Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lantik jawatankuasa anjur perjumpaan Raya untuk 120 anggota keluarga

Apr 6, 2025 | 5:30 AM
Keluarga besar Cik Nurhidaya Johari akan berkumpul di chalet di timur Singapura pada hujung minggu panjang sempena cuti umum Good Friday dari 18 hingga 20 April.
Keluarga besar Cik Nurhidaya Johari akan berkumpul di chalet di timur Singapura pada hujung minggu panjang sempena cuti umum Good Friday dari 18 hingga 20 April. - Foto ihsan NURHIDAYA JOHARI

Apabila keluarga besar Cik Nurhidaya Johari berhimpun pada hujung minggu panjang sempena cuti umum Good Friday yang jatuh pada 18 April, bukan beberapa puluh orang sahaja yang dijangka hadir tetapi sehingga 120 anggota keluarga daripada pelbagai peringkat umur.

Keluarga yang menggelarkan diri mereka ‘Keluarga Kasturi Puteh’ itu memang biasa menganjurkan perhimpunan besar-besaran semasa cuti umum, dan memandangkan Good Friday jatuh dalam Syawal, mereka memutuskan untuk menjadikannya perjumpaan Raya, siap dengan pelbagai juadah Lebaran dan pakaian tradisional.

Perhimpunan itu akan diadakan di chalet di timur Singapura dari 18 hingga 20 April dengan acara utama berlangsung pada 19 April.

“Tradisi ini bermula dengan datuk-datuk dan nenek-nenek kami daripada ‘Keluarga Pohon Beringin’. Mereka perintis yang menyatukan keluarga besar kami.

“Perhimpunan yang dianjurkan bukan sahaja melibatkan adik-beradik tetapi juga anak-anak, cucu-cucu dan juga cicit mereka. Saya masih muda ketika itu, tetapi nilai ikatan kekeluargaan telah diterapkan sejak awal lagi.

“Apabila keluarga kami berkembang, ia menjadi lebih mencabar untuk mengumpulkan semua orang di satu tempat. ‘Keluarga Kasturi Puteh’ daripada keturunan datuk saya cuba untuk terus mengadakan pelbagai acara dan perjumpaan kecil sepanjang tahun dengan penyertaan berbeza-beza bagi setiap acara.

“Sebagai contoh, kami pernah mengadakan percutian ke Batam dengan kira-kira 20 hingga 40 orang. Untuk perhimpunan yang akan datang ini, kami menjangkakan sekitar 120 ahli keluarga akan hadir, dan ini merupakan satu bilangan yang besar,” kata Cik Nurhidaya, 39 tahun.

Persiapan menjelang setiap perhimpunan besar dilakukan dengan rapi dan serius, rata-rata oleh generasi sepupu yang cuba menghidupkan dan meneruskan semangat keluargaan itu.

Selepas rancangan bagi perhimpunan itu ditimbulkan dalam kumpulan sembang keluarga, satu jawatankuasa akan dibentuk terdiri daripada mereka yang mahu dan dapat membantu.

Kumpulan lebih kecil dibentuk untuk menguruskan pelbagai aspek penganjuran acara seperti makanan, logistik dan permainan.

“Kami memberi tugas berdasarkan minat dan kekuatan bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Kami menggunakan WhatsApp untuk menyelaraskan logistik, memberi peranan dan memastikan semua orang mendapat maklumat terkini.

“Proses menganjurkan acara ini sahaja dapat mengeratkan hubungan ramai ahli keluarga kerana kami memperuntukkan masa dalam jadual sibuk kami untuk memberi sumbangan dalam cara yang kami mampu,” kata Cik Nurhidaya.

Selain menikmati sajian tradisional seperti lodeh, rendang dan lontong serta hidangan barbeku, ahli keluarga di perjumpaan Hari Raya itu akan berseronok dengan beberapa permainan yang buat masa ini masih dirahsiakan.

“Kami sangat sukakan permainan. Selalunya ada jawatankuasa kecil yang dikhususkan untuk merancang dan menganjurkan permainan dan mereka selalunya agak kreatif.

“Kami tidak pasti apa yang telah mereka rancang bagi perjumpaan kali ini tetapi ia selalunya sesuatu yang kami nanti-nantikan. Sama ada ia cabaran kumpulan, trivia atau permainan kampung lama, hilai tawa dan persaingan mesra ini mengeratkan lagi ikatan keluarga kami,” kata pengurus kemasukan kanan itu.

Berkongsi tentang kenangan manis semasa perhimpunan lalu, Cik Nurhidaya berkata mereka pernah tidur di rumah satu sama lain, bersembang hingga larut malam malah mengadakan perjalanan malam bersama.

Namun bentuk perhimpunan itu telah berubah dari tahun ke tahun dengan perjumpaan berskala besar tidak lagi diadakan setiap tahun tetapi pertemuan lebih kecil diadakan dengan lebih kerap.

Komitmen masa dan peribadi menjadi cabaran terbesar bagi menganjurkan dan menjayakan acara perhimpunan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai jadual kerja padat serta anak-anak kecil.

“Begitupun, kami tetap cuba menganjurkan satu acara lebih besar setiap beberapa tahun untuk mengumpulkan semua orang. Ia semakin sukar tetapi kami cuba memperuntukkan masa dan menyokong satu sama lain untuk menjayakannya,” kata Cik Nurhidaya.

“Melihat ikatan keluarga kekal utuh membuat usaha kami untuk terus kekal berhubung berbaloi. Kami berharap tradisi ini akan diteruskan oleh generasi seterusnya,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg