Sebuah buku panduan berasaskan kerohanian telah dilancarkan untuk menyokong banduan Islam dalam proses pemulihan mereka serta mencegah mereka daripada melakukan jenayah lagi.
Buku bertajuk Kembali Kepada Fitrah itu diterbitkan oleh Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) dengan kerjasama Masjid Al-Khair.
Buku tersebut direka sebagai sumber kerohanian yang praktikal dan mudah diakses, khusus untuk menyokong banduan Muslim yang sedang menjalani hukuman penjara serta mempersiapkan diri untuk berintegrasi semula dalam masyarakat.
Penerbitan itu dilancarkan semasa Majlis Penghargaan Sukarelawan Fitrah 2025 di Taman Haiwan Singapura pada 27 Disember oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Semasa ucapannya di acara tersebut, Dr Faishal menekankan kepentingan pendekatan berteraskan kerohanian untuk mengelakkan residivisme (pengulangan jenayah) serta menyokong banduan mengintegrasikan semula ke dalam masyarakat.
Mengulas tentang buku panduan tersebut, beliau yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) berkata buku itu direka agar mudah difahami dan praktikal, dengan kandungan serta kaedah yang disertakan adalah realistik dan boleh dilaksanakan dalam kehidupan seharian.
“Ia harus menjadi sumber panduan kepada sesiapa saja untuk merujuk pada bila-bila masa untuk mewujudkan rutin dalam kehidupan.
“Tidak kira apa latar belakang kita, rutin adalah sangat penting; ia boleh membantu kita mengekalkan disiplin diri, membuat pertimbangan yang betul dan kekal di landasan yang betul,” katanya.
Antara kandungan buku panduan tersebut ialah doa yang boleh digunakan dalam situasi yang berbeza untuk meningkatkan daya tahan emosi dan mental banduan, dan juga menjawab soalan biasa banduan tentang keinsafan, keikhlasan dan tanggungjawab keluarga.
Buku itu juga memberi tumpuan kepada perjuangan rohani dan persoalan yang timbul oleh banduan semasa dalam penjara.
Antara mereka yang terlibat dalam pembangunan buku tersebut ialah Imam Kanan Masjid Al-Khair, Ustaz Abdul Hadi Jamil, yang telah berkhidmat secara langsung kepada banduan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) selama tiga tahun.
Pengalaman bekerja rapat dengan banduan memberi beliau pemahaman mendalam tentang cabaran sebenar yang dihadapi individu sepanjang tempoh pemenjaraan, khususnya dari segi mengekalkan disiplin diri, ketenangan emosi dan kekuatan rohani dalam persekitaran yang serba terbatas.
“Antara soalan yang sering saya terima daripada mereka adalah ‘Selama kehidupan saya ini, saya buat dosa, saya buat kesilapan, kesalahan semua ini, adakah dosa saya boleh diampunkan?” katanya.
“Buku ini bukan sahaja membantu untuk jawab soalan-soalan yang mereka sering ada, tetapi juga mengandungi doa-doa serta terjemahannya yang dapat diamalkan setiap hari dan memberi mereka ketenangan jiwa dan minda.
“Selain itu, terdapat amal-amal ibadah yang mereka boleh lakukan supaya boleh meluangkan masa mereka dengan perkara yang lebih bermanfaat,” tambahnya.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata kadar pengulangan jenayah dalam tempoh dua tahun bagi banduan Melayu yang dibebaskan pada 2022 adalah 26.7 peratus atau sekitar satu dalam empat orang, berbanding sekitar satu dalam tiga orang sedekad lalu.
Kadar pengulangan jenayah dalam tempoh lima tahun menunjukkan trend penurunan yang konsisten.
“Ini satu petunjuk positif terhadap keberkesanan intervensi jangka panjang serta kekuatan sokongan masyarakat dalam mencegah jenayah untuk jangka panjang,” kata MHA.
Perkembangan ini selari dengan usaha Fitrah yang menyediakan sokongan menyeluruh kepada banduan dan keluarga mereka, bukan sahaja semasa tempoh pemenjaraan tetapi juga selepas pembebasan melalui rangkaian masjid, sukarelawan masyarakat dan program yang memberi tumpuan kepada keluarga.
Mulai 2026, buku panduan Kembali Kepada Fitrah akan disepadukan ke dalam sesi kaunseling agama mingguan Fitrah di institusi masyarakat di seluruh Singapura.
Buku ini dijangka menjadi komponen penting dalam pendekatan penjagaan berterusan Fitrah, melengkapkan usaha pemulihan sedia ada dengan bimbingan kerohanian yang tersusun dan konsisten.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg