Soalan ini timbul kerana pasangan di Singapura kini berpeluang melakukan ujian ini sebelum kehamilan.
Walaupun ia ditawarkan secara sukarela, maklumat yang diperoleh melalui ujian ini amat penting kerana ia membantu pasangan memahami risiko penyakit genetik yang mungkin diwarisi oleh anak mereka.
Dengan maklumat ini, pasangan boleh membuat keputusan yang baik, bukan sahaja untuk anak, tetapi juga untuk persediaan emosi, kewangan dan sokongan jangka panjang.
Pada saya, di sinilah peranan fatwa menjadi sangat signifikan; memberikan panduan yang jelas dengan berpaksikan ilmu dan ihsan.
Maka isu ini dibawa ke perhatian Jawatankuasa Fatwa pada 2024.
Antara soalan yang dibincangkan: apakah hukum pasangan Muslim menjalani ujian ini?
Adakah ia bertentangan dengan kepercayaan kepada qada’ dan qadar Allah?
Seperti biasa, perbincangan tidak bermula dengan menetapkan hukum.
Ia bermula dengan usaha memahami konteks isu.
Dalam kes ini, satu kertas kerja terperinci telah disediakan oleh para pengkaji fatwa dan dibentangkan dalam beberapa sesi perbincangan.
Kertas kerja tersebut menghuraikan secara lengkap definisi, tujuan dan prosedur ujian genetik, jenis-jenis penyakit serius yang berkaitan serta kesannya dari segi fizikal, emosi dan sosial.
Ia juga mengetengahkan prinsip-prinsip hukum yang relevan beserta dalil dan rujukan yang sahih.
Menariknya, perbincangan ini merujuk kepada fatwa yang pernah dikeluarkan pada 2005 berkaitan hukum ujian genetik; menjadikan perbincangannya sebagai kesinambungan ijtihad yang dibina secara bertahap.
Bukan itu sahaja, anggota Jawatankuasa Fatwa turut berinteraksi secara langsung dengan para pakar dari SingHealth Duke-NUS untuk memahami dengan lebih dalam aspek saintifik, teknikal dan praktikal ujian saringan genetik ini.
Pendekatan ini sangat penting supaya proses penetapan hukum dibuat dengan penuh tanggungjawab.
Hasilnya, berdasarkan prinsip-prinsip syarak yang jelas, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa menjalani ujian saringan genetik bagi penyakit serius adalah dibenarkan dalam Islam.
Ini kerana ia membantu mencegah penularan penyakit genetik, memudahkan diagnosis awal dan membekalkan pasangan dengan maklumat penting untuk membuat keputusan reproduktif yang termaklum.
Ini selari dengan prinsip Islam yang menekankan pencegahan, rawatan dan kesejahteraan manusia.
Melihat kepada contoh ini, saya berharap pembaca dapat memahami bahawa fatwa di Singapura bukan sekadar respons segera kepada persoalan semasa.
Ia adalah hasil refleksi yang teliti dan penuh tanggungjawab.
Barangkali sudah tiba masanya kita melihat fatwa Singapura dengan kaca mata yang lebih luas, bukan lagi memandangnya dengan lensa ‘fatwa akhir zaman’.
Pengalaman saya secara peribadi memperlihatkan bahawa setiap keputusan fatwa yang dikeluarkan berasaskan ilmu Al-Quran, hadis dan usul fiqah yang kukuh.
Ia bukan sekadar menyalin teks lama, tetapi lahir daripada proses intelektual yang teliti, kolaboratif dan berpaksikan realiti.
Inilah yang diusahakan oleh institusi fatwa kita; fatwa yang bukan sekadar reaksi, tetapi refleksi.
Fatwa kita umpama menarik rambut dalam tepung; tepung tidak berselerak, rambut pula tidak terputus.
Ketelitian ini bukan hanya demi hukum, tetapi untuk menjaga kesejahteraan agama dan kemanusiaan.
Akhirnya, fatwa bukan hanya jawapan.
Ia adalah cerminan jiwa umat yang sentiasa berusaha mencari jalan terbaik, di bawah panduan Ilahi dan dengan penuh kasih sayang sesama insan.
Penulis anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg