Satu buku yang menyorot pencapaian dan jasa bakti usahawan dan dermawan, Encik S Mohamed Abdul Jaleel, telah dilancarkan di Pusat Bahasa Tamil Umar Pulavar yang terletak di Beatty Road pada 8 November.
Disediakan dalam versi bahasa Tamil dan Inggeris, biografi berjudul Jaleel: The Relentless Mind (Jaleel: Minda yang Cekal) itu mengisahkan perjalanan hidup Encik Abdul Jaleel, 67 tahun, daripada zaman kanak-kanak sehingga menjadi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Mini Environment Service (MES) Group.
Buku itu turut menyorot sumbangan beliau merentasi beberapa dekad dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan.
Buku tersebut, yang merupakan penerbitan ke-10 Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML), ditulis oleh Naib Presiden SKML, Encik Mashuthoo Abdul Rahiman.
Semasa majlis pelancaran buku itu, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, memuji Encik Jaleel atas sifat dermawannya yang sederhana tetapi berkesan.
“Encik Jaleel sangat dermawan, namun beliau juga merupakan jenis dermawan yang sangat pendiam. Beliau membantu tanpa orang benar-benar tahu beliau sedang membantu.
“Beliau membantu jauh lebih banyak daripada yang diketahui secara umum,” ujar beliau, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Beliau menukil usaha sumbangan Encik Jaleel menerusi Yayasan S.M. Jaleel, yang diasaskannya sendiri.
Ini termasuk menyediakan biasiswa pendidikan, geran bantuan kewangan, sokongan penjagaan kesihatan serta program pembangunan kanak-kanak.
Ia juga dilakukan menerusi kerjasama dengan badan bantu diri berbilang kaum seperti Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), Yayasan Mendaki dan institusi pendidikan seperti Institut Teknologi Singapura (SIT) serta Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), antara lain.
“Tujuan yayasan tersebut adalah untuk meningkatkan akses kepada pendidikan, sumber, peluang dan bantuan yang dihulurkan kepada semua tidak kira bangsa, agama, atau latar belakang,” kongsi Encik Shanmugam.
Sementara itu, Presiden SKML, Encik Raja Mohamad, berkata buku itu memberikan peluang untuk merakam sumbangan anggota masyarakat India/Muslim di sini.
“Kami rasa perjalanan hidup Encik Abdul Jaleel menggambarkan kisah Singapura sendiri, iaitu kisah ketabahan dan usaha tanpa henti mengejar kecemerlangan.
“Menerusi penerbitan ini, kami menghormati pencapaian beliau sambil meraikan semangat bersama dalam ketekunan dan kemajuan yang menyatukan masyarakat kami dengan negara,” kongsi beliau.
Buku versi Inggeris itu dijual pada $40, manakala versi Tamil berharga $50.
Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi penerbit buku tersebut iaitu SKML di talian 6224-7748.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg